3:19 pm - Friday February 24, 0817

APA MASALAH NEGARA SEBENARNYA?

AMN copyMO, 19/1/2018 : SEBENARNYA kita tidak ada masalah besar pun. Apa yang digambarkan sebagai masalah adalah persepsi yang diciptakan oleh ahli-ahli politik pakatan pembangkang untuk menumbangkan kerajaan.

Anda tentu pelik dengan kenyataan ini kerana ia bertentangan dengan apa yang anda percayai bahawa kerajaan hari ini bermasalah sebagaimana dakwaan pembangkang.

Tidak perlu hairan sebenarnya jika anda mahu berfikir secara rasional dan berpijak di alam realiti.

Apakah masalah negara dan pemimpin-pemimpinnya?

Negara ini bermasalah jika anda tidak dapat makan, kehidupan anda tidak selamat, harta benda anda dirompak atau anda tiada pekerjaan. Ini tentulah tidak tepat untuk menggambarkan sebuah negara yang tidak bermasalah, tetapi ia mungkin tepat jika ia dilihat mengikut ukuran semasa dan dibandingkan dengan majoriti negara-negara lain.

Maksudnya, negara ini bukanlah negara yang bermasalah apabila dibandingkan dengan negara lain.

Tentu anda mempersoalkan saya dengan bermacam-macam persoalan sebagaimana yang dibawa oleh pembangkang.

Apa yang dapat saya jawab, hiduplah dalam realiti dan bandingkanlah negara anda dengan negara-negara lain. Jika negara ini teruk, negara-negara lain lebih teruk lagi. Ini bukanlah bermakna saya mahu membenarkan penyelewengan atau salahlaku jika ia benar-benar berlaku. Tetapi, anda tidak berpijak di bumi yang nyata jika mengharapkan sebuah kerajaan yang sempurna dan baik dengan hanya menukar kerajaan.

Tentu pula anda mentertawakan saya jika itu yang saya maksudkan dengan sebuah negara yang tidak bermasalah.

Tetapi, cubalah berfikir secara realiti, tidak terpengaruh dengan utopia dan khayalan pembangkang.

Misalnya, isu GST atau kenaikan harga barang-barang, semua isu itu tidak masuk akal untuk menyatakan kerajaan teruk. Bagaimana kerajaan mahu mentadbir tanpa cukai, dan kenaikan harga barang-barang pula berlaku di mana-mana negara.

Di mana-mana negara di dunia ini, isu-isu yang sering disebutkan pembangkang akan wujud sekalipun mereka sendiri yang memerintah. Ia tidak dapat dielakkan dengan menukar kerajaan. Bahkan, di negeri-negeri yang diperintah oleh pakatan pembangkang sendiri hari ini pun wujud isu-isu sebegini. Sama ada ia betul atau tidak, isu ini memang wujud.

Saya katakan itu bukan masalah kerana saya berfikiran realistik. Isu-isu ini tetap akan kedengaran sekalipun parti kerajaan bertukar. Ia perkara biasa. Malah di negara-negara lain pun akan kedengaran tuduhan-tuduhan seperti ini.

Jika ia benar-benar masalah pun, ia tidak dapat diselesaikan dengan menukar kerajaan.

Memanglah kerajaan hari ini bukanlah yang terbaik dan sempurna. Tetapi, hiduplah dalam realiti.  Ketidaksempurnaan kerajaan haruslah dilihat dalam konteks yang luas.

Kerajaan baru yang dibayangkan oleh pembangkang adalah suatu keadaan yang tidak akan dapat dicapai.

Malah, satu kerja bodoh jika anda menukar Dato’ Sri Najib dengan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Bukankah, jika diikutkan tuduhan pembangkang, Tun Dr Mahathir juga lebih teruk salahlakunya. Jadi, apa faedahnya berlaku perkara ini?

Sepatutnya anda sedar semua ini hanyalah ilusi, persepsi, propaganda dan perang saraf pembangkang. Mereka mahu meletakkan orang ramai dalam keadaan beremosi, marah, panik dan tegang. Mereka mencetuskan suasana bahawa kerajaan terlalu teruk dan menunggu kemusnahan jika ia tidak diselamatkan. Semua ini semata-mata bertujuan menumbangkan kerajaan dan mengangkat kelompok mereka ke takhta kekuasaan.

