8:23 am - Wednesday April 25, 2018

Karnival Semarak Autism rai anak istimewa

KUALA LUMPUR 14 APRIL 2018. Penaung Program PERMATA, Datin Seri Rosmah Mansor (dua kanan) merasmikan Karnival Semarak Autisme 2018 di Pusat Konvensyen CIDB. NSTP/ROSELA ISMAIL

MO, 15/4/2018, CHERAS: Kira-kira 2,000 anak autism bersama keluarga mereka diraikan dalam Karnival Semarak Autism 2018 yang berlangsung di Pusat Konvensyen CIDB, di sini, semalam.

Karnival kali kedua anjuran PERMATA dan PERMATA Kurnia itu dirasmikan Penaung PERMATA, Datin Seri Rosmah Mansor dengan turut dihadiri Pengarah Pusat PERMATA Kurnia, Prof Madya Dr Hasnah Toran.

Rosmah yang tiba pada jam 11.30 pagi meluangkan masa hampir dua jam beramah mesra bersama pengunjung, melawat gerai dikendalikan anak autism dan melihat persembahan pentas oleh anak autism dari PERMATA Kurnia.

Suasana dewan kemudian menjadi gamat apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir membuat kejutan pada karnival berkenaan.

Kehadiran beliau pada jam 12.20 tengah hari semalam diambil kesempatan oleh anak autism untuk bergambar bersama pemimpin kesayangan mereka.

Najib yang meluangkan masa kira-kira setengah jam di dewan berkenaan turut berpeluang melihat persembahan anak autism.

Sementara itu, Hasnah berkata, karnival berkenaan diadakan bagi meningkatkan kesedaran dan sokongan orang ramai terhadap golongan autism, selain menyediakan ruang kepada mereka melakukan aktiviti.

Katanya, pelbagai usaha dibuat PERMATA Kurnia bagi membantu anak autism berdikari dan mengembangkan kemahiran termasuk melalui penubuhan ‘Awesome Cafe’.

“Inisiatif ini dilaksanakan dengan kerjasama Kolej Komuniti Selayang sejak tiga tahun lalu dengan memfokuskan kepada anak autism yang mempunyai tahap keupayaan rendah.

“Pensyarah kolej berkenaan akan datang sebulan sekali ke PERMATA Kurnia untuk mengajar anak autism memasak dan tahun ini mereka dilatih menjadi barista kopi.

“Kita tidak mahu kehidupan mereka berakhir dengan berada di rumah kebajikan, justeru inisiatif ini dapat membantu mereka berdikari walaupun hanya dengan membancuh kopi atau membuat kek cawan,” katanya.

Hasnah berkata, Awesome Cafe membolehkan golongan autism dengan keupayaan rendah menjana ekonomi sendiri berikutan peluang untuk mereka melanjutkan pelajaran tidak banyak selepas tamat persekolahan.

“Setakat ini, seramai 15 anak autism berusia antara 16 hingga 24 tahun menerima latihan kemahiran memasak dan asas keusahawanan.

“Kita masih belum mempunyai kedai tetap dan hanya membuka gerai jika mempunyai acara tertentu,” katanya.

Filed in: Kesihatan, Nasional, Topik Pilihan

Tiada Komen Lagi

Tinggal Komen