12:17 pm - Tuesday January 23, 2018

LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA SIRI 1 2017

69529209

 

MO, 3/8/2017, PUTRAJAYA – LKAN menyatakan MPSP telah tidak menyerahkan kesemua wang hasil kutipan caruman saliran kepada JPSPP untuk diakaunkan. Sehingga Jun 2016, jumlah kutipan caruman saliran terkumpul yang belum diserahkan kepada JPSPP adalah RM22.09 juta.

Tindakan MPSP menyimpan dan tidak menyerahkan wang kutipan caruman saliran ini adalah bercanggahan dengan Arahan Amanah yang mengkehendaki semua terimaan caruman saliran diakaunkan ke dalam Akaun Amanah Saliran yang diselenggara oleh Pengarah JPSPP sebagai Pegawai Pengawal.

Menurut LKAN, bagi tempoh 2008- Jun 2016, sebanyak RM 63.39 juta telah dikutip oleh MPSP. Dari jumlah itu hanya RM 2.2 juta telah diserahkan kepada JPSPP sehingga bulan Jun 2016.

Dari rekod Jawapan kepada Soalan Sidang DUN, Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada April 2014 telah menaikkan kadar caruman saliran dari RM 10,000/ekar kepada RM 50,000/ekar, peningkatan sebanyak empat kali ganda.

Arahan YDP MPSP kepada Jabatan Perbendaharaan MPSP pada tahun 2010 untuk menyerahkan hanya RM400,000 setahun wang kutipan caruman saliran kepada JPSPP bagi mengawal aliran wang tunai MPSP adalah sangat tidak wajar dan perlu diambil tindakan; apatah lagi arahan itu dibuat tanpa mendapat kelulusan daripada Kerajaan Negeri.

Adalah sangat tidak wajar bagi Majlis Kerajaan Tempatan membuat satu keputusan dengan membelakangkan Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Kegagalan MPSP menyerahkan semua wang hasil kutipan caruman saliran tersebut kepada JPSPP telah menyebabkan banyak projek-projek pencegahan banjir bagi kawasan-kawasan yang sangat-sangat memerlukan tidak dapat dilaksanakan dengan segera memandangkan pada tahun 2016 sahaja EMPAT kawasan di Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) telah dilanda bencana banjir sebanyak 21 kali.

Tindakan MPSP menyimpan wang kutipan caruman saliran yang sepatutnya diserahkan kepada JPSPP untuk ‘menampakkan aliran tunainya cantik’ telah mengakibatkan kesusahan dan kepayahan pada pihak rakyat Seberang Perai.

MPSP tidak menunjukkan sikap akauntabel mereka selaras dengan slogan CAT yang ternyata sudah mati. MPSP tidak komited untuk menyelesaikan masalah banjir yang semakin kerap terpaksa dihadapi oleh penduduk Seberang Perai terutamanya mereka di Daerah SPT.

Saya ingin bertanya, “Apakah MPSP ada tujuan dan maksud lain untuk tidak menyerahkan sepenuhnya wang hasil kutipan caruman saliran kepada JPSPP?”

Mengikut LKAN juga, MPSP telah meluluskan perbelanjaan wang hasil kutipan caruman saliran itu tanpa terlebih dahulu mendapat kelulusan Pegawai Pengawal Akaun Amanah Saliran.

“Mungkinkah MPSP telah membelanjakan sebahagian wang caruman tersebut untuk tujuan-tujuan lain selain saliran dan perparitan atau tebatan banjir ?”

LKAN juga menyatakan keputusan mutakhir MPSP untuk menyerahkan tunggakan wang hasil kutipan caruman secara sukuan kepada JPSPP adalah bercanggah dan tidak bertepatan dengan kehendak Arahan Akaun Amanah Saliran Negeri Pulau Pinang.

Adalah amat mendukacitakan bila mana pentadbiran sebuah PBT yang telah memenangi anugerah di peringkat antarabangsa bagi Perbandaran Terbaik dan Pengurus Perbandaran Terbaik tidak dapat mematuhi Arahan Akaun Amanah Saliran yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negerinya sendiri.

Pendedahan LKAN 2017 berhubung kegagalan MPSP mematuhi Arahan Amanah mencalar integriti MPSP, satu cabang Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Ketelusan tata kelola kewangannya boleh dipersoal. Apatah lagi baru-baru ini bilamana MPSP dikaitkan dengan tindakan menggunakan wang awam untuk membeli anugerah bagi mendapatkan dua pengiktirafan palsu.

Kegagalan atau lebih tepat, dengan sengaja melengahkan penyerahan wang hasil kutipan caruman saliran juga menunjukkan dasar ketelusan Kerajaan Negeri tidak dipatuhi. Dasar CAT Kerajaan Negeri Pulau Pinang nampaknya telah mati sepertimana yang saya nyatakan pada Sidang DUN lalu.

Apakah kini MPSP sedang mengejar Anugerah Simpanan Tunai Tertinggi oleh sebuah PBT pula?

Filed in: Nasional, Topik Pilihan

Tiada Komen Lagi

Tinggal Komen