2:16 pm - Monday October 23, 2017

DARAH KETURUNAN TUN M DAN DS ZAHID

ISU keturunan menjadi hangat minggu ini. Amat malang kerana ianya telah diambil kesempatan oleh pihak tertentu untuk memburukkan keadaan. Mari kita berbicara akademik sedikit.

Jika kita kembali kepada asal budaya, bangsa Melayu itu terbahagi kepada 3 keturunan darah yang disebut oleh tokoh budaya A. Samad Ahmad sebagai Darah Keturunan Keling (DKK), Darah Keturunan Arab (DKA), dan Darah Keturunan Melayu (DKM).

Beberapa individu kita boleh kenali darah keturunan mereka melalui sub etnik serta keturunan mereka. Contohnya, DS Najib, DS Zahid, Khairy Jamaluddin adalah mewakili DKM. Manakala Tun Dr. Mahathir, Kadir Sheikh Fadzir, Zainuddin Maidin dari sub etnik DKK. Seterusnya Syed Hamid Albar, Syed Ali Alhabshi, Sharifah Al Sagof daripada sub etnik DKA.

Apabila negara kita memasuki episod merdeka 1957 dan pembentukan Malaysia 1963, definisi Melayu telah diberi perhatian. Kemudian apabila berlaku tragedi 13 Mei 1969, pelbagai polisi dikeluarkan untuk memantapkan perpaduan di dalam negara. Antaranya pembentukan Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971.

Definisi Melayu telah diperhalusi. Maka dipersetujui bahawa seseorang itu adalah Melayu apabila dia beragama Islam, berbahasa Melayu, mengamalkan adat resam dan budaya Melayu. Oleh kerana DKA, DKM dan DKK memenuhi kriteria itu maka mereka adalah Melayu. Perlembagaan Negara kita telah mengiktiraf perkara ini.

Isu keturunan dan sub etnik akan menjadi isu besar di negara-negara kecil seperti Malaysia, Indonesia, Mynmar malah di negara kecil Singapura (Hungtinton). Jika di Mynmar, sesetengah etnik yang fanatik akan menggunakan apa sahaja cara untuk menghalau orang Rohingya Mynmar termasuklah pembunuhan. Di Indonesia, mereka kelihatan hebat dengan bangsa Indonesia dan Pancasila tetapi masyarakat Cina masih merupakan isu besar di sana.

Di Malaysia tidak berlaku perkara sedemikian, kerana asas perlembagaan 1948, 1957 dan 1963 masih kuat dan dihormati. Kerajaan masih meraikan demokrasi dan kepelbagaian politik.

Di negara kita, pembinaan negara bangsa Malaysia masih belum matang. Setiap pemimpin mesti memakai baju Malaysia, bukan baju suku kaum. Kepelbagaian suku kaum adalah keindahan kepada negara untuk hidup harmoni, bukan melebarkan kesangsian, kebencian dan syak wasangka. Islam juga meraikan kepelbagaian, suku kaum dan bangsa.

Apa yang disebut oleh DS Zahid serupa juga dengan apa yang pernah diucapkan oleh DS Anwar, Rafizi Ramli dan lain-lain pemimpin pembangkang mengenai keturunan Tun Dr. Mahathir. Bezanya, tidak ada sesiapa yang marah kepada DS Anwar dan Rafizi walaupun sangat jelas mereka menghina keturunan Tun Dr. Mahathir dalam ucapan mereka dahulu.

Inilah politik Malaysia, apabila mereka berada di dalam kerajaan semua betul, apabila mereka berada di luar kerajaan semua salah. Di pihak pembangkang pula, semasa mereka belum menjadi kerajaan semua salah dan apabila mereka mejadi kerajaan semua betul belaka. Rakyat seharusnya bijak.

Rujukan:-

  1. Buku A. Samad Ahmad
  2. Buku Prof. Samuel Hungtinton
  3. Buku Federal Constitution with Index (2004).\

SUMBER: jentayuabaka.blogspot.com

Filed in: Nasional, Politik, Topik Pilihan

Tiada Komen Lagi

Tinggal Komen