8:46 am - Wednesday April 25, 2018

Lebih ramai calon muda BN di Perak

IPOH 15 APRIL 2018. Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ketika hadir di Himpunan Jentera Briged Gempur 2314 Pemuda Barisan Nasional Negeri Perak di Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak, Ipoh. Turut sama Pengerusi Pemuda BN Perak, Khairul Azwan Harun. NSTP/MUHAIZAN YAHYA

MO, 16/4/2018, IPOH: Barisan Nasional (BN) Perak memberi bayangan akan meletakkan lebih ramai calon daripada kalangan golongan muda pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini selaras dengan proses peremajaan parti itu yang dilakukan sepanjang masa.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata calon golongan muda itu tidak hanya tertumpu kepada satu parti seperti UMNO yang menjadi tunjang BN, sebaliknya merangkumi semua parti komponennya.

“Kita mahu memastikan ramai anak-anak muda berada dalam dunia politik dan bersama-sama mentadbir serta menguruskan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Himpunan Jentera Briged Gempur 2314 Pemuda BN Perak di perkarangan kediaman rasmi Menteri Besar, di sini semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi BN negeri, Datuk Saarani Mohamad dan Naib Ketua UMNO yang juga Pengerusi Pemuda BN Perak, Khairul Azwan Harun.

Zambry yang juga Menteri Besar, berkata pihaknya sentiasa mahu memastikan BN serta parti komponennya menjadi pilihan dalam kalangan anak muda di negeri ini.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, beliau berkata senarai calon BN negeri akan terdiri daripada pelbagai latar belakang dan golongan termasuk golongan muda.

Dalam pada itu, Zambry berkata semangat yang ditunjukkan ahli Pemuda BN pada program itu menunjukkan mereka sudah bersedia sepenuhnya dalam perjuangan memastikan kemenangan BN dalam PRU-14 seterusnya kekal memerintah di negeri ini.

Filed in: Nasional, Politik, Topik Pilihan

Tiada Komen Lagi

Tinggal Komen