10:10 am - Saturday November 1, 2014

Istighfar Adalah Ciri-ciri Orang Yang Bertaqwa

Siri Koleksi Tafsir

Posted by: abuamjad

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Orang-orang yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah), dan orang-orang yang benar (perkataan dan hatinya), dan orang-orang yang sentiasa taat (akan perintah Allah), dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah), dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur.”

(Surah Ali Imran: 17)

Huraian

Ayat ini menyebutkan lima sifat yang perlu ada pada orang-orang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT. Sifat-sifat tersebut ialah sabar dengan ujian, benar, taat akan perintah Allah, menginfaqkan harta benda di jalanNya dan sentiasa berisghfar. Kelima-lima sifat yang digariskan ini merupakan sifat yang ada hubungkaitnya antara satu sama lain bagi mengukuhkan perpaduan sesama umat Islam khususnya.

 Salah satu antara sifat tersebut yang amat mudah dilaksanakan bagi sesetengah mukmin dan amat sukar bagi sesetengah yang lain ialah sentiasa bibir mereka mengucapkan istghfar atau dalam kata lain memohon ampun dan bertaubat kepada Allah SWT. Memperbanyakkan istighfar ialah salah satu amalan yang sangat penting dan amat dituntut dalam kehidupan kita seharian. Rasulullah SAW amat menganjurkan umatnya supaya sentiasa beristighfar dan Baginda yang sudah maksum juga beristighfar kepada Allah SWT tidak kurang 70 kali sehari.

 Memohon keampunan kepada Allah SWT adalah satu perkara yang amat mudah. Ianya tidak memerlukan kepada masa yang lama, wang ringgit malahan tenaga badan yang banyak sekalipun. Beristighfar cukup sekadar kita mengungkapkan sekurang-kurangnya ‘astaghfirullah’ dengan menghadirkan dalam hati kita bahawa kita benar-benar memohon ampun kepadaNya yang maha Esa.

 Sungguhpun waktu beristighfar adalah fleksibel, Allah SWT dan Baginda SAW telah menggariskan satu waktu yang amat bernilai dalam seharian untuk kita menghambakan diri kepada kepada Pencipta alam ini. Waktu tersebut ialah waktu dinihari atau satu pertiga malam yang terakhir sebelum terbitnya fajar dan di kala insan lain sedang leka dibuai mimpi.

Di waktu ini, Allah SWT berada dilangit dunia dan setiap permintaan hambaNya akan diperkenankan termasuklah pengampunan daripada dosa-dosa yang dilakukan. Di waktu ini juga jiwa setiap hamba akan menjadi tenang. Oleh yang demikian fokus atau tumpuan akan lebih terarah kepada perhambaan. Jiwa manusia akan lebih tenteram menghadap penciptanya sama ada untuk beribadat, berdoa atau beristighfar.

Kesimpulan

Kita dituntut untuk sentiasa memohon ampun pada setiap masa dan ketika lebih-lebih lagi pada waktu yang amat tinggi fadhilatnya seperti pada waktu sahur. Kita seharusnya sentiasa mengingati bahawa keampunan Allah SWT meliputi segala dosa yang kita lakukan walaupun sebanyak buih di lautan. Kita perlu beringat bahawa dalam hidup ini kita sering melakukan dosa dan maksiat terhadap diri sendiri, sesama makhluk yang lain dan kepada Allah SWT. Oleh itu kita perlulah bersegera memohon ampun kepada Allah SWT di atas kelemahan diri kita. Bertaubatlah sebelum nyawa berada di halkum kita!!!

Filed in: Agama

Tiada Komen Lagi

Tinggal Komen