8:35 am - Wednesday April 25, 2018

APAKAH MAKNA PERUBAHAN?

APA MAKNA PERUBAHAN copyMO, 13/4/2018, REFORMASI, perubahan, peralihan, hijrah, dan sebagainya sering dikumandangkan sebagai slogan yang memukau dan mempesonakan kepada orang ramai.

Ia sering digunakan oleh kumpulan yang menentang keadaan sedia ada seperti parti-parti pembangkang, pemberontak dan sebagainya, sebagai daya penarik sokongan.

Tanpa memahami maksud dan hakikat sebenarnya, ia akan mengelirukan orang ramai.

Perubahan sering digambarkan sebagai muda, baru, bertenaga, bersih, elok dan baik.

Tiada siapa yang tidak sukakan gambaran indah seperti itu.

Masalahnya, apakah perubahan sebenara dalam konteks sebuah negara?

Ada beberapa persoalan yang perlu ditanyakan sebelum anda keluar melakukan perubahan.

Menukar sesuatu keadaan tidaklah menjaminkan keadaan yang lebih elok.

Hari ini perubahan digambarkan kepada orang ramai sebagai suatu kebaikan untuk negara. Orang ramai seolah-olah terpukau dan terkeliru.

Tiada siapa yang menolak perubahan yang baik. tetapi, bagaimanakah mahu mencapainya.

Kita tidak boleh menukar sesuatu hanya kerana ia sudah lama dan berusia.  Tetapi, itulah yang bermain dalam pemikiran ramai rakyat Malaysia. Mereka terperangkap dalam gambaran yang indah tadi.

Mereka menganggap menukar kerajaan adalah suatu nilai perubahan yang baik dan mesti dilakukan oleh seluruh rakyat.

Mari kita renungkan.

Bijak pandai berkata, “pemimpin adalah cerminan masyarakat.” Maksudnya, pemimpin yang baik datangnya daripada masyarakat yang baik.

Ambil contoh sebatang pokok yang lebat daunnya, lazat buahnya dan tegak kukuh berdiri.

Bagaimanakah pokok itu akan tegak sebegitu jika akar-akarnya di dalam tanah tidak sihat?

Sudah tentulah pokok itu perlu mempunyai akar-akar yang sihat dan cukup gizinya.

Selalunya apabila kita melihat sebatang pokok yang sakit, gugur daunnya, patah dahannya dan tidak berbuah, kita tidak melihat di sebaliknya mengapa pokok itu sakit.

Tanpa perlu dijelaskan maksudnya, anda sendiri boleh memahami keadaan ini dengan analogi sebuah negara.

Ia berbalik kepada masyarakat, iaitu minda dan sikap anda.

Jika anda menukar kerajaan, tanpa mengubah sikap anda, perubahan itu tidak akan memberi apa-apa makna.

Perubahan itu mesti bermula daripada rakyat, iaitu anda sendiri.

Kita lihat keadaan politik hari ini yang celaru dan tidak stabil kerana kita mahukan perubahan fizikal.

Tanpa kita mengubah sikap kita, kita akan terus bergerak ke arah kemusnahan.

Sikap kita yang tidak rasional dan negatif menyebabkan kita mudah dieksploitasi oleh ahli-ahli politik.

Sebenarnya ia adalah keadaan kebodohan yang nyata apabila kita membuka mata kita melihat realiti politik hari ini. Perkara ini berlaku kerana mentaliti kita yang teruk, negative dan menurutkan emosi.

Minda kita yang lemah telah menghidupkan ahli-ahli politik yang tidak bertanggungjawab ini.

Ambil satu contoh mudah, iaitu Dr Mahathir dan pembangkang. Telah jelas selama ini mereka bergaduh dan saling tuduh-menuduh, tetapi kenapa dengan selamba mereka boleh berbaik dan melupakan semua perkara itu?

Keadaan ini tidak logik dan tidak masuk akal. Tetapi kerana minda kita lemah dan telah dirosakkan oleh pemikiran politik, kita menerima keadaan ini.

Jika direnungkan, ia tidak patut berlaku, tetapi kerana sudah tidak lagi rasional dan pemikiran kita dihalakan kepada tindakan membenci kerajaan, kita telah menerimanya.

Antara sikap kita yang buruk adalah tidak berfikir secara mendalam. Kita telah diadu-domba untuk menentang kerajaan. Tindakan ini seperti gerombolan babi yang meluru ke hadapan tanpa menoleh kiri dan kanan lagi. Ia membabi-buta.

Perubahan mestilah dimulakan daripada bawah, iaitu akar-umbi.

Mengubah sesuatu daripada atas tidak akan mencapai matlamat.

