7:25 pm - Monday October 23, 2017

KE MANA ARAH TUJU PEMBANGKANG?

IMG-20170908-WA0051APA sebenarnya yang dihadapi rakyat rakyat Malaysia? Adakah kehidupan mereka benar-benar tertindas? Benarkah kerajaan menzalimi mereka?

Apakah ukuran untuk menilai semua ini?

Mari kita melihat sebaliknya, bahawa apa yang sebenarnya terjadi adalah begitu ironik. Ia bukan berkenaan soal penindasan atau kezaliman, tetapi keadaan rakyat yang sedang dizalimi oleh kehendak dan kemahuan mereka sendiri.

Pembangkang telah menghasut dan mengajak rakyat menumbangkan kerajaan dengan mengeksploitasi sikap masyarakat yang materialistik ini.

Mereka menjanjikan perkara yang indah-indah, pelbagai perkara yang percuma, harga barangan yang lebih murah, menghapus atau mengurangkan cukai-cukai. Pendek kata ia adalah tawaran-tawaran yang sangat mengkhayalkan minda orang ramai yang tidak mahu berfikir lebih lanjut.

Jika benar perkara ini, walaupun ia tidak logik dan boleh dipertikaikan, keadaan ini tidak akan membawa kebaikan kepada orang ramai. Ia seperti memanjakan orang ramai dengan kesenangan dan kemewahan. Dan seperti yang kita ketahui, nafsu dan ketamakan manusia itu tidak ada hadnya.

Kita telah melihat kehidupan orang ramai hari ini lebih baik berbanding dengan masa lalu dari segi material. Keadaan ini sepatutnya membuat kita bersyukur dan menghargai apa yang telah dilakukan oleh kerajaan. Sebaliknya orang ramai sentiasa tidak berpuas hati, mereka masih menuntut lebih banyak perkara lain lagi kerana mereka merasakan itu hak mereka sebagai warganegara.

Pembangkang telah mengaburkan perkara ini dalam minda masyarakat bahawa kerajaan wajib bertanggungjawab atas kehendak-kehendak rakyat.

Budaya negatif ini akan menyebabkan rakyat bermentaliti subsidi. Mereka tidak mahu mengubah diri mereka, sebaliknya mengharapkan pihak lain seperti kerajaan  yang akan memenuhi kemahuan-kemahuan mereka. Kerajaan akan dipertanggungjawabkan atas seluruh permasalahan mereka.

Ia adalah perkara biasa yang berlaku hari ini. Kerajaan telah dipersalahkan atas apa saja yang menimpa rakyat. Kerajaan telah dijadikan sebagai tempat melepaskan geram dan tekanan.

Apa yang terjadi ini mungkin adalah sama seperti di negara Libya. Anda boleh membaca apa yang telah dibuat oleh Muammar Gadaffi untuk rakyatnya, tetapi apa yang kemudiannya berlaku adalah tragik. Beliau telah dibunuh oleh rakyatnya sendiri akibat hasutan dan propaganda yang disebarkan oleh pihak yang berkepentingan, sedangkan beliau telah cuba melakukan yang terbaik kepada rakyat. Rakyat telah menjadi buta untuk melihat kebaikan-kebaikan yang dilakukannya kerana termakan hasutan-hasutan ini.

Di negara ini hari ini, saya katakan rakyat tidaklah ditindas. Ia adalah soal rakyat yang tidak bersyukur dengan apa yang mereka miliki. Rakyat marah bukan kerana mereka tidak cukup makan atau keperluan hidup mereka terhalang, sebaliknya kerana mereka tidak dapat memuaskan kehendak-kehendak duniawi mereka. Mereka mahukan semuanya murah dan percuma. Ia bukan soal keperluan-keperluan hidup, ia soal kehendak-kehendak material. Masyarakat telah menjadi terlalu materialistik dan cenderung kepada budaya hedonistik.

Hal ini lebih diburukkan lagi dengan sikap pembangkang yang menjadi pengadu-domba dalam masyarakat.

Apa yang dilakukan pembangkang hanyalah menghasut rakyat agar menjatuhkan kerajaan. Mereka menjanjikan perkara yang indah-indah kepada rakyat, yang secara logik akal tidak akan dapat dipenuhi oleh mereka sendiri. Tawaran-tawaran ini sebenarnya akan merosakkan minda masyarakat.

Apa yang akan berubah sebenarnya?

Mari kita renungkan. Perjuangan-perjuangan hari ini hanyalah berasaskan perjuangan ekonomi, material dan keduniaan. Ia berkenaan soal-soal duniawi, bukan berkenaan akhirat. Malah, sebaliknya, kerana perjuangan ini pembangkang telah berkompromi dalam hal-hal yang melibatkan kedaulatan agama, bangsa dan negara mereka.

