8:57 am - Wednesday April 25, 2018

BN mampu mansuhkan terowong tanpa bayar pampasan

GEORGETOWN 17 APRIL 2018. Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang yang juga Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Teng Chang Yeow semasa sidang media di Ibu Pejabat Gerakan Pulau Pinang. STR/SHAHNAZ FAZLIE SHAHRIZAL

MO, 17/4/2018, GEORGETOWN: Ketua Menteri, Lim Guan Eng, ditempelak selepas menyatakan Barisan Nasional (BN) perlu membayar pampasan kepada pihak pemaju, sekiranya mahu membatalkan projek terowong dasar laut di negeri ini.

Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow, berkata kenyataan Guan Eng itu jelas bertentangan dengan pengumuman Konsortium Zenith BUCG (CZBUCG) pada 15 Jun 2016, bahawa tiada klausa pampasan dinyatakan dalam projek mega terbabit.

Katanya, kenyataan Guan Eng itu antara lain membuktikan beliau tidak faham perincian kontrak projek mega yang ditandatanganinya, selain disifatkan sebagai kurang arif dengan mandat diberikan rakyat.

“Berdasarkan kenyataan Pengerusi CZBUCG, Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, yang disiarkan beberapa media sebelum ini, ia jelas membuktikan bahawa BN mampu membatalkan projek terowong dasar laut tanpa perlu membayar pampasan.

“Tambahan pula, tiada sebarang kerja bagi projek berkenaan sudah dilakukan setakat ini. Setakat ini, hanya beberapa kajian sahaja yang dijalankan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pada Jun 2016, CZBUCG dalam kenyataannya seperti diterbitkan beberapa akhbar, dilapor berkata, syarikat itu boleh membuat tuntutan ke atas kerja yang sudah dijalankan walaupun tiada klausa pampasan dinyatakan kerajaan negeri dalam perjanjian pelaksanaan projek terowong dasar laut.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer itu dianggar bernilai RM6.3 bilion dan bakal menghubungkan Persiaran Gurney di sini, ke Bagan Ajam di Daerah Seberang Perai Utara dengan pembinaannya dijangka dilakukan pada 2023.

Projek mega itu mencetuskan pelbagai kontroversi, termasuk kos kajian kebolehlaksanaan yang terlalu tinggi, selain kaedah pembayaran menggunakan tanah kerajaan negeri serta pelaksanaan dibantah penduduk yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Chang Yeow turut menempelak kenyataan Guan Eng yang mendakwa BN Pulau Pinang tidak mempunyai rancangan khusus bagi sistem pengangkutan awam di negeri ini.

Sebaliknya, beliau mendakwa, Kerajaan DAP Pulau Pinang yang tidak memiliki rancangan khusus bagi sistem berkenaan, selain banyak bergantung kepada Rancangan Struktur Pulau Pinang (RSNPP) yang dirangka BN dalam pentadbiran mereka.

“Saya rasa beliau perlu lihat semula pelaksanaan Rapid Penang yang dilancarkan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, pada 31 Julai 2007 lalu. Ia jelas membuktikan bahawa BN adalah pengasas bagi sistem pengangkutan awam di negeri ini.

“Soalan saya kepada beliau, apa sudah jadi kepada rancangan Paradigm yang dilancarkan Guan Eng, pada Februari 2013? Selain itu, adakah penambahan tiga tingkat di KOMTAR juga menjelaskan bahawa mereka adalah pihak yang membina bangunan berkenaan?” katanya.

Filed in: Ekonomi, Nasional, Politik, Topik Pilihan

Tiada Komen Lagi

Tinggal Komen