3:08 pm - Thursday October 20, 1949

FBI siasat kempen pilihan raya Trump

imageMO, 21/3/2017, WASHINGTON – Ketua Biro Siasatan Persekutuan (FBI), James Comey, mengesahkan satu siasatan terhadap hubungan kempen pilihan raya Donald Trump dan Russia, selain menafikan tuduhan Presiden bahawa beliau diintip oleh Barack Obama.

Kedua-dua pendedahan itu dilihat sebagai tamparan hebat kepada Trump. Dalam satu sesi pendengaran Kongres Amerika Syarikat yang disiarkan secara langsung di televisyen malam tadi, Comey mengesahkan FBI kini menyiasat sama ada pembantu kempen Trump bersubahat dengan Russia untuk mempengaruhi pilihan raya 2016.

Kenyataan Comey menjejaskan usaha Rumah Putih mengelak kontroversi tuduhan intipan oleh pentadbiran Trump dengan Presiden sekali lagi menyifatkan tuduhan hubungan pasukannya dengan Russia sebagai ‘berita palsu’ ketika sesi pendengaran Kongres berlangsung. Ketua FBI itu enggan menjawab beberapa soalan Jawatankuasa Risikan Dewan mengenai apa dan siapa disiasat kerana perlu melindungi siasatan antirisikan yang sensitif.

Bagaimanapun, beliau mengesahkan siasatan membabitkan bentuk hubungan antara pasukan kempen Trump dan kerajaan Russia serta sama ada wujud penyelarasan antara pasukan kempen terbabit dan usaha Russia. Comey turut menafikan dakwaan Trump menerusi Twitter, awal bulan ini bahawa bekas Presiden Obama mengarahkan intipan di kediaman dan pejabat hartawan Manhattan itu. Ia dilihat sebagai satu lagi tamparan terhadap Presiden.

– AFP

Filed in: Luar Negara, Politik, Topik Pilihan

Tiada Komen Lagi

Tinggal Komen