Barang-barang berkenaan adalah kacang tanah; kacang hijau; telur ayam gred A, B dan C; kelapa biji; kelapa parut; gula pasir putih halus dan kasar serta tepung gandum. Skim ini pertama kali dilaksanakan berikutan cadangan orang ramai berhubung kenaikan harga barangan tertentu menjelang bulan Ramadhan. Skim ini akan berkuatkuasa lima hari sebelum Ramadhan dan lima hari semasa Ramadhan. Ramadhan dijangka bermula 27 Mei ini. Skim ini bertujuan menyekat kenaikan harga yang tidak berpatutan dan mencegah amalan mencatut dalam kalangan peniaga menjelang Ramadhan dan semasa Ramadhan. Skim ini juga merupakan antara langkah kerajaan mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat .

Peniaga diwajibkan menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum dan meletakkan tanda harga khas merah jambu ke atas barangan harga terkawal bagi membezakan dengan barangan lain. Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan mengikut skim ini di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. Mereka yang menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum ditentukan boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000. Individu yang gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal boleh didenda RM10,000 atau dikompaun RM5,000, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau kompaun RM10,000.