Ketua Pegawai Eksekutif MAB, Izham Ismail berkata, syarikat penerbangan itu akan beroperasi empat kali seminggu iaitu Isnin, Rabu, Khamis dan Sabtu menerusi pesawat A330-300 yang menawarkan sehingga 290 tempat duduk.

“Brisbane adalah sangat strategik berhampiran pelbagai destinasi pelancongan di Queensland selari dengan pelan pertumbuhan kami yang memfokuskan kepada perniagaan utama dan bandar-bandar pelancongan.

“Malaysia Airlines telah lama bertapak di Queensland sejak operasi ke Brisbane diperkenalkan pada 31 Oktober 1990,” katanya dalam kenyataan semalam.

Pesawat kod MH135 akan berlepas dari Kuala Lumpur pada pukul 9.50 pagi dan akan tiba di Brisbane pada pukul 7.55 petang hari sama. Bagi penerbangan pulang pula, MH134 akan berlepas dari Brisbane pada pukul 11.20 malam dan tiba di Kuala Lumpur pada pukul 5.50 pagi hari berikutnya.

Sempena pengumuman laluan itu, MAB mengadakan Tawaran Tahun Baharu dengan promosi penerbangan Kelas Ekonomi ke Brisbane daripada RM2,009 seorang, Seoul (RM1,259), Tokyo (RM1,419), Auckland (RM2,239) dan pelbagai destinasi lain.

Promosi boleh didapati sehingga 14 Januari 2018 untuk tempoh perjalanan dari 16 Januari hingga 31 Mei 2018, kecuali Brisbane dari 6 Jun hingga 31 Oktober 2018.

MAB ketika ini terbang ke empat destinasi di Australia iaitu Sydney (dua kali sehari), Melbourne (dua hari sekali), Perth (harian) dan Adelaide (empat kali seminggu).