Apa yang menjadi isu oleh pembangkang adalah berkenaan ekonomi (wang) : 1MDB, TRX, Tabung Haji, KWSP, Felda dan sebagainya.

Anda sepatutnya faham, bahawa masalah sebenar bukanlah berkaitan ekonomi, tetapi ia berkaitan pemikiran masyarakat. Sekiranya ia adalah berkaitan ekonomi, sudah pastilah tidak timbul masalah lagi kerana kehidupan hari ini lebih baik berbanding dahulu. Ia sebenarnya berkaitan minda masyarakat.

Misalnya, kehendak-kehendak manusia itu tidak terbatas dan tidak pernah dapat dipuaskan.

Percayakah anda jika kehendak seluruh masyarakat ditunaikan, ia akan menyelesaikan masalah ketidakpuasan hati masyarakat? Tidak. Nafsu dan kehendak manusia itu tidak akan dapat dipuaskan, melainkan pemikiran mereka dapat mengawal nafsu itu sendiri.

Jadi, apa sebenarnya perjuangan yang sedang dibawa pembangkang jika kerajaan hari ini benar-benar menzalimi rakyat seperti dakwaan mereka?

Ramai orang sebenarnya terpukau dengan politikus-politikus pembangkang, sedangkan mereka tidak tahu ke arah mana pembangkang mahu membawa mereka.

Ini seperti bagaimana seseorang itu boleh bergembira, menari dan turut menyanyi lagu dalam bahasa asing yang dia sendiri tidak fahami maksud senikatanya. Dia hanya menikmati iramanya, tetapi tidak maksud liriknya. Begitulah orang ramai hari ini, mereka hanya mengikut  gendang yang dipukul pembangkang, sedangkan mereka tidak tahu ke arah mana perjuangan sebenar pembangkang.

Pembangkang, sebagaimana irama telah memukau sebahagian orang, telah berjaya membangkitkan sentimeen orang ramai agar memberontak ke atas kerajaan, tetapi dalam masa yang sama mereka sendiri tidak tahu ke arah mana pembangkang mahu membawa mereka.

Bahkan, jika ditakdirkan pembangkang mengambil alih negara ini, mereka akan “terbunuh” oleh tindakan-tindakan mereka ini. Budaya dan pemikiran yang dibawa pembangkang ini akhirnya akan memakan diri mereka sebagaimana kata pepatah: “orang yang hidup dengan pedang akan terbunuh dengan pedangnya sendiri”.

Maksudnya, nilai-nilai materialisme dan hedonistik yang ditanam oleh pembangkang ini tidak akan menyelesaikan masalah rakyat, tetapi menjadikan masyarakat lebih rakus dan mahukan kehidupan yang lebih mewah dengan cara yang mudah, yang mereka sendiri tidak dapat penuhi. Jadi, mereka pula yang akan menjadi mangsa kemarahan masyarakat.

Dalam gambaran yang lebih mudah, apa yang berlaku sebenarnya seperti kisah paip air yang bocor. Pembangkang datang membawa bekas air yang besar untuk menadah air yang bocor tersebut supaya ia tidak melimpah keluar. Ia tetap tidak dapat menyelesaikan masalah kerana bekas air itu pasti akan penuh dan diperlukan bekas yang baru.

Ia hanya akan dapat diselesaikan jika kita membaiki paip yang bocor tersebut.

Begitu jugalah dengan permasalahan negara hari ini. Pembangkang datang berjanji untuk memenuhi kehendak-kehendak rakyat, sedangkan yang perlu diperbaiki adalah pemikiran masyarakat yang cenderung kepada nilai-nilai materialistik dan hedonistik.

Pembangkang bukan sahaja tidak mengubah pemikiran materialistik dan hedonistik masyarakat, malah mereka sendiri yang menyuburkan pemikiran-pemikiran ini dengan berjanji indah-indah kepada masyarakat jika mereka berjaya mengambil alih negara.

Sekalipun pembangkang berjaya memenuhi kehendak-kehendak masyarakat itu, seperti kisah paip bocor tadi, ia tidak akan menyelesaikan masalah pokok. Kehendak-kehendak masyarakat akan bertambah sebagaimana air tetap akan melimpah selagi tidak dibaiki kebocoran paip tersebut.

 

 

Oleh: AZMAN HUSSIN

 

Filed in: Azman Hussin, Politik, Topik Pilihan

Tiada Komen Lagi

Tinggal Komen