8:26 am - Wednesday April 25, 2018

30,000 unit rumah PR1MA akan dibina di Sabah

WhatsApp_Image_2018-04-14_at_16.34.31.jpeg.transformedMO, 15/4/2018, BEAUFORT: Kerajaan negeri akan membangunkan lebih banyak rumah mampu milik menerusi projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dengan kira-kira 30,000 unit rumah akan dibina di seluruh negeri.

Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, berkata ia akan dibina menerusi beberapa projek dengan kerjasama pemaju tempatan.

Katanya, usaha kerajaan itu bagi memastikan golongan berpendapatan rendah dapat memiliki kediaman sendiri.

“Selain dibina dengan kualiti tinggi, rumah PR1MA juga dilengkapi pelbagai kemudahan bagi memberi keselesaan kepada rakyat yang ingin memiliki rumah dengan harga berpatutan.

“Saya harap pemaju tempatan terus bekerjasama dengan kerajaan bagi merealisasikan impian rakyat berpendapatan rendah,” katanya ketika merasmikan projek PR1MA Woodford Estet, di sini, semalam.

Yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun; Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Ariffin Arif dan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Kamarlin Ombi.

Sebanyak 650 unit rumah PR1MA moden, masing-masing 300 unit rumah teres satu tingkat dan 350 unit rumah teres dua tingkat dibina di Woodford Estet, membabitkan berkeluasan 26 hektar, di Kampung Lumat, dekat sini.

Dalam perkembangan lain, Musa turut merasmikan Program Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM) Bersama Pemimpin dan Rakyat di Kampung Kubu Pintas, di sini.

Dalam ucapannya, beliau berkata, program seumpama itu dapat memberi pendedahan kepada rakyat mengenai tugas pasukan keselamatan menjaga kedaulatan negara ini.

Katanya, ia mampu mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat sebagaimana yang sentiasa dilaksanakan kerajaan bagi memperkasa pembangunan komuniti.

Dalam pada itu, Musa mengingatkan pemimpin Barisan Nasional (BN) supaya sentiasa turun padang mendengar denyut nadi rakyat dan menyelesaikan masalah dihadapi mereka.

“Bagi kami sebagai pemimpin BN di Sabah, setiap hari adalah pilihan raya dan usaha memperkasa masyarakat sentiasa diutamakan selaras perjuangan parti,” katanya.

Filed in: Ekonomi, Nasional, Negeri Di Bawah Bayu, Topik Pilihan

Tiada Komen Lagi

Tinggal Komen