3:13 pm - Thursday December 16, 1762

MEMAHAMI DAN MENYELESAIKAN MASALAH SEBENAR

WhatsApp Image 2017-11-17 at 13.40.49MO, 17/11/2017 – ALBERT Einstein berkata lebih-kurang, “masalah tidak akan dapat diselesaikan jika kita tidak keluar dari pemikiran yang mencetuskan masalah tersebut.”

Ringkasnya, kita tidak boleh menyelesaikan masalah jika kita berfikir dari sudut pemikiran yang mencetuskan masalah tersebut.

Bagaimana seseorang itu mahu menyelesaikan masalah jika individu itu hanya melihat dari skop masalah itu sendiri? Untuk melihat bentuk sebuah bangunan, kita haruslah keluar dari bangunan tersebut.

Bagi yang melihat kerajaan hari ini bermasalah, sepatutnya mereka melihat permasalahan ini dari skop yang luas, yang menyeluruh. Jika fikiran mereka sempit dan berputar dalam masalah, mereka akan melihat permasalahan ini hanya dapat diselesaikan dengan menukar kerajaan.

Kedangkalan-kedangkalan berfikir ini akan menyebabkan lahirnya pelbagai pendapat bodoh yang tidak akan menyelesaikan masalah, malah menambahkan masalah lagi.

Misalnya, seorang ahli politik yang mendengar rungutan masyarakat berkenaan kesusahan hidup kerana harga barang-barang melambung naik, adalah tidak bijaksana jika tokoh itu berfikir penyelesaiannya adalah berkaitan kewangan. Misalnya dengan mencadangkan kenaikan gaji.

Masalah ini perlu dilihat secara menyeluruh. Masalah sebenar perlu dikenali. Kenapa dan bagaimana ia wujud.

Kenaikan harga barang-barangan di pasaran menunjukkan sikap majoriti pengguna itu sendiri. Tiada siapa yang akan menaikkan harga barang jika barang itu tidak dapat dijual. Keborosan dan pembaziran berbelanja masyarakat sebenarnya yang menimbulkan keadaan ini, bahkan ekonomi dunia hari ini hidup dan berkembang kerana faktor ini.

Sejak zaman dahulu, tiada barang yang turun harganya sebagaimana pendapatan manusia juga bertambah. Ini adalah realiti yang akan terus berlaku jika masyarakat itu sendiri tidak membetulkan cara berfikir dan gaya hidup.

Jika pendapatan bertambah atau gaji dinaikan, tetapi kegilaan berbelanja ini tidak dikekang, ia akan meneruskan kitaran yang lama, iaitu kesempitan hidup dan barang-barang akan meningkat harga kerana kos gaji pun meningkat (ini gambaran secara mudah dan perkara ini mungkin boleh diperincikan dalam tulisan yang lain).

Begitu juga dalam masalah moral dan sosial dalam masyarakat.

Misalnya, isu seks bebas. Jika untuk mengatasi masalah ini dicadangkan dengan memberikan kondom secara percuma, ia kelihatan seperti menyelesaikan masalah tersebut. Tetapi, benarkah ia menjawab persoalan? Ia bukanlah penyelesaian seks bebas. Ia tidak akan menghentikan seks bebas, tetapi ia hanya menghapuskan masalah-masalah yang timbul daripada seks bebas, sedangkan seks bebas akan terus berleluasa.

Ramai yang melihat masalah seks bebas ini adalah kelahiran anak luar nikah dan mencadangkan penyelesaian kepada masalah itu sahaja, sedangkan ia adalah akibat dari masalah sebenar, iaitu seks bebas. Kelahiran anak luar nikah dan pembuangan bayi ini antara salah satu akibat, sedangkan akibat-akibat yang lain adalah banyak lagi seperti keruntuhan institusi keluarga.

Jadi, ia tidak akan menyelesaikan masalah sebenar jika tidak diselesaikan masalah seks bebas. Apa yang dicadangkan bukan menyelesaikan masalah, malah menyuburkan lagi masalah, iaitu seks bebas.

Ambil contoh lain seperti masalah jenayah. Kebanyakan orang hanya memberikan pendapat bagaimana untuk menangkap dan menghukum penjenayah, tetapi mereka tidak melihat kepada penyelesaian yang menyeluruh seperti mempertanyakan mengapa jenayah itu wujud. Anda boleh memasang cctv dan menyiapkan kawalan sepenuhnya supaya kejadian jenayah tidak berlaku. Apa yang anda lakukan itu hanya akan menjadikan penjenayah lebih kreatif dan pintar untuk melakukan jenayah, selagi anda tidak menyelesaikan punca sebenar jenayah itu terjadi.

Ia berbalik kepada soal agama, pendidikan dan moral masyarakat itu sendiri. Jika ia tidak bermula di situ, ia akan berakhir dengan kecelaruan kita mencari solusi kepada penyelesaiannya.

Jika anda tidak membaiki kerosakan paip, anda akan terus menadah air yang bocor dengan baldi.

Begitu juga dengan masalah masyarakat dan negara. Menukar kerajaan bukanlah jawaban kepada masalah negara, malah ia mungkin akan menambah masalah.

Jika anda melihat ahli-ahli politik menawarkan penyelesaian-penyelesaian masalah dalam masyarakat dengan menjanjikan perkara-perkara yang indah-indah, percayalah bahawasanya mereka bukan mahu menyelesaikan masalah. Mereka hanya memberikan ubat tahan sakit, bukan ubat penyembuh, dan ubat tahan sakit selalunya  memberikan kesan khayal, sedangkan penyakit tidak akan sembