10:08 am - Saturday August 30, 2014

72 Golongan Yang Ke Neraka

MO, 1/1/2013 – SEPERTI dikhabarkan oleh Nabi s.a.w umat Islam akan terpecah kepada 73 golongan dan semuanya ke neraka kecuali satu golongan. Golongan yang akan selamat ini adalah mereka mengikuti Islam sesuai dengan kefahaman Nabi dan sahabat.

Hal ini dapat dibuktikan dengan hadis Nabi yang berbunyi: “Ketahuilah, sesungguhnya orang sebelum kamu daripada ahli kitab sudah berpecah menjadi 72 golongan. Dan sesungguhnya agama ini (Islam) akan terpecah menjadi 73 golongan, 72 golongan tempatnya di neraka dan satu golongan di dalam syurga, iaitu al-Jama’ah.” (HR Ahmad dan yang lainnya, hadis hasan) Dalam riwayat lain Nabi bersabda: “Semua golongan itu tempatnya di neraka, kecuali satu iaitu aku dan sahabatku berada di atasnya.” (HR at-Tarmizi, hadis hasan) Maka sesiapa yang tidak mengikuti seperti mana Nabi dan sahabat dalam beragama, mereka akan terjatuh dalam salah satu kelompok dikhabarkan oleh Nabi tadi. Di antara satu kelompok sesat yang dijelaskan oleh ulama di kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah ialah golongan Khawarij.

Bahkan di antara sejarah munculnya istilah Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah untuk membezakan dengan 72 golongan itu. ‘Ahli Sunnah’ memberi maksud mereka yang mengikuti sunnah Nabi manakala ‘al-Jamaah’ memberi maksud bersama-sama dengan kaum muslimin dan pemerintahnya bukan Khawarij yang sentiasa mencabut ketaatan kepada kaum muslimin dan pemerintahnya, sekali gus menentangnya.

Golongan Khawarij bukanlah manusia yang tidak sayangkan Islam bahkan mereka bersemangat untuk menegakkan Islam, terutama hukum berkaitan jenayah seperti hudud dan qisas. Tetapi sayangnya semangat dan sayang mereka terhadap Islam itu tidak berlandaskan ilmu Islam yang benar, dalam masa sama bercanggah dengan amalan dilakukan oleh Nabi, sahabat dan salaf.

Kebiasaannya golongan Khawarij dalam menyampaikan Islam kepada masyarakat dengan pendekatan selalu menghukum orang Islam lain yang tidak menegakkan hukum hudud dan pelaku dosa besar dengan mengkafirkan mereka. Buktinya kemuncak kemunculan golongan Khawarij dalam sejarah Islam adalah terbunuhnya Saidina Ali r.a di tangan Abdul Rahman bin Muljam atau lebih dikenali sebagai Ibnu Muljam. Apakah alasan Ibnu Muljam membunuh Saidina Ali, khalifah Islam keempat yang dijamin syurga oleh Nabi? Alasan Ibnu Muljam yang mengangkat pedangnya menebas kepala Saidina Ali kerana Saidina Ali dianggap kafir olehnya disebabkan tidak melaksanakan hukum hudud dan qisas ke atas pembunuh Uthman r.a. Ibnu Muljam dikenali sebagai seorang yang warak dan pernah diutus oleh Saidina Umar r.a ke Mesir sebagai guru untuk mengajarkan al-Quran kepada penduduk Mesir.

Namun, kewarakan dan keikhlasan Ibnu Muljam untuk menegakkan Islam tidak menghalangnya untuk terjatuh ke dalam mazhab Khawarij yang akhirnya dia mengkafirkan Saidina Ali, sekali gus membunuhnya.

Di antara permulaan sifat golongan Khawarij, pertamanya akan menunjukkan dengan lisan mereka terlebih dulu seperti memaki-hamun di atas nama Islam kepada musuhnya. Selepas itu mereka akan menzahirkannya dengan tindakan melakukan kekacauan dan hura-hara dengan melakukan segala macam bentuk ancaman yang boleh menggugat orang lain. Kemuncak tindakan golongan Khawarij akan diakhiri dengan pembunuhan dan peperangan kepada golongan yang tidak bersama dengan mereka. Siapakah yang selalu dimusuhi dan dikafirkan oleh golongan Khawarij ini? Selalunya mereka suka memusuhi dan mengkafirkan sesebuah kerajaan Islam dan pemerintah Islam di dalamnya seperti yang menimpa kerajaan Saidina Ali.

