Majlis yang berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak ( Dectar) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor malam Jumaat lalu turut dipenuhi hampir 1,000 penonton yang menjiwai setiap bait puisi yang dideklamasikan.

Yang lebih menarik, majlis tahunan yang sebelum ini dikenali sebagai Bintang–Bintang Berpuisi turut menyaksikan penglibatan Jabatan Penerangan.

Memilih sambutan Hari Kebangsaan sebagai tema, tentunya penganjuran tahun ini juga masih mengekalkan momentum yang sama untuk memperkasakan bidang kesusasteraan negara.

Lebih meriah kejayaan negara pada Sukan SEA ke -29 minggu lalu terus menyuntik semangat cintakan negara bukan sahaja dalam kalangan pendeklamasi tetapi juga tetamu yang hadir.

Tentunya yang menjadi tumpuan pada malam itu adalah Sasterawan Negara, Datuk Dr. Zurinah Hassan yang membawakan puisi yang cukup menyentuh jiwa hasil ciptaannya sendiri berjudul Senandung Bonda Kandung.

Antara kandungan puisi ini adalah nasihat seorang ibu kepada anak untuk menjadi bangsa yang berguna, tidak ketinggalan mengingatkan khalayak agar tidak terpengaruh dengan agenda luar yang mahu menjajah negara ini.

Turut mendapat tepukan gemuruh pada malam itu adalah Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM), Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali yang menyampaikan puisi bertajuk Jiwa UKM Jiwa Merdeka.

Antara yang turut mencipta kelainan pada malam adalah bacaan puisi oleh tiga tenaga pengajar UKM iaitu Prof. Madya Dr. Ashinida Aladdin, Dr. Suzianna Mat saad dan Hasnoor Shima Ahmad Hassan yang memilih untuk membacakan puisi dalam tiga bahasa berbeza.

Mereka memilih puisi-puisi karya tempatan yang diterjemahkan ke dalam bahasa Arab, Perancis dan Jerman.

Tidak sekadar bacaan puisi, tarian tradisional oleh kumpulan artis Pentarama, Jabatan Penerangan dan Pusat Seni Kebudayaan UKM (Puskeb) turut menambahkan lagi kemeriahan acara pada malam itu.

Dipancarkan secara langsung melalui laman sosial Utusan Online tentunya Malam Puisi Negaraku Sehati Sejiwa berjaya mencapai tujuan utamanya dalam memastikan puisi terus kekal menjadi nadi seni negara kita.

Dalam mengimbangi hiburan pada majlis itu tiga penyanyi popular tanah air, Tomok, Azharina Azhar dan Ippo Hafiz turut memeriahkan acara dengan menyampaikan lagu- lagu pilihan yang turut memukau penonton yang berada dalam dewan. – UTUSAN ONLINE