3:37 am - Saturday August 23, 2014

Barisan Bintang Johor Darul Takzim Sekadar Jaguh Kampung?

 

BARISAN pemain bintang Johor Darul Takzim (Johor DT) masih belum menyinar.

Selepas mengharungi lima perlawanan Liga Super dan satu Piala FA setakat ini, kelibat mereka masih menjadi tanda tanya.

Prestasi mereka masih berada pada tahap yang meragukan, tidak setanding dengan reputasi selaku pemain bintang.

Senario tersebut mula mengundang resah ketua jurulatih Johor DT, Fandi Ahmad yang menyifatkan sebahagian besar pemain bintangnya belum menemui rentak yang diharapkan.

Itu kebimbangan Fandi walaupun skuad kendaliannya berjaya melangkah ke pusingan kedua Piala FA selepas menewaskan Perak 1-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru malam kelmarin.

Fandi secara terbuka mendedahkan, barisan pemain-pemain bintangnya masih belum menemui keserasian bersama pemain-pemain yang lain.

“Secara keseluruhannya kita gembira (dengan kejayaan mengalahkan Perak) tetapi kita masih perlu memperbaikinya kerana komunikasi (sesama pemain) sangat teruk,” katanya selepas aksi menentang Perak itu.

Musim ini, skuad yang mendapat jolokan Harimau Selatan itu membariskan pemain-pemain berstatus bintang yang diketuai oleh kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim serta gandingan penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha (Mat Yo) dan Mohd. Safee Sali.

Turut menyarung jersi Johor DT ialah pasangan kembar, Aidil Zafuan dan Zaquan Adha Abd. Radzak, Azmi Muslim, Muslim Ahmad serta Nurul Azuan Roya.

Melengkapkan koleksi pemain bintang dalam pasukan itu ialah bekas penjaring terbanyak Liga Sepanyol, Daniel Guiza dan bekas pemain Serie A, Simone Del Nero dari Itali.

“Ia bukan mudah, kita dengar ada (pemain) yang mengatakan kita tak boleh buat ini, serang dan bertahan, kita hanya perlu menyerang. Jadi, saya merasakan mereka perlu mengubah sikap dan minda masing-masing.

“Dalam permainan bola sepak kamu tidak boleh katakan yang tugas kamu hanya menyerang dan kawan yang lain pula bertahan. Sikap seperti ini tidak boleh diamalkan, kamu perlu menyerang dan bertahan sebagai satu pasukan, sekarang (permainan) perlu dilakukan bersama,” jelasnya.

Mengulas mengenai aksi menentang Perak itu, Fandi mengakui dia berpuas hati dengan prestasi pemain terutama pada babak kedua yang menyaksikan anak-anak buahnya lebih banyak melakukan serangan dan tidak mudah kehilangan bola.

“Sokongan antara pemain sangat bagus, Mat Yo pegang bola, sementara Safiq dan Azwan menyokong, dan di situ kita telah banyak membuka ruang.

“Percaturan membawa Mohd. Zaquan juga menjadi apabila dia bersama Nurul Azwan bermain dengan baik dan bukan mudah untuk bermain dengan sembilan barisan pertahanan dalam kotak penalti yang mana memerlukan kita melakukan sesuatu,” ulasnya.

Pemain di bangku simpanan, Muhammad Akram Mahinan, turut menunjukkan aksi yang cemerlang selepas dia dibawa masuk menggantikan Guiza pada separuh masa kedua.

“Saya berharap, semua pemain terus bekerja keras untuk mengembalikan prestasi masing-masing selain meningkatkan keserasian dalam pasukan.

“Kami tidak boleh beraksi sambil lewa kerana ia akan membawa padah kepada pasukan,” jelas Fandi.

Sepanjang saingan liga yang berehat seketika selepas ini, Johor DT akan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan menentang kelab dari negara jiran, Singapura seperti Geylang United, Singapore Armed Forces Football Club (SAFFC) dan Young Lions.

Tarikhnya masih belum diputuskan lagi. – Kosmo

 

Filed in: Topik Pilihan

Tiada Komen Lagi

Tinggal Komen