Mereka sentiasa menggunakan ayat al-Quran untuk menegakkan mazhab dan akidah Khawarij. Mereka tanpa segan silu mentafsirkan ayat al-Quran dengan pemikiran dan hawa nafsu mereka agar bersesuaian dengan kelompok mereka, padahal ayat al-Quran yang mereka bacakan itu tidak sama seperti apa ditafsirkan oleh Nabi dan sahabat baginda.

Benarlah perkataan Saidina Ali kepada golongan Khawarij ketika mereka mengangkat ayat al-Quran yang menjadi slogan mereka “dan sesiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, mereka adalah orang kafir”. Ayat inilah yang menjadi modal kepada Ibnu Muljam untuk membunuh Saidina Ali.

Apabila Saidina Ali mendengar ayat ini diangkat menjadi slogan Ibnu Muljam dan pengikutnya, beliau berkata “kalimah yang benar, tetapi ia berkehendak kepada kejahatan (kebatilan)”. Kenapakah Saidina Ali berkata demikian? Kerana ayat yang dilaungkan itu memang benar daripada sisi Allah manakala pemahaman dan maksud ayat itu tidak sama seperti mana Nabi dan sahabat memahaminya.

Kerana itulah manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam mentafsirkan ayat al-Quran dan hadis Nabi sentiasa mengikuti petunjuk Nabi dan sahabat. Kerana jika tidak menafsirkan ayat al-Quran dan hadis Nabi seperti mana Nabi dan sahabat nescaya akan tergolong dalam salah satu 72 golongan yang diancam neraka.

Bahayanya kesan akidah dan mazhab Khawarij antaranya kefahaman dan amalan mereka akan sentiasa bercanggah dengan golongan Ahli Sunnah Wal Jammah dalam beragama.

Ahli Sunnah menuntut kepada kaum Muslimin agar mendoakan kebaikan kepada pemerintah Islam serta menyuruh manusia mentaati pemerintah Islam dalam hal-hal kebaikan.

Ahli Sunnah turut menasihati agar berhati-hati untuk mengkafirkan manusia yang tidak dapat menegakkan hukum Islam sepenuhnya dan pelaku dosa besar selain manusia diajak bersatu padu sesama Islam di atas dasar tauhid.

Adapun golongan Khawarij akan sentiasa ada di sepanjang zaman hingga tiba hari kiamat. Kepada Allah kita mohon perlindungan daripada fitnah golongan Khawarij ini.

Penulis Ketua Biro Massa Ilmuan Malaysia berkelulusan Syariah Fiqh dan Usul UM

 

( Dipetik daripada Harian Metro)

Filed in: Agama

One Response to “72 Golongan Yang Ke Neraka”

  1. Asspari
    January 3, 2014 at 1:08 am #

    selama masih mengatakan ada dan bolehnya bid’ah hasanah , maka itu bukan golongan ASWJ , krn Rasulullah SAW bilang umatku adalah yg menjalankan Al-Qur’an secara penuh dan benar ( Surat Al-Maidah ayat 3 , menyebutkan Islam sudah diridhoi dan sudah lengkap sehingga haram bagi kita nambah-2i , kalau kita nekat nambah-2i . Sama saja nuduh Allah SWT tak menurunkan Islam secara lengkap dan Rasullullah SAW pelupa serta bodoh dan tak menguasai ) , serta melaksanakan apa-2 yang kucontohkan, yang kusampaikan dan sahabat-2ku laksanakan. dan Rasullullah SAW menyebutkan bid’ah itu semata tentang Ibadah , Jangan dikait-2kan dengan urusan dunia , karena Rasullullah bersabda : Urusan akhirat , contohlah aku , tentang dunia ( IPTEK ) kamu lebih tau. ITU SAJA

Tinggal Komen