8:27 am - Wednesday April 25, 2018

ECRL tingkatkan kapasiti rangkaian pengangkutan awam

KOTA BHARU 26 MAC 2018. Sebahagian wakil media melawat tapak projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) selepas taklimat yang disampaikan oleh pihak Malaysia Rail Links (MRL) Sdn Bhd di Tunjong. NSTP/SYAMSI SUHAIMI

MO, 16/4/2018, KUALA LUMPUR: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) adalah satu peluang yang tidak boleh dilepaskan oleh Malaysia untuk menjadi sebahagian daripada komponen penting Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) China.

Timbalan Pengerusi dan Ketua Eksekutif The Hongkong and Shanghai Banking Corporation Limited (HSBC), Peter Wong, berkata Malaysia dalam kedudukan yang baik untuk meraih manfaat daripada komitmen pelaburan infrastruktur di bawah BRI.

Tambahan pula, beliau berkata republik itu menerajui usaha untuk membentuk bank dan dana berbilang pihak antaranya Asian Infrastructure Investment Bank, New Development Bank dan Silk Road Fund, dengan berbilion dolar modal yang dipegang oleh institusi berkenaan.

“Entiti dan dana berkenaan akan mengisi jurang pembiayaan infrastruktur dianggarkan bernilai AS$26 trilion yang diperlukan dalam kalangan negara Asia sedang pesat membangun,” katanya.

Wong berkata, komitmen China terhadap inisiatif itu di Malaysia terbukti dengan pembabitannya yang bukan hanya di dalam projek ECRL, malah begitu juga projek rel berkelajuan tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

Selain itu, beliau berkata komitmen padu China terhadap BRI di Malaysia turut diserlahkan oleh kerjasama strategik kerajaan negeri Melaka dan wilayah Guangdong, yang menyasar untuk mempromosikan pembangunan pelbagai projek pembangunan yang akan menjadikan Melaka sebagai hab serta pelabuhan strategik di laluan BRI.

“Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) antara China dan Malaysia juga ditubuhkan. Platform maya ini, yang akan beroperasi pada 2019, akan menghubungkan perniagaan, menguruskan kawal selia kargo dan membantu urusan kastam. Kemudahan “brick and mortar” di Lembah Klang akan turut membantu logistik,” katanya.

Inisiatif BRI, yang turut dikenali sebagai inisiatif Satu Jalur Satu Jalan (OBOR), adalah strategi pembangunan yang dicadangkan oleh kerajaan China bagi menumpukan sambungan dan kerjasama dalam kalangan negara Asia-Eropah.

Strategi itu mencerminkan usaha China untuk mengambil peranan lebih besar dalam hal ehwal global dengan rangkaian perdagangan berpusat di negara itu.

Seorang penganalisis pasaran pula berpendapat, meskipun BRI dikatakan satu daripada cara China mengeksport lebihan kapasiti dan modal dari negara itu, perkara yang lebih penting adalah bagaimana Malaysia dapat memanfaatkan lebihan berkenaan.

“Rancangan membangunkan ECRL tidak dibuat secara mendadak, malah sudah ada dalam perancangan negara sejak sekian lama. Secara kebetulan, ada negara (China) yang mempunyai kepakaran, kapasiti dan kewangan yang sesuai dengan keperluan untuk membina ECRL,” katanya.

BMI Research di dalam laporan tinjauan infrastruktur Malaysia baru-baru ini berkata, ECRL yang fasa pertamanya dijadualkan mula beroperasi pada 2024 akan menyediakan peningkatan kapasiti yang ketara kepada rangkaian pengangkutan awam Semenanjung Malaysia dengan menghubungkan pelabuhan, bandar raya dan industri di sepanjang laluan pantai timur hingga Kuala Lumpur serta Pelabuhan Klang di bahagian barat.

Firma penyelidikan milik agensi penarafan Fitch itu berkata, buat masa ini tiada projek rel yang menghubungkan laluan pantai timur dan kawasan berkenaan kurang membangun berbanding bahagian pantai barat.

“Kami percaya laluan rel ini adalah komponen penting dalam mengukuhkan daya tarikan zon perindustrian dan komersial di bahagian terbabit, sekali gus merancakkan pertumbuhan dalam segmen binaan bukan kediaman sehingga ke dekad akan datang,” katanya.

Filed in: Ekonomi, Luar Negara, Nasional, Topik Pilihan

Tiada Komen Lagi

Tinggal Komen