8:36 am - Wednesday April 25, 2018

CATATAN SINIS

JANGAN JADI BANGSA SUBSIDI copyMO, 21/3/2018 – ADA baiknya kerajaan hari ini bertukar. Orang-orang Melayu akan lebih bergembira dan bahagia. Keadaan mereka akan lebih baik selepas ini seperti yang digambarkan kepada mereka oleh pakatan pembangkang.

Antara faktor yang membuat orang-orang Melayu ketinggalan dan lemah adalah dasar-dasar probumiputera oleh kerajaan. Mereka telah menjadi bangsa subsidi. Seperti lelaki yang bertongkat, lama-lama mereka tidak dapat berjalan sendiri kerana telah lama bergantung pada tongkat.

Ini seperti yang pernah dimaksudkan oleh Tun Dr Mahathir, bakal Perdana Menteri Pakatan Harapan.

Harga petrol naik, mereka akan merungut. Dikenakan GST, mereka merungut. Apabila berlaku apa-apa yang tidak menyeronokkan, mereka menyalahkan kerajaan. Mereka telah terlalu lama dizalimi oleh kerajaan dengan dimanjakan. Apabila kerajaan mahu bertegas, pembangkang mula mengadu-domba dan menghasut rakyat. Keadaan ini membuat kerajaan tidak dapat bertindak tegas untuk kebaikan mereka.

Sebaliknya, orang-orang bukan bumiputera seperti orang-orang Cina lebih maju walaupun mereka tidak ada kelebihan apa-apa seperti orang-orang Melayu.

Jadi, mereka sepatutnya diperlakukan s  eperti orang-orang Cina untuk lebih maju dan lasak seperti orang-orang Cina. Sudah cukuplah orang-orang Melayu ini dizalimi sehingga membuat mereka jadi terlalu manja dan lembik.

Orang-orang Melayu terlalu dizalimi pada hari ini. Kerajaan menzalimi mereka dengan memberikan kebebasan bersuara. Mereka terlampau bebas bersuara sehingga mengkritik dan memaki pemerintah tanpa rasa takut dikenakan tindakan. Kerajaan baru mungkin boleh mendisiplinkan mereka. Lihatlah di laman-laman sosial, pemimpin-pemimpin kerajaan dijadikan bahan lawak dan kejian.

Jadi, seperti yang mereka mahukan hari ini, apabila UMNO tumbang, kerajaan baru mungkin akan menyamaratakan hak semua bangsa ini. Tiada lagi bangsa yang dilindungi. Setiap orang mestilah berusaha sendiri tanpa campur tangan, bantuan dan perhatian kerajaan.

Orang-orang Melayu akan terpaksa berhempas-pulas menguatkan kembali diri daya usaha mereka. Ini akan menguatkan jatidiri mereka. Mereka perlu berjuang untuk kelangsungan hidup mereka. Mereka mungkin tidak ada masa lagi untuk melayan media-media sosial mengkritik kerajaan.

Kerajaan baru akan mengajar orang-orang Melayu ini berkenaan disiplin. Dahulu, sebagai contoh, apabila kerajaan mahu melaksanakan AES, ia akan ditempelak sebagai kaedah halus kerajaan merompak rakyat. Banyak lagi perkara lain yang tidak dapat dikuatkuasakan kerana ia dipalit dengan tuduhan agenda politik.

Apabila pembangkang memerintah, kerajaan akan dapat melaksanakan perkara-perkara seperti ini. Ia bukan lagi suatu agenda politik. Semua persepsi ini akan berubah.

Tidak ada lagi fitnah kerana kerajaan baru semestinya akan mengetatkan undang-undang untuk mengawal rakyat. Logiknya, jika mereka tidak menguatkuasakan undang-undang lebih ketat, mereka mungkin akan dijatuhkan sebagaimana jatuhnya kerajaan Barisan Nasional.

Orang-orang yang lemah akan dihapuskan secara terancang. Tidak ada lagi bantuan sebagaimana kerajaan hari ini. BR1IM pun akan dihapuskan. Semua orang perlu berusaha sendiri. Apabila orang-orang yang dikatakan lemah ini mahu dihapuskan, orang-orang Melayulah yang akan terhapus kerana majoriti mereka lebih miskin berbanding orang-orang Cina.

Hari ini orang-orang Melayu tidak berdisiplin. Mereka perlu diajar secara keras. Kerajaan Barisan Nasional hari ini tidak dapat mendisiplinkan rakyat kerana mereka takut kehilangan undi. Untuk melakukan sesuatu, mereka terpaksa mendengar reaksi orang ramai. Jadi, semuanya telah ditentukan mengikut kehendak rakyat. Ia adalah normal, sesebuah parti perlukan undi.

