1:48 pm - Saturday November 25, 2017

EKONOMI: DUNIA FATAMORGANA

WhatsApp Image 2017-10-27 at 13.47.34MO, 27/10/2017 – DUNIA hari ini, seluruh permasalahan manusia diletakkan pada sudut  ekonomi. Manusia sibuk berjuang untuk menyelesaikan masalah ekonomi. Pelbagai isme dikemukakan untuk menyelesaikan masalah ini dalam negara seperti komunisme, sosialisme ataupun kapitalis.

Sistem-sistem ini diperjuangkan oleh mereka yang percaya masalah manusia adalah masalah pengagihan dan penguasaan ekonomi. Mereka fikir dunia ini perlu dtadbir mengikut fahaman-fahaman tadi, yang berkaitan dengan masalah pengurusan dan pembahagian ekonomi. Negara-negara dunia juga bergolak kerana isu ekonomi ini.

Sekadar contoh, komunisme mahu menjadikan dunia ini sama rata dan sama rasa. Setiap orang mendapat bahagian yang sama.

Ringkasnya, manusia melihat permasalahan hari ini berpunca daripada masalah ekonomi. Mereka tidak melihat sifat manusia itu sendiri sebagai masalah.

Apakah benar masalah manusia hari ini adalah ekonomi? Jika ekonomi diperbetulkan, adakah manusia akan lebih berbahagia dan tidak lagi berlaku kacau-bilau?

Kata seorang bijak pandai, “semakin berkurangnya pergantungan seseorang itu pada kehendak-kehendak duniawi semakin dia merdeka.”

Apakah kebahagiaan?

Sekali lagi, dalam dunia hari ini manusia telah meletakkan kebendaan (materialistik) sebagai matlamat hidup mereka. Ia menjadi sumber kebahagiaan manusia. Kekayaan wang ringgit, rumah mewah, kenderaan canggih, dan pakaian yang mahal sebagai simbol kebahagiaan.

Ia telah menjadi motivasi kebanyakan orang zaman ini yang ditanam dalam minda mereka sejak kecil.

Mari kita realitinya bagaimana. Jika kebahagiaan itu terletak pada kekayaan, sudah tentu semua orang miskin dalam dunia ini tidak bahagia. Dan sudah pasti juga, kebahagiaan itu hanya menjadi milik orang-orang kaya. Sebaliknya, ia tidak berlaku begitu kerana terdapat orang-orang yang miskin yang hidup bahagia dan orang-orang kaya yang hidup menderita.

Hakikatnya, jika anda bahagia, anda bahagialah sekalipun anda hidup miskin. Sebaliknya jika anda kaya, ia juga tidak menjamin anda bahagia.

Walaupun begitu, bukanlah bermakna tulisan ini menyarankan anda hidup miskin kerana menjadi miskin juga bukanlah jaminan anda akan mendapat kebahagiaan. Apa yang perlu anda lakukan adalah memahami bahawa kekayaan itu bukanlah jaminan anda akan bahagia. Jika kekayaan harta benda itu kebahagiaan, semua orang kaya adalah bahagia.

Terdapat satu cerita yang menarik untuk menjelaskan perkara hal ini. Seorang yang kaya mahu mendermakan wangnya kepada seorang fakir.

Fakir itu bertanya, “adakah selepas kamu memberikan wang ini kepada aku, kamu masih memerlukan wang sebanyak ini jika diberikan kepada kamu?”

Hartawan itu menjawab, “sudah tentu aku masih memerlukannya.”

“Jadi, aku lebih kaya berbanding dengan kamu kerana aku tidak memerlukannya, sedangkan kamu masih memerlukannya. Aku sudah cukup dengan apa yang aku ada, sedangkan kamu masih memerlukannya, dan itu menunjukkan kamu masih belum kaya.”

Pelajaran-pelajaran agama juga menunjukkan bahawa kekayaan sebenar itu adalah dengan adanya sifat bersyukur, iaitu berasa cukup dengan apa yang ada. Orang yang tidak berasa cukup, walaupun dia memiliki wang dan harta benda yang banyak, bukanlah orang yang kaya dalam erti kata yang sebenar.

