1:47 pm - Saturday November 25, 2017

Anwar Ibrahim akan jalani pembedahan bahu

71505877350_950x600MO, 8/11/2017, KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini untuk menjalani penilaian pra-pembedahan bagi merawat kecederaan di bahu kanannya berikutan kemalangan pada September lalu.

Sehubungan itu, ahli keluarganya iaitu Nurul Nuha, Nurul Ilham dan Nurul Iman menggesa agar pihak kerajaan tidak campur tangan selain beri ruang sepenuhnya pada HKL untuk melakukan pembedahan tersebut.

“Kami menggesa agar kerajaan memberi jaminan bahawa semua rawatan perubatan yang diperlukan Anwar diberikan, tanpa campur tangan serta mendapat akses sepenuhnya kepada kemudahan pemulihan di hospital. Ini berikutan akses kepada kemudahan pemulihan itu cukup terhad untuk pencegahan selepas pembedahan di Hospital Sungai Buloh. Kami juga menggesa agar badan hak asasi manusia dibenarkan bertemu beliau untuk memantau keadaan sepanjang pembedahan dan pemulihan selepas pembedahan,” katanya ketika sidang media semalam.

Pada September lalu, kenderaan Jabatan Penjara yang membawa Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim terlibat kemalangan jalan raya. Peguam Anwar, R Sivarasa berkata, kemalangan berlaku di persimpangan trafik berdekatan Saujana Utama, Sungai Buloh ketika dalam perjalanan dari Hospital Kuala Lumpur ke Penjara Sungai Buloh selepas diwadkan selama empat hari.

Sementara itu, Anwar dijangka akan menjalani pembedahan pada 12 November ini. “Pembedahan ini amatlah rumit dan penjagaan selepas pembedahan yang rapi sangat diperlukan. Kami mempunyai kepercayaan penuh terhadap para doktor HKL untuk menjalankan pembedahan ini dengan penuh profesionalisme,” katanya lagi.

– SINAR HARIAN

Filed in: Kesihatan, Nasional, Politik, Topik Pilihan

Tiada Komen Lagi

Tinggal Komen