Undang-undang perlu tegas seperti di Singapura. Buang sampah bukan pada tempatnya akan didenda. Bayangkan jika sekarang ia berlaku di Malaysia, sudah tentu kerajaan akan dituduh mahu merompak duit rakyat.

Bukanlah kerajaan hari ini lemah kerana tidak dapat melakukannya, tetapi kerana orang ramai terlalu banyak berpolitik, ia membuatkan kerajaan sedia ada tidak dapat bertindak tegas.

Ya, setiap perkara akan dipolitikkan sehingga ia tidak dapat dilaksanakan. Masyarakat terpaksa dizalimi dengan dimanjakan kerana mereka terlalu kuat berpolitik dan diadu-domba pembangkang.

Jadi, adalah lebih baik negara ini diserahkan kepada pembangkang untuk mereka melaksanakan apa yang baik untuk rakyat itu.

Itu dari satu sudutnya. Ada lagi perkara-perkara lain yang patut anda lebih bergembira.

Ya, kemudian orang-orang Melayu diperbolehkan murtad di bawah hak asasi manusia. Undang-undang baru mungkin akan digubal kerana adalah tidak adil orang Melayu tidak boleh memeluk agama lain.

Semua ini tidak mustahil. Kerajaan Pakatan Harapan yang kuat, di bawah dokongan orang-orang bukan Islam, mereka tidak akan takut kehilangan undi lagi. Mereka akan merombak apa yang boleh dirombak.

Ramai pemimpin Melayu pembangkang sendiri condong ke arah ini. Fikrah mereka meletakkan kemajuan melebihi agama. Contohnya, apabila minuman keras menjadi isu, mereka akan berkata di negara Jepun, rakyatnya mengambil arak, tetapi negara mereka tetap maju dan membangun.

Jadi, bolehlah kita minum arak kerana ia tidak membuatkan kita mundur menurut pendapat pemimpin pembangkang ini.

Di bawah hak asasi manusia ini, kebebasan orang-orang Melayu akan wujud dalam semua sudut. Kerajaan Barisan Nasional hari ini menjadi tembok penghalang kepada pelbagai perkara ini.

Sekiranya tembok ini diruntuhkan, terbukalah kebebasan.

Mereka bebas berzina asalkan suka sama suka, bebas bertelanjang, bebas bersuara, mengambil minuman keras, hatta menentang agama sekali pun.

Sudah tentu budaya LGBT pun dibenarkan secara terbuka kerana pemimpin-pemimpin pembangkang kebanyakannya tidak pernah menentang perkara ini.

Jadi, anda tentu boleh berbahagia dengan kerajaan baru nanti.

Kakitangan awam tentulah akan dikurangkan, kerana ia suatu pembaziran, seperti yang dikatakan oleh pemimpin DAP. Nasib andalah jika anda yang dibuang itu. Ia untuk pengorbanan anda kepada negara.

Anda mungkin fikir, semua ini tidak akan terjadi kerana Malaysia masih mempunyai Raja-Raja Melayu.

Tentu ia agak sukar dilakukan.

Janganlah pelik. UMNO yang kuat mereka dapat tumbangkan, jadi tidak ada apa yang mustahil. Sudah tentulah jika raja-raja ini menjadi penghalang, mereka akan cuba menggulingkan raja-raja dengan membangkitkan sentimen anti-raja. Apabila kuasa sudah berada di tangan mereka, mereka dapat mengolah sokongan rakyat untuk menjatuhkan raja-raja. Proses ini akan memakan masa yang lama.

Ingatlah, majoriti negara di dunia ini pernah mempunyai raja, tetapi ke manakah semua raja itu hari ini? Tidak mustahil itu akan berlaku di sini jika Pakatan Harapan memerintah negara ini.

Janganlah hairan. Semua ini tidak mustahil berlaku sebagaimana budaya LGBT juga asing dan taboo suatu masa dahulu. Hari ini ia bukan saja sudah dibiasakan, bahkan dikatakan ia tidak menyalahi agama Islam.

Inilah antara perkara yang bakal anda dapatkan setelah melakukan pertukaran kerajaan.

Selamat bergembira, wahai rakyat Malaysia.

 

Oleh: AZMAN HUSSIN

Filed in: Azman Hussin, Nasional, Politik, Topik Pilihan

Tiada Komen Lagi

Tinggal Komen