Pakatan pembangkang menjadi pengadu-domba, penghasut, penyebar berita buruk dan pengacau kestabilan negara.

Mereka mencipta pelbagai “hantu-hantu” untuk menakut-nakutkan rakyat. Kononnya negara akan bankrap, negara akan tergadai, generasi akan datang bakal menanggung hutang negara.

Realitinya, semua ini telah kedengaran sejak dahulu lagi. Tetapi, seperti yang kita tahu, ia tidak terjadi. Ambil contoh tuduhan bahawa negara ini akan bankrap. Sehingga hari ini negara masih tidak bankrap. Pelbagai skandal yang didakwa pembangkang hari ini lebih kurang sama seperti mereka mendakwa pemimpin-pemimpin terdahulu.

Saya katakan semua ini sebagai satu himpunan persepsi kerana tindakan pembangkang telah berubah-ubah mengikut kepentingan mereka, dan bukan kepentingan rakyat.

Dahulu Tun Dr Mahathir adalah “hantu” kepada rakyat Malaysia. Hari ini Dato’ Sri Najib pula dijadikan sebagai hantu.

Jadi, semua ini hanyalah “hantu-hantu” ciptaan mereka untuk menakut-nakutkan rakyat. Keadaan negara tidak seteruk yang digambarkan oleh pembangkang.

Lalu kemudian mereka meletakkan diri mereka sebagai penyelamat kepada negara.

Hiduplah dalam realiti.

Bukan tidak ada salahlaku, penyelewengan atau rasuah, tetapi untuk mengatasinya dengan menukar kerajaan adalah suatu tindakan yang tidak rasional. Ia adalah perkara biasa yang pasti berlaku dan menggantikannya tidak akan mengubah keadaan.

Jadi, apa masalah anda sebenarnya sehingga anda kelihatan panik dan ketakutan? Apa yang negara telah berlaku zalim kepada anda? Penindasan bagaimana yang sedang anda alami?

Hari ini , apa tindakan kerajaan yang telah menyebabkan kehidupan anda menjadi susah?

Sebagai contoh, apa kesan 1MDB kepada anda secara langsung?

Tanyalah diri anda dengan jujur, adakah jika kerajaan bertukar anda yakin keadaan anda juga akan berubah menjadi baik?

Masalah anda adalah anda cepat panik, mudah dihasut, mudah dikhayalkan dan terpengaruh dengan isu-isu yang dibawa oleh pembangkang.

Jika anda duduk dan merenung semula keadaan negara, semua ketakutan-ketakutan itu tidak berasas. Ia hanyalah rekaan dan tokok-tambah oleh pakatan pembangkang. Dan tanpa anda menyelidik semua itu, anda mempercayainya. Ia kemudian menjadi suatu persepsi bahawa kerajaan hari ini teruk dan perlu ditumbangkan, sedangkan anda tidak memahami realiti sebenarnya.

Keadaan hanya akan menjadi lebih teruk dan tidak terkawal jika anda terus termakan dengan hasutan pembangkang ini. Kerosakan akan terjadi bukan kerana kegagalan kerajaan mentadbir, tetapi keadaan politik yang tidak stabil yang dicetuskan oleh pembangkang.

Dalam ayat penerangan yang mudah, pakatan pembangkang sebenarnya mencipta isu-isu yang dekat dengan rakyat untuk menimbulkan ketakutan dan kemarahan rakyat kepada kerajaan.

Jika isu itu benar sekalipun, ia telah ditokok-tambah secara berlebih-lebihan untuk mencapai matlamatnya, iaitu kemarahan rakyat. Apabila rakyat marah, mereka tidak lagi dapat berfikir rasional.

Matlamat semua ini adalah untuk menaikkan kelompok mereka sebagai kerajaan baru.

Walau bagaimanapun, bertentangan dengan apa yang dilihat sinis oleh pembangkang, kita sepatutnya bersyukur kerana negara ini masih lagi aman.

Masalah besar yang wujud adalah suatu persepsi yang cuba dicipta oleh pakatan pembangkang, walhal sebenarnya kerajaan hari ini tidaklah seteruk yang digambarkan oleh mereka sehingga ia perlu ditukar.

 

Oleh: AZMAN HUSSIN

 

Filed in: Azman Hussin, Nasional, Politik, Topik Pilihan

Tiada Komen Lagi

Tinggal Komen