Seorang pemimpin yang baik sekali pun, jika diletakkan dalam masyarakat yang buruk, ia pasti akan ditentang dan tidak dapat mengubah masyarakat.

Kelemahan kita adalah terlalu menurutkan emosi. Kita mudah diadu-domba sehingga tidak dapat berfikiran secara waras lagi. Selagi rakyat mudah diadu-domba, emosional, bermentaliti subsidi, malas, negatif, dan seumpamanya, sebarang perubahan tidak akan mencapai maksud sebuah negara yang baik.

Keadaan seperti ini sebenarnya akan merosakkan lagi negara. Rakyat seolah-olah hidup di alam fantasi bahawa semuanya akan lebih baik jika kerajaan bertukar.

Keadaan ini sebenarnya akan menghasilkan kitaran ganas dalam masyarakat.

Politikus-politikus yang berebut kuasa tidak lagi bertindak melaksanakan apa yang sebaiknya untuk rakyat dan negara. Sebaliknya mereka akan bertindak mengikut kehendak masyarakat untuk mendapatkan sokongan. Lama-kelamaan keadaan ini akan merosakkan masyarakat.

Ambil contoh yang mudah ini. Pembangkang selalu menghasut rakyat dengan pelbagai cerita-cerita buruk pihak kerajaan. Mereka, contohnya, membangkitkan soal wang rakyat. Dan kita sebagai rakyat terpengaruh lalu menentang kerajaan. Kerajaan pula, untuk mengekalkan kuasa, akan terpaksa menuruti dan mengambil hati rakyat.

Kitaran ini akhirnya akan menghasilkan masyarakat yang lemah, yang terlalu bergantung kepada kerajaan dan suka merungut. Minda mereka telah dimanipulasi agar mempercayai pertukaran kerajaan akan mengubah nasib mereka.

Akhirnya, minda kita akan selalu menyalahkan faktor-faktor sekeliling, terutamanya kerajaan.

Kita akan menjadi masyarakat yang manja dan mengada-ngada tanpa berusaha sendiri dan memahami realiti dunia tidak seperti yang digambarkan pembangkang.

Anda boleh memberikan wang kepada seseorang untuk membantu dirinya yang kesempitan, tetapi selagi anda tidak mengubah sikapnya, ia tidak ada maknanya. Anda perlu memberi kesedaran kepada mereka untuk tidak bergantung kepada orang lain.

Apa yang diajar dalam politik hari ini adalah menuntut hak-hak anda daripada negara, bukannya melaksanakan tanggungjawab anda kepada negara.

Sebaliknya, dengan budaya politik sebegini, jika berlaku perubahan luaran seperti ini, kerajaan baru juga tidak akan bertahan. Mereka pasti akan ditentang oleh masyarakat yang mindanya dibentuk oleh mereka sendiri selama ini.

Tidak ada sesiapa yang dapat memuaskan hati rakyat selagi anda tidak mengajar mereka nilai-nilai positif dalam diri mereka seperti bersyukur dan rasional. Anda berusaha memuaskan kehendak mereka, tetapi anda tidak mengajar mereka bagaimana untuk berpuas hati dengan apa yang ada, sedangkan kehendak-kehendak itu tidak terbatas.

Jadi, di mana pengakhirannya?

Pembangkang hari ini, tindakan mereka telah membuatkan rakyat menjadi semakin lemah dan negatif kerana mengharapkan (atau menyalahkan) semuanya kepada kerajaan.  Mereka mengharapkan banyak percuma percuma, cukai GST dihapuskan, barang-barang murah dan sebagainya, sedangkan semua ini berlaku di mana-mana negara. Bahkan jika pembangkang sendiri memerintah, mereka juga tidak dapat menunaikannya.

Adakah wujud kerajaan di dunia ini yang dapat menunaikan seperti apa yang digambarkan pembangkang?

Anda tahu jawapannya.

Anda harus berubah. Jika tidak, apa-apa perubahan berlaku pun, ia tidak akan mengubah nasib anda.

Jika anda tidak berubah, anda hanya akan menjadi mangsa adu-domba ahli-ahli politik untuk mencapai matlamat peribadi mereka, yang akan menyebabkan negara ini terjerumus ke dalam keadaan yang lebih buruk lagi.

Bagaimanakah negara akan berubah ke arah yang lebih baik jika anda sendiri tidak dapat mengubah diri anda.

Perubahan diri anda itulah yang akan mengubah negara anda ke arah yang lebih baik.

 

Oleh: AZMAN HUSSIN

Filed in: Azman Hussin, Nasional, Politik, Topik Pilihan

Tiada Komen Lagi

Tinggal Komen