1:47 pm - Saturday November 25, 2017

DR MAHATHIR ADALAH ROTHSCHILD MALAYSIA?

IMG-20171020-WA0009MO, 20/10/2017

Oleh: AZMAN HUSSIN

ROTHSCHILD pernah berkata, “berikan aku kuasa menguruskan ekonomi, maka aku akan menguasai (politik) sesebuah negara itu.”

Kuasa politik dan kuasa ekonomi adalah dua perkara yang saling berkait-rapat.
Politikus memerlukan kapitalis, dan sebaliknya kapitalis juga memerlukan politikus, untuk kelangsungan mereka.

Sebagai contoh, untuk menjayakan kempen politik, seseorang politikus memerlukan dana wang yang banyak. Walaupun politikus memegang kuasa ekonomi, mereka tidak dapat menggunakan atau mengeluarkannya sewenang-wenangnya. Maka mereka memerlukan kapitalis untuk mencairkan wang negara. Kapitalis-kapitalis ini akan dianugerahkan projek – projek tertentu, dan sebagai balasannya mereka akan menyumbang balik kepada politikus.

Sementara kapitalis pula, seperti yang diketahui umum, memerlukan politikus untuk mendapatkan projek-projek kerajaan untuk membina dan membesarkan empayar kekayaan mereka.

Hubungan mereka adalah seringkas itu walaupun ramai yang tidak cuba memahaminya untuk mengaitkan dengan situasi politik hari ini. Hubungan ini akan sentiasa terjalin dan berjalan.

Masalah akan timbul apabila teraju kepimpinan negara bertukar. Setiap pertukaran pemimpin selalunya berlaku perubahan banyak perkara. Jika Perdana Menteri baru tidak lagi meneruskan hubungan tadi, misalnya dengan memiliknegarakan apa yang selama ini diswastakan, beliau pasti akan menghadapi tentangan daripada kapitalis-kapitalis ini.

Perkara ini adalah mudah difahami rakyat biasa sebenarnya, sebagaimana orang-orang biasa bergaduh kerana wang, begitu jugalah orang-orang besar di atas bermusuhan. Perbalahan merebut kekayaan golongan atasan ini adalah lebih besar dan dahsyat kerosakannya, melibatkan negara dan rakyat kebanyakan yang tidak memahami sandiwara mereka ini.

Sebaliknya, apa yang diucapkan politikus-politikus kepada orang ramai adalah idealisme yang tidak berpijak di bumi nyata. Ia sekadar wayang untuk menutup motif sebenar pergelutan mereka.

Keadaan ini tidaklah mustahil berlaku dalam politik Malaysia. Bertolak dari kenyataan ini, kita sepatutnya boleh memahami keadaan pergolakan politik Malaysia hari ini, bahawa ada tangan-tangan ghaib kapitalis di belakang politikus-politikus yang bergasak ini.

Bertahun-tahun dahulu, semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas Timbalan Perdana dipecat, beliau telah mendedahkan amalan kapitalis-kronisme ini. Ia dihalakan kepada Tun Dr Mahathir, Perdana Menteri ketika itu, yang memecatnya. Ia disambut oleh politikus-politikus pembangkang yang lain. Muncul beberapa nama tokoh gergasi korporat dengan kekayaan yang berbilion-bilion. Majoriti kapitalis ini berbangsa Cina.

Mari kita fikirkan pula, kenapa majoriti sokongan orang-orang Cina beralih kepada pembangkang hari ini, sedangkan suatu masa dahulu mereka bersama kerajaan. Merekalah yang menyelamatkan kerajaan Barisan Nasional di bawah Dr Mahathir ketika undi orang-orang Melayu berpecah kepada PKR dan PAS ketika era reformasi dahulu.

Ia adalah mudah difahami, apabila kapitalis-kapitalis Cina ini berpaling tadah kerana Perdana Menteri baru tidak lagi menurut kehendak mereka, mereka akan membawa sekali sokongan bangsa mereka yang bernaung di bawah persatuan-persatuan perniagaan mereka.

Dr Mahathir, seperti yang didedahkan oleh bekas timbalannya, Anwar Ibrahim, adalah penaung kepada kapitalis-kapitalis ini, yang telah menjadi kaya-raya di bawah pemerintahannya selama 22 tahun. Malah mungkin Dr Mahathir adalah bapa kapitalis yang sebenar, yang menggunakan proksi yang ramai. Maksudnya kapitalis-kapitalis tadi hanyalah pemegang amanah Dr Mahathir.

Maka, tidak hairanlah jika anda melihat Lim Kit Siang boleh berbaik semula dengan Dr Mahathir.

Kenapa pula Lim Kit Siang?

