7:30 pm - Monday October 23, 2017

BEBERAPA SITUASI DALAM KRISIS POLITIK MALAYSIA

3e53e143-e05e-45f9-8712-9058a0e7f77dOleh: AZMAN HUSSIN

 

MO, 6/10/2017 – MENARIK sebenarnya jika kita memerhati dan menilai pergolakan politik di Malaysia hari ini. Peristiwa-peristiwa pergolakan politik yang sedang berlaku sekarang ini mengungkapkan pengertian yang tersendiri untuk dinilaikan. Ia boleh menggambarkan atau memberi contoh untuk memahami keadaan atau istilah-istilah tertentu dalam kehidupan kita.

Ada istilah, ungkapan atau perkataan yang kita tidak begitu fahami, tetapi ia boleh difahami melalui peristiwa-peristiwa politik terkini.

Misalnya, apabila Dato’ Sri Anwar memaafkan Tun Dr Mahathir dan menganggap apa yang terjadi antara mereka dahulu sebagai hanya “luka kecil”, itu boleh dinamakan sebagai suatu sikap professional untuk mencapai tujuan bersama menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional.

Mereka bermusuh bertahun-tahun lamanya, tetapi kerana mementingkan tujuan bersama, mereka mengabaikan permusuhan tersebut.

Datuk Seri Anawr Ibrahim tahu bantuan Tun Dr Mahathir sangat diperlukan untuk menumbangkan kerajaan.

Jika beliau menolak Tun Dr Mahathir, keadaan akan menjadi lebih rumit. Akan wujud pecahan dan persaingan sesama pembangkang. Bukan sahaja beliau tidak dapat menumbangkan kerajaan, bahkan mencipta satu lagi musuh.

Maka, pilihan yang ada adalah menerimaTun Dr Mahathir sebagai sekutu politik untuk menumbangkan kerajaan.

Bagi Dr Mahathir pula, sama seperti Dato Sri Anwar, beliau memerlukan bekas Timbalan Perdana Menteri itu untuk menumbangkan kerajaan.

Jadi, apabila mereka berbaik, inilah apa yang boleh dipanggil sebagai sikap professional yang menghalalkan segala cara demi mencapai matlamat. Hanya orang-orang yang bersikap professional boleh melakukan perkara sebegini.

Makna hipokrasi pula mungkin difahami dengan tindakan DAP yang menerima Tun Dr Mahathir sebagai sekutu politik, sedangkan dahulu merekalah yang menuduh Tun Dr Mahathir dengan pelbagai dakwaan yang buruk. DAP tidak pernah menarik balik tuduhan-tuduhan tersebut, dan Tun Dr Mahathir pula tidak pernah mengakui tuduhan itu benar. Jadi hubungan DAP dan Tun Dr Mahathir ini adalah sangat hipokrit, menipu orang ramai untuk mencapai tujuan mereka.

Pakatan pembangkang tidak pernah menamakan siapa bakal Perdana Menteri mereka secara jelas dan tetap, itu sebenarnya satu tipu daya. Jika mereka menamakan siapa Perdana Menteri mereka secara jelas, tentulah wujud rasa timbul puas hati dalam kalangan mereka sendiri, lebih-lebih lagi bilangan parti mereka banyak.

Apabila DAP menolak PAS, itu dipanggil berprinsip. Ia satu peneguhan prinsip. DAP tidak peduli mereka kalah atau tidak, asalkan prinsip perjuangan mereka tidak tergadai. Dalam masa yang sama, mereka mahu menunjukkan kepada orang ramai bahawa tanpa PAS, pembangkang tetap lebih kuat. Dalam bahasa yang lebih mudah difahami, ia dipanggil “jual mahal”. Mereka mahu meletakkan diri dalam keadaan bernilai, walaupun sebenarnya mereka sangat perlukan penyertaan PAS.

Tujuan yang lain, mereka mahu dilihat oleh orang-orang bukan Islam, khususnya orang-orang Cina, bahawa mereka berkuasa dan tidak akan mengalah. Untuk menyakinkan orang-orang bukan Islam, mereka perlu dilihat kuat dan berkuasa. Salah satu kaedahnya adalah dengan “jual mahal” dan sentiasa berprinsip.

Apabila PAS keluar daripada pakatan pembangkang yang dikuasai oleh DAP, ia boleh dikatakan sebagai bermaruah dan menolak kebaikan yang mengundang keburukan. Benar, bagi PAS, menentang UMNO itu perlu, tetapi tidak ada gunanya jika ia mengundang keburukan yang lebih besar. PAS sedar pakatan pembangkang dikuasai, malah dimanipulasi oleh DAP yang bercita-cita menghapuskan hak-hak keistimewaan orang-orang Melayu. Dan keadaan itu tidaklah lebih baik berbanding diperintah oleh UMNO.

PAS ada maruahnya apabila mereka tidak mahu lagi diperkudakan oleh DAP walaupun mereka memiliki matlamat yang sama menumbangkan kerajaan.

Ketika orang-orang Melayu menentang kerajaan walaupun mereka tahu mereka hanya dipergunakan oleh DAP, ia boleh dipanggil sebagai emosional. Mereka sedar orang-orang bukan Islam tidak sekali-kali akan mengiktiraf mereka, melainkan mereka menurut kehendak orang-orang bukan Islam. Jadi, fikiran mereka tidak lagi rasional kerana terlalu mengikut perasaan benci kepada pemerintah, walaupun mereka tahu perkara ini akan menyebabkan mereka dieksploitasi dan negara bakal diambil alih oleh orang-orang bukan Islam.

