1:10 am - Thursday July 31, 2014

Ambil Iktibar Tragedi Di Mesir – Mb Terengganu

mesir1

MO, Kuala Terengganu, 21/8/2013 – Sempena Sambutan ulang tahun kemerdekaan negara bertemakan ‘Malaysiaku Berdaulat Tanah Tumpahnya Darahku’, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menyeru rakyat negara ini mengambil iktibar mengenai tragedi yang berlaku di Mesir.

Menurutnya, apa yang telah dibina selama ini akan runtuh sekelip mata, malah rakyat dan negara akan rugi jika perpaduan dan semangat cintakan tanah air tiada dalam diri setiap individu.

“Contoh terkini dapat kita lihat berlaku di Mesir. Negara itu kini huru-hara dan rakyat berbunuhan sesama sendiri.

Akibatnya, ekonomi negara terjejas. Mesir yang terkenal sebagai destinasi pelancongan di dunia, kini makin dijauhi pengunjung atas sebab keselamatan yang tidak terjamin. Rakyat yang bergantung hidup daripada hasil pelancongan akan terjejas.

“Malaysia adalah sebuah negara bertuah yang telah dianugerahkan dengan pelbagai kenikmatan, terutama keamanan yang sangat mahal nilainya.

Jadi, sebagai rakyat yang cintakan keamanan dan keharmonian, marilah kita sama-sama mempertahankan negara kita daripada segala bentuk ancaman yang boleh menggugat kestabilan negara,” katanya pada Majlis Pelancaran Perayaan Bulan Kemerdekaan ke-56 serta Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, di sini.

Majlis itu dihadiri kira-kira 5,000 tetamu daripada pelbagai lapisan masyarakat dan diserikan dengan upacara perarakan masuk 56 Bendera Malaysia oleh Batalion ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja Malaysia (RAMD) serta penyerahan Jalur Gemilang kepada semua Pegawai Daerah.

Ahmad turut menyeru rakyat negeri ini untuk sama-sama mengibarkan Jalur Gemilang bagi menyatakan semangat sayangkan negara dan terus mempertahankan Malaysia daripada segala bentuk ancaman, sama ada dari dalam mahupun luar negara.

“Bendera adalah lambang dan kedaulatan sesebuah negara. Di dalam peperangan sekali pun, bendera memainkan peranan yang sangat penting. Pejuang sanggup mengorbankan nyawa semata-mata ingin menyelamatkan bendera negara mereka.

“Benderalah juga diusung dan dikibarkan dengan megahnya dalam sesuatu kejohanan sukan dan sebagainya. bendera yang dibakar dan dipijak, boleh menjadi bahan permusuhan antara negara. Sebab itulah, bendera mempunyai nilainya yang tersendiri,” katanya.

Menurutnya, orang ramai tidak perlu segan-silu untuk mengibarkan bendera Malaysia di mana sahaja, sama ada di sekolah, rumah, pejabat, kedai malah pada kenderaan sendiri.

“Jangan harapkan bendera percuma, hadiah pertandingan dan habuan lain atau notis daripada pihak kerajaan sebagai syarat untuk kita kibarkan Jalur Gemilang.

“Apa salahnya kita berbelanja untuk tunjukkan rasa cinta kepada negara atau lebih dari itu kita sendiri yang keluarkan belanja untuk beri kepada orang lain,” katanya.- Sinar Harian

Filed in: Dalam Negeri

Tiada Komen Lagi

Tinggal Komen