3:13 pm - Saturday December 16, 2017

Isu Imigresen Rentasi Brunei Dijangka Selesai Tahun Depan

24jii.transformedMO, 23/11/2017, BANDAR SERI BEGAWAN – Isu-isu imigresen yang berkaitan laluan Lebuhraya Pan Borneo merentasi Brunei, dijangka dapat diselesaikan sebelum rundingan tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei tahun depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata dalam pertemuan dengan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah bersempena rundingan tahunan pemimpin ke-21 Malaysia-Brunei, cadangan Malaysia untuk mewujudkan laluan baharu dari Bandar Seri Begawan ke Limbang di Malaysia, turut diterima baik oleh baginda Sultan.

Beliau berkata baginda juga mahu supaya proses memberi kelulusan imigresen yang melibatkan keperluan cop pada pasport sebanyak tujuh kali untuk laluan sehala merentasi Brunei ketika ini, dikurangkan kepada hanya sekali cop ketika masuk, dan sekali lagi semasa keluar.

Katanya Malaysia juga akan mencadangkan supaya dibangunkan satu sistem yang mudah diaplikasi di samping menjaga keperluan keselamatan, bertujuan memudahkan pergerakan rakyat antara kedua-dua negara, dan pada masa sama, mempunyai ciri-ciri keselamatan yang diperlukan.

“Perkara ini sudah lama dibincangkan, kedua-dua pihak bersetuju supaya ia mesti diselesaikan sebelum rundingan tahunan pemimpin akan datang,” katanya dalam persidangan media selepas mengadakan pertemuan empat mata dengan Sultan Hassanal Bolkiah di sini petang ini.

Najib berkata Sultan Hassanal Bolkiah jelas menantikan usaha ke arah melancarkan pergerakan laluan Pan Borneo, kerana menurutnya, semasa baginda menyertai Regatta di Kuching Sarawak minggu lepas, anggota pasukan baginda yang menggunakan laluan darat terpaksa menempuh perjalanan sehingga 14 jam untuk sampai.

Perdana menteri berkata, beliau memaklumkan bahawa apabila siap Lebuhraya Pan Borneo, tempoh waktu perjalanan itu dijangka boleh dikurangkan sehingga separuh daripada tempoh waktu ketika ini.

“Itulah kesan pembangunan Lebuhraya Pan Borneo itu nanti,” katanya.

— BERNAMA

Filed in: Dari Bumi Kenyalang, Luar Negara, Nasional, Negeri Di Bawah Bayu, Topik Pilihan

Tiada Komen Lagi

Tinggal Komen