Apakah pula yang boleh dikatakan sebagai menggadai agama, bangsa dan tanahair? Politikus-politikus Melayu yang membangkang kerajaan dan sanggup diperkudakan oleh politikus bukan Islam adalah contoh terbaik sebagai penggadai agama, bangsa dan tanahair. Mereka tahu mereka di jalan yang salah, tetapi mereka tetap melakukannya kerana mahu mencapai kepentingan-kepentingan peribadi mereka.

Menumbangkan kerajaan sedia ada di bawah pemerintah orang-orang Melayu dan meletakkan risiko negara di bawah penguasaan orang-orang bukan Islam sudah tentulah ia suatu perjuangan yang menghancurkan agama, bangsa dan tanahair.

Jadi, mereka menggadaikan segalanya untuk mencapai kepentingan-kepentingan peribadi mereka.

Ciri-ciri opportunis mungkin boleh dilihat pada penyebar-penyebar pemikiran liberal, sekular, pluralisme atau gaya hidup bebas seperti LGBT, yang muncul ketika politik negara yang kacau-bilau. Mereka mengambil peluang di atas pergolakan politik. Mereka makin ketara ketika wujudnya demonstrasi dan protes. Tanpa segan-silu mereka mengangkat sepanduk-sepanduk perjuangan mereka. Inilah apa yang dipanggil opportunis, yang menangguk di air keruh.

Apabila PAS dan UMNO bekerjasama tetapi mereka tidak bersatu secara rasmi, itu boleh dianggap sebagai suatu kebijaksanaan politik. Bagaimanakah mahu menyakinkan kepada penyokong masing-masing yang tidak memahami keadaan rumit politik hari ini? Jika mereka berterus-terang, tentulah akan menimbulkan kemarahan segelintir penyokong mereka yang tidak memahami politik secara keseluruhan?

Begitu jugalah kebijaksanaan DAP dan MCA  apabila mereka bersatu menyokong atau menentang sesuatu yang berkaitan dengan kepentingan-kepentingan bangsa mereka.

Bidak-bidak catur pula sesuai ditujukan kepada parti pecahan PAS, iaitu Parti Amanah Negara. Walaupun ia sebuah parti tersendiri, tetapi ia hanyalah menjalankan tugas-tugas DAP untuk melenyapkan pengaruh PAS sebagai parti orang-orang Islam.

Jika anda mahu memahami makna sebenar taksub pula, anda boleh melihat kepada penyokong-penyokong Tun  Dr Mahathir hari ini. Apa yang dimaksudkan dengan taksub adalah mempercayai seseorang secara membabi-buta. Mereka yang taksub kepada seseorang akan membenarkan segala perkataan individu tersebut.

Lihatlah Tun Dr Mahathir, suatu masa dahulu beliau menyakinkan pengikut-pengikutnya bahawa DAP adalah rasis dan berbahaya kepada orang-orang Melayu. Hari ini, beliau bercakap perkara yang sebaliknya, walaupun DAP tetap tidak berubah prinsipnya.

Bagi yang berakal sihat dan tahu menilai, sudah tentulah mereka akan menolak sikap berdolak-dalik ini. Ironinya, pengikut-pengikut beliau terus menyokong beliau walaupun ia jelas bertentangan dengan prinsipnya dahulu. Lalu, apakah yang mahu dinamakan dengan sikap ini, selain dengan perkataan taksub?

Kebodohan atau kejahilan pula boleh dimaksudkan dengan segelintir orang-orang Melayu yang rela dieksploitasi orang-orang bukan Islam. Hanya kerana bencikan kerajaan, mereka tidak dapat berfikir dengan cerdik. Mereka tidak dapat berfikir baik dan buruk, manfaat dan mudarat lagi, kerana akal mereka sangat lemah, sedangkan jelas mereka hanya dipergunakan sebagai kayu ulu kapak untuk menebang pokok kayu.

Dan apa yang mungkin tepat dipanggil  sebagai rasional adalah orang-orang Melayu yang tetap mempertahankan kerajaan sedia ada walaupun ia dikritik dan dituduh oleh pembangkang sebagai zalim dan menindas rakyat. Mereka rasional bahawa kerajaan tidaklah sempurna dan mungkin terdapat beberapa penyelewengan dan aktiviti yang mencurigakan. Walaupun mereka tidak dapat apa-apa hasil dalam bentuk material, mereka tetap menyokong kerajaan kerana memikirkan masa depan agama, bangsa dan tanahair mereka.

Ya, adalah rasional berfikir tidak ada kerajaan yang sempurna, tetapi itu tidak menjadikan mereka hilang akal untuk menumbangkannya.

Mereka mungkin berasa tergugah atau terhasut dengan propaganda pembangkang, tetapi mereka tidaklah hilang pedoman sehingga sanggup menukar kerajaan kepada pakatan pembangkang yang didominasi oleh orang-orang bukan Islam.

Ada banyak lagi keadaan yang boleh anda temui dalam pergolakan politik negara hari ini, tetapi inilah antara perkara-perkara yang utama.

Hanya akal yang sihat boleh menilai dan memahami keadaan-keadaan ini dengan adil dan bijaksana.

Filed in: Nasional, Politik, Topik Pilihan

Tiada Komen Lagi

Tinggal Komen