9:37 pm - Wednesday February 21, 2018

Malaysia-China: Hubungan ekonomi dua hala jangan menjadi mangsa politik PRU 14

hubungan eko 2 hala malaysia chinaMO, 13/2/2018 – Menjelang PRU 14 pada tahun ini, banyak isu dimainkan oleh kumpulan-kumpulan politikus tertentu demi meraih populariti mereka tanpa mengira implikasi kepada ekonomi dan kemakmuran rakyat di negara ini.

Kenyataan oleh Duta China di Malaysia baru-baru ini mengenai kecenderungan terbuka oleh para pemimpin parti pembangkang dengan mempolitikkan isu pelaburan dan hubungan dua hala Malaysia-China tidak sewajarnya dimainkan.  Aspek pelaburan dan penglibatan China berlaku di banyak negara termasuk di negara-negara maju yang membuka pintu pelaburan China ke negara mereka. Malahan hubungan ekonomi China berkembang dengan pesat di seluruh dunia bukan sahaja di Malaysia. Dengan pelaksanaan dasar luar perdagangan China melalui One Belt and One Road, yang menjangkau dari Lautan Pasifik sehinggalah ke Lautan Atlantik menyebabkan banyak negara mengalu-alukan penglibatan China di dalam sistem ekonomi terbuka dan moden ini pada hari ini.

Di dalam konteks ini, Malaysia dilihat antara negara yang menerima banyak modal dan pelaburan sama ada dari sudut pembiayaian dan juga pembangunan infrastruktur untuk ekonomi negara. Di zaman kini, China merupakan pemain utama di dalam sistem pembangunan pelaburan modal negara ini, dan sebelum itu Jepun, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan beberapa buah negara Eropah barat. Dan sebelum itu ketika di awal kemerdekaan, sudah pasti Britain merupakan pelabur dan penanam modal yang terbesar di Malaysia.

Faktor masa telah berubah selari dengan perubahan geo politik dunia termasuk di dalam sistem ekonomi dunia. Kini China muncul sebagai negara yang terbesar di dalam ekonomi dunia sebagaimana menurut Bank Dunia dan juga Tabung Matawang Antarabangsa. Dan atas faktor sejarah Malaysia dan China yang unik telah memudahkan lagi aliran pergerakan modal dan pelaburan China ke Malaysia berbanding dengan lain-lain negara di rantau ini.

Para pemimpin pembangkang tidak perlu dengan retorik bahawa China akan mengancam ekonomi domestik ekoran kemasukan modal yang besar-besaran di Malaysia. Keadaan semasa tidak lagi sama dengan 20 atau 30 tahun dahulu kerana negara perlu merancakkan pelaburan dari luar serta mempercepatkan lagi arus perkembangan untuk memastikan negara ini mencapai tahap negara maju dan berpendapatan tinggi seawal yang mungkin dan bukan lagi menunggu tarikh matang yang disasarkan.

Pelaburan luar dari Jepun dan juga Korea Selatan serta Amerika Syarikat yang sebelum ini mendominasi sistem modal di negara ini tidak lagi sehebat seperti sebelumnya. Ketiga-tiga negara tersebut telah beralih ke negara-negara mundur yang memerlukan sumber tenaga manusia yang rendah kosnya serta juga kurang kawalan di dalam sistem perundangan tenaga buruh. Malahan yang terkini ekoran perlantikan Trump sebagai presiden Amerika Syarikat yang baru, beliau secara terbuka ingin membawa pulang semula industri dan pelaburan Amerika Syarikat. Dan keadaan ini menyebabkan banyak industri milik Amerika Syarikat menarik diri dari pelaburan mereka di luar benua Amerika Syarikat untuk kembali ke pasaran buruh dan modal ke Amerika Syarikat itu sendiri. Dan kita bernasib baik kerana impak dari penarikan keluar modal dan industri milik syarikat dari Amerika Syarikat di negara ini sebenarnya semakin mengecil berbanding 20 atau 30 tahun lampau.

Para pemimpin pembangkang perlu melihat agenda pembangunan negara terutama di dalam aspek hubungan ekonomi dua hala dengan mana-mana negara adalah sebahagian daripada amalan sistem ekonomi terbuka yang diamalkan oleh negara ini. Tindakan untuk mengkaji semula atau menyekat pelaburan asing dari luar dilihat sebagai menghantar isyarat yang salah kepada mana-mana negara luar bahawa dasar ekonomi Malaysia ini tidak stabil. Keadaan ini cukup merbahaya kepada kestabilan dan kemakmuran yang sedang dikecapi oleh Malaysia selama ini yang mengalu-alukan kemasukan modal dan pelaburan dari luar.

Dan di dalam konteks semasa ini, kedudukan China sebagai pelabur di negara ini tidak wajar dijadikan bahan politik demi meraih populariti kerana tanpa pelaburan China di Malaysia pada hari ini, negara luar manakah yang boleh memberikan kemasukan modal dan pelaburan industri, sumber tenaga dan infrastruktur, mungkin tiada. Dan ini belum termasuk lagi terbukanya pintu imbangan dagangan dua hala yang semakin berkembang antara Malaysia dan China berbanding dengan negara-negara maju yang lain dengan mengenakan pelbagai sekatan dan kriteria untuk berurus niaga dengan mereka.

 

 

Filed in: Ekonomi, Luar Negara, Nasional, Politik, Topik Pilihan

Tiada Komen Lagi

Tinggal Komen