3:03 pm - Friday August 22, 3902

ATM perketat kawalan perairan Sabah dengan penambahan aset

indexMO, 27/5/2017, KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggerakkan penambahan aset dengan rondaan dua lagi kapal hari ini bagi membantu memperketatkan kawalan di perairan Sabah, susulan insiden serangan di Bangkok, Jakarta dan Mindanao.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata anggota Quick Reaction Force (QRF) bersama pasukan turut ditempatkan di pulau sekitar perairan Sabah, selain meningkatkan rondaan bot tempur di kawasan dikenal pasti laluan masuk dari selatan Filipina. Usaha itu turut membabitkan penambahan satu kompeni infantri Tentera Darat (TD) di kawasan Cenderawasih, Lahad Datu, bagi memastikan kawasan pantai di situ terkawal sepenuhnya. Inisiatif ini adalah pendekatan terkini dilaksanakan ATM sebagai melengkapkan inisiatif sebelumnya bagi memperkukuhkan keselamatan Sabah, termasuk mengatur gerak aset tambahan bagi menangani dan memberi tindak balas pantas terhadap ancaman. Beliau juga sudah berhubung dengan Menteri Pertahanan dari ketiga-tiga negara terbabit iaitu Delfin Negrillo Lorenzana (Filipina), Prawit Wangsuwon (Thailand) dan Ryamizard Ryacudu (Indonesia) bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung insiden itu. Malaysia melalui ATM akan terus bekerjasama rapat dengan angkatan tentera dari ketiga-tiga negara terbabit bagi memperkukuhkan kawalan keselamatan di negara masing-masing termasuk berkongsi maklumat risikan.
Filed in: Luar Negara, Nasional, Negeri Di Bawah Bayu, Teknologi dan Media Sosial, Topik Pilihan

Tiada Komen Lagi

Tinggal Komen