Ia bukan sekadar kata-kata kosong. Seperti kata bijak pandai tadi, kurangnya kehendak-kehendak duniawi menjadikan kita kaya, walaupun kita tidak memiliki harta benda yang banyak. Malah, orang yang memiliki harta benda yang banyak adalah orang miskin kerana banyaknya kehendak-kehendak yang tidak dapat dipenuhinya.

Ilusi bahawa kekayaan itu sebagai kebahagiaan adalah seperti fatamorgana. Seorang lelaki yang tersesat di padang pasir, yang melihat di kejauhan adanya sumber air. Apabila dia menghampirinya, ia hilang. Ia sebenarnya suatu ilusi mata semata-mata kerana ia kehausan.

Dalam satu keadaan, fikirkan jika anda hanya seorang diri dalam dunia ini. Apakah anda akan berlagak dengan pakaian mahal yang anda pakai? Jika pakaian mahal itu perlu, bukan kerana pandangan orang lain, dalam keadaan keseorangan, sudah tentu anda masih memikirkan apa yang anda pakai.

Kenapakah seseorang perempuan itu bermekap? Benar, untuk kelihatan cantik. Cantik mengikut ukuran siapa? Masyarakat. Seseorang itu tidak dapat melihat dirinya sepanjang masa. Apabila dia memakai mekap, sudah tentulah untuk menunjukkan kepada dunia bahawa dia cantik atau paling kurang, dia tidaklah hodoh. Mekap menutup sisi-sisi buruk wajahnya.

Maka, boleh dikatakan bahawa pandangan dunia yang telah mempengaruhi jiwa anda untuk berpakaian, memiliki rumah yang mewah atau kenderaan yang canggih. Jika tidak wujudnya masyarakat, anda mungkin hanya akan memiliki yang asas sahaja. Pakaian untuk menutupi tubuh, rumah untuk berlindung, dan kenderaan untuk bergerak. Ia berlaku kerana anda tidak perlu menyaingi sesiapa lagi dalam semua keadaan itu. Bahkan, anda mungkin telanjang kerana tidak ada sesiapa yang melihat anda.

Kebahagiaan-kebahagiaan anda sebenarnya mengikut kaca mata dunia, pandangan orang ramai, yang ternyata tidak dapat dipuaskan.

Apa yang berlaku hari ini adalah kerana manusia telah terjerumus ke dalam arus semasa. Mereka telah terpedaya dengan dunia sekeliling. Kebahagiaan-kebahagiaan telah ditandakan dengan produk-produk tertentu.

Hari ini, mungkin orang beranggapan memiliki wang sekian, bekereta sekian dan ada rumah sekian,  adalah kebahagiaan dan kekayaan.

Tetapi, apabila dunia makin maju, apa yang kini miliki hari ini adalah setaraf dengan orang yang anda panggil miskin mengikut kacamata semasa.

Jadi, ia tidak ada pengakhirannya.

Arus kemajuan-kemajuan berciri-ciri hedonistik ini telah dianggap sebagai syurga kebahagiaan manusia, sedangkan manusia tetap tidak akan dapat mengecapi kebahagiaan kerana nafsu manusia tidak pernah puas. Sementara cara hidup yang menolak keduniaan atau mengikut kemampuan kelihatan seperti neraka, sedangkan mereka yang merasa cukup dan tidak tertipu dengan dunia ini sebenarnya hidup berbahagia kerana keyakinan mereka dunia ini hanya ujian dan akhirat tempat yang kekal abadi. Masa telah membuktikannya kekayaan yang dimiliki orang-orang zaman dahulu adalah miskin jika dibandingkan dengan hari ini.

Apa yang membuat manusia menderita hari ini adalah kerana mengejar kebendaan dan mengikut pandangan umum masyarakat. Manusia saling berlumba-lumba untuk menyaingi sesama sendiri dalam segala cara hidup.

Maka, apabila anda mahu mengubah nasib anda dengan mengubah persekitaran atau sistem pemerintahan negara anda, ia bukanlah penyelesaian yang betul. Ekonomi memang menjadi masalah manusia hari ini, tetapi mencari penyelesaian dalam ekonomi, tidak akan menyelesaikan masalah, selagi kita tidak membetulkan sikap kita berkenaan ekonomi.

 

Oleh : Azman Hussin

Filed in: Azman Hussin, Ekonomi, Nasional, Topik Pilihan

Tiada Komen Lagi

Tinggal Komen