Lim Kit Siang juga mendapat dana politik daripada kapitalis-kapitalis ini. Kononnya, jika kapitalis-kapitalis memberikan rm8 kepada Barisan Nasional di bawah Dr Mahathir, Lim Kit Siang pula diberikan rm2. Kapitalis-kapitalis ini menyumbang kepada kedua-dua blok bertentangan ini, cuma jumlah sahaja yang berbeza, sebagai persediaan kepada pelbagai kemungkinan seperti yang terjadi hari ini.

Jadi, anda akan faham kenapa Lim Kit Siang terpaksa berbaik dengan Dr Mahathir. Sebagaimana Dr Mahathir memanipulasi orang-orang Melayu, Lim Kit Siang juga mengeksploitasi orang-orang Cina untuk kepentingan peribadi mereka.

Dan Datuk Seri Anwar Ibrahim juga terpaksa melupakan perbalahannya dengan Dr Mahathir, kerana pemodal kepada kerja-kerja politik beliau adalah kapitalis-kapitalis naungan Dr Mahahir ini.

Politikus-politikus ini mempunyai sumber yang sama, ayah yang sama. Kapitalis-kapitalis ini, bertindak sebagai ayah, yang mendamaikan mereka.

Hakikatnya politikus-politikus ini telah menjadi budak suruhan kepada kapitalis-kapitalis, sementara rakyat biasa yang tidak memahami perkara ini telah menjadi bidak-bidak catur kepada kapitalis-kapitalis ini.

Apabila anda mendengar Dr Mahathir, Lim Kit Siang dan Anwar Ibrahim bercerita kepada rakyat bahawa mereka mahu menyelamatkan negara, anda sepatutnya boleh ketawa. Mereka boleh menipu orang ramai, tetapi tidak kepada yang memahami realiti sebenar politik seperti yang diceritakan tadi.

Apa yang mereka mahu selamatkan sebenarnya adalah empayar kekayaan kapitalis-kapitalis tadi, yang tidak lagi dapat mengawal ekonomi negara apabila Perdana Menteri baru tidak lagi menurut kemahuan mereka. Dan Dr Mahathir pula boleh disyaki sebagai pemilik sebenar empayar kekayaan kapitalis-kapitalis ini, tambahan pula kerana beliau telah memerintah Malaysia selama 22 tahun.

Maka mereka mencipta pelbagai isu. Mereka membawa istilah-istilah yang rumit dan kompleks. Misalnya, 1MDB, DOJ, kleptocracy, derma rm2.6 billion dan pelbagai lagi.

Mesejnya adalah untuk mengelabui minda rakyat yang tidak mampu memahaminya, yang hanya akan bertindak dengan emosional, sehingga tidak peduli lagi untuk mengkajinya. Walhal, pakatan politikus-kapitalis ini hanya memperjuangkan agenda peribadi mereka. Sebagai contoh, masalah 1MDB kepada mereka sebenarnya adalah kerana ia telah merampas penguasaan ekonomi kapitalis-kapitalis tadi.

Jika kita, rakyat biasa ini, terpedaya dengan semua lakonan politikus-kapitalis ini, kita sebenarnya bodoh. Kita hanya dijadikan bidak-bidak catur untuk menjayakan agenda peribadi pakatan politikus-kapitalis yang memakai nama perjuangan untuk rakyat dan negara.

Berbalik kepada cerita Rothschild, beliau telah menghantar kelima-lima anak lelakinya ke negara yang berbeza untuk menguasai ekonomi (perbankan) negara tersebut. Dr Mahathir lain pula ceritanya. Beliau hanya menghantar sahabat baiknya, Tun Daim Zainuddin, ke negara-negara lain untuk membina bank-bank mereka. Kita ambil contoh arak, dan ia boleh diperluaskan kepada pelbagai perkara lain untuk memperjelaskan keadaan selanjutnya.

Mirzan dilatih sebagai kapitalis yang mahu menjual arak, Marina pula direkrut sebagai liberalis-sekularis- pluralis untuk memecahkan “mental block” orang ramai berkenaan arak supaya mereka terbuka untuk meminumnya, dan Mukhriz pula diasuh sebagai politikus yang mampu mengubah undang-undang arak negara.

Jika Rothschild menguasai ekonomi untuk menentukan haluan politik, Dr Mahathir pula menguasai kedua-duanya, bahkan ditambah satu lagi, iaitu agen perubahan budaya, melalui anak-anak mereka untuk membina dinasti beliau.

Kandungan tulisan ini bukan imaginasi, selagi ia tidak dinafikan. Memang sepatutnya tugas penulislah membuktikan apa yang didakwanya. Tetapi, dakwaan-dakwaan ini terbit dari perlakuan-perlakuan ganjil yang dicetuskan oleh Dr Mahathir, Lim Kit Siang, dan Anwar Ibrahim sendiri, yang membawa kepada kesimpulan mudah ini.

Filed in: Azman Hussin, Ekonomi, Nasional, Politik, Topik Pilihan

Tiada Komen Lagi

Tinggal Komen