8:51 am - Wednesday April 25, 2018

Mahkamah Israel tolak perbicaraan terbuka remaja Palestin

8283149088479640360no.jpg.transformedMO, 20/3/2018, BAITULMAQDIS: Mahkamah tentera Israel menghalang usaha menjadikan perbicaraan berprofil tinggi remaja Palestin, Ahed Tamimi terbuka, bermakna ia akan diteruskan secara tertutup, kata peguamnya semalam.

“Tribunal Rayuan Tentera menolak rayuan peguam yang tidak mahu ia dijalankan secara tertutup.

“Perbicaraan terbuka cuma satu-satunya pertahanan dan jelas Ahed Tamimi tidak akan mendapat perbicaraan adil,” kata Gaby Lasky di Twitter.

Tamimi ditahan empat bulan lalu selepas remaja 17 tahun itu kelihatan dalam video yang tular, bersama-sama ibu dan sepupunya, menampar dan menolak dua tentera Israel di luar rumah keluarganya di kampung Nabi Saleh di Tebing Barat.

Tentera berada berhampiran rumahnya di tengah bantahan hampir setiap hari di kampung itu menentang keputusan Presiden Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.

Tamimi didakwa dengan 12 tuduhan termasuk menyerang dan berhadapan hukuman penjara panjang jika disabitkan.

Perbicaraannya, yang mendapat perhatian meluas di Palestin, dibuka pada 13 Februari lalu dan dijadualkan disambung 21 Mac ini di mahkamah tentera Ofer berhampiran Ramallah di Tebing Barat.

Aktivis Palestin yang rapat dengan keluarga Tamimi, Mariam Barghouti, mengesahkan permohonan mengadakan perbicaraan terbuka ditolak.

Badan hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah menyatakan kebimbangan berhubung kes Ahed dan Amnesty International menggesa beliau dibebaskan segera.

 

– AFP

Filed in: Luar Negara, Topik Pilihan

Tiada Komen Lagi

Tinggal Komen