8:45 am - Wednesday April 25, 2018

BN kongsi kekayaan negara dengan rakyat

PEKAN 15 APRIL 2018. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak (tengah) disambut orang ramai ketika hadir pada majlis pecah tanah Menaiktaraf Jalan Persekutuan (FT003) dari Bandar Pekan ke Kampung Sungai Miang yang membabitkan jalanraya sepanjang 15 Kilometer di Kampung Ketapang Hilir. NSTP/FARIZUL HAFIZAWANG

MO, 16/4/2018, PEKAN: Datuk Seri Najib Razak berkata, Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan terus berpegang kepada prinsip berkongsi kekayaan dengan rakyat, terutama kumpulan B40 dan M40, apabila hasil negara bertambah, demi berlaku adil serta saksama.

Perdana Menteri berkata, peningkatan hasil negara dan perkongsian kekayaan dengan rakyat itu dapat dicapai berikutan kecekapan kerajaan di bawah pentadbiran BN dalam menguruskan ekonomi negara.

“Ketika kita mengumumkan Bajet 2018, harga minyak dunia sekitar AS$52 (RM201.76) setong dan sekarang sekitar AS$67 (RM259.96) setong, kutipan Cukai Barang Dan Perkhidmatan (GST) dan cukai korporat bertambah baik berikutan ekonomi baik, maka kita putuskan untuk mengagihkannya semula kepada rakyat.

“Pada 7 April lalu, saya sudah mengumumkan berita baik BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) ditambah 100 peratus. Mulai Jun dan Ogos ini, jumlahnya bertambah daripada RM400 kepada RM800. Kita wujudkan kategori baharu untuk individu berpendapatan RM4,000 ke RM5,000.

“Oleh itu, yakinlah yang kita (BN) sentiasa mengotakan janji dan mendahulukan rakyat. Kita tidak main janji, yang akhirnya tinggal janji sahaja dan tidak menunaikannya,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi BN, berkata demikian ketika berucap pada pelancaran projek naik taraf Jalan Persekutuan sepanjang 14.7 kilometer dari bandar ini ke Sungai Miang di sini, semalam. Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Zohari Akob.

Perdana Menteri berkata, Malaysia kini berada pada landasan tepat menjadi negara yang berjaya pada masa hadapan, menerusi perancangan teliti oleh kerajaan yang ditadbir BN.

“Baru-baru ini Bank Dunia menaikkan unjuran KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) kepada 5.4 peratus. Ia adalah kali keempat dalam tempoh satu tahun empat bulan (16 bulan sejak tahun lalu hingga kini) tiada negara di dunia dinaikkan unjuran sebegitu seperti Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia kini mempunyai ciri-ciri menjadi negara paling berjaya di dunia, yang dapat dilihat di merata tempat termasuk kejayaan menyiapkan projek Transit Aliran Massa (MRT) sepanjang 52 kilometer (km) dengan lebih cepat serta di bawah unjuran kos asal.

“Bagi kawasan Pantai Timur, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kini dalam pelaksanaan yang dijangka siap tahun 2022, ia akan merentasi Pahang dari Bentong ke Kota SAS dan naik ke Cherating. Ia akan membawa pertumbuhan kasar sebanyak 1.5 peratus,” katanya.

Sementara itu, ketika berucap pada himpunan bersama 2,600 usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Parlimen Pekan, Najib berkata, Malaysia dianggap dunia sebagai negara paling berjaya membantu rakyat miskin menambah pendapatan isi rumah sehingga memiliki harta dan perniagaan berjaya.

Perdana Menteri berkata, inisiatif kerajaan membantu meningkatkan taraf ekonomi dan pendapatan bulanan kumpulan itu dimulakan secara berterusan sejak zaman Perdana Menteri Kedua, Tun Razak Hussein.

Beliau berkata, pelbagai program dan bantuan diperkenalkan kerajaan menerusi beberapa agensi seperti FELDA, FELCRA, MARA, Tekun Nasional (TEKUN) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Katanya, bantuan pembiayaan kewangan dan latihan kemahiran itu menjadi rangsangan kepada golongan terbabit bagi memulakan perniagaan yang mahu diceburi.

“Menjadi pegangan dan prinsip kerajaan sekarang bagi meningkatkan ekonomi rakyat miskin terutama di luar bandar.

“Pinjaman yang disediakan ini ibaratnya seperti bayi yang mula bertatih, kemudiannya berjalan dan berlari. Begitu juga kita, ada pinjaman asas seperti disediakan AIM, kemudian oleh MARA, TEKUN dan Bank SME untuk kembangkan perniagaan.

“Bayangkan jika tiada bantuan sedemikian bagaimana mereka mahu mulakan perniagaan, mungkin jadi mangsa ceti haram atau along,” katanya.

Filed in: Ekonomi, Nasional, Politik, Topik Pilihan

Tiada Komen Lagi

Tinggal Komen