8:52 am - Wednesday April 25, 2018

BN utamakan keselamatan, keamanan rakyat – PM

18najibbb.transformed_8MO, 17/4/2018, KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan beliau sudah melaksanakan pelbagai langkah bagi memastikan negara dan rakyat Malaysia dapat terus hidup dalam keadaan aman serta harmoni.

Perdana Menteri berkata, antara lain usaha yang sudah dilaksanakan termasuk mewujudkan Akta Majlis Keselamatan Negara dan Akta Pencegahan Keganasan (POTA) bagi memastikan rakyat Malaysia dilindungi dan pasukan keselamatan dapat berkhidmat serta bekerja dengan bebas.

Katanya, kerajaan juga melindungi rakyat daripada tempias kesan dan akibat berita palsu yang semakin hari semakin berleluasa.

“Inilah juga sebabnya mengapa baru-baru ini kita meluluskan Akta Antiberita Tidak Benar 2018.

“Berita palsu dan tidak benar ini mungkin nampak remeh, tetapi sebenarnya membawa ancaman keselamatan yang besar, seperti yang dapat kita lihat di seluruh dunia apabila berita palsu serta tidak benar digunakan sebagai alat campur tangan proses demokrasi oleh kuasa luar.

“Apa yang menghairankan perkara ini disokong sesetengah pemimpin pembangkang. Masa depan negara kita perlu ditentukan oleh rakyat Malaysia berasaskan fakta, bukan berita, janji atau harapan palsu semata-mata,” katanya dalam catatan terbaru di blogĀ www.najibrazak.com, hari ini.

Najib berkata, usaha yang dijalankan kerajaan BN menyebabkan kedaulatan, keamanan dan keharmonian negara terus terpelihara sehingga kini.

Namun, katanya, malang sekali ada usaha kerajaan itu diganggu oleh tindakan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab yang sanggup membelakangkan negara dan meminta campur tangan negara asing ke dalam urusan kita hanya kerana tamakkan kuasa.

“Sebagai rakyat Malaysia yang patriotik, saya dan kepimpinan BN tidak akan sekali-kali berkompromi hal kedaulatan negara.

“Pada masa sama, kerajaan BN juga sedar bahawa menjaga keselamatan negara adalah usaha berterusan dan kita tidak boleh leka walaupun sesaat,” katanya.

Justeru, Perdana Menteri berkata, dalam Manifesto BN terdapat banyak usaha dan inisiatif yang akan dilaksanakan jika terus diberi mandat termasuk menambah pos kawalan dan sistem pemantauan di sepanjang sempadan Malaysia membabitkan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan AKSEMNET .

Beliau berkata, kerajaan BN berjanji akan mentransformasi pasukan elit khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) seperti Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING), Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) dan Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG) demi keamanan rakyat.

Selain itu, katanya, kerajaan BN juga akan menyebar luas usaha menentang keganasan dan ekstremisme melalui Gerakan Kesederhanaan Global (GMM), selain meningkatkan pembabitan masyarakat dalam pencegahan jenayah menerusi inisiatif PDRM menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol.

“Turut dicadangkan penubuhan Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) di bawah Kementerian Pertahanan dan meluaskan diplomasi pertahanan serantau dengan negara jiran yang berkongsi sempadan.

“Kerajaan BN juga berjanji meneruskan usaha menyebar luas idea keamanan dan kesederhanaan dalam negara serta antarabangsa menerusi penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman, selain meneruskan usaha pemodenan PDRM ke seluruh negara,” katanya.

Filed in: Luar Negara, Nasional, Teknologi dan Media Sosial, Topik Pilihan

Tiada Komen Lagi

Tinggal Komen