3:13 pm - Wednesday December 16, 1570

Jururawat redah banjir bantu ibu mengandung

rawat44_cropped.transformedMO, 29/11/2017, RANTAU PANJANG – Demi tanggungjawab dan tugas pada masyarakat seorang jururawat sanggup meredah air sedalam satu meter untuk memujuk ibu mengandung ke hospital selepas rumah mangsa dinaiki air.

Jururawat Masyarakat Klinik Kesihatan Gual Periok, Nik Nur Aisah Nik Zul Azhar, 37, berkata beliau dengan bantuan polis dan bomba menaiki lori sejauh tiga kilometer, meredah banjir ke rumah mangsa di Kampung Kok Kiyeh, Gual Sitok, di sini.

Katanya, mangsa adalah antara senarai ibu mengandung yang dijangkakan bersalin dalam masa terdekat.

“Apabila dihubungi, mangsa masih berada di rumahnya walaupun semua jalan sudah ditutup kerana dinaiki air dan tidak boleh dilalui kenderaan biasa. Saya mengambil keputusan meminta bantuan pihak keselamatan membawa mangsa ke tempat selamat kerana khuatir jika melahirkan anak. Lagipun sudah menjadi tanggungjawab kami sebagai jururawat memastikan ibu mengandung selamat walaupun ketika banjir,” katanya.

Nik Nur Aisah berkata jika mangsa berada diletakkan di tempat selamat adalah senang untuk pihak penyelamat dan jururawat sendiri memberi bantuan jika diperlukan.

Jelasnya, beliau risau kesihatan bayi dan ibu memandangkan pelbagai kemungkinan boleh terjadi pada musim banjir itu.

“Walaupun ada segelintir masyarakat degil untuk berpindah, atas rasa tanggungjawab kepada masyarakat jururawat sendiri akan turun padang untuk membawa mereka ke tempat selamat. Dalam keadaan sebegini, kerjasama orang ramai diperlukan bagi memudahkan urusan pihak kami dan agensi keselamatan untuk membantu,” katanya.

Filed in: Kesihatan, Nasional, Topik Pilihan

Tiada Komen Lagi

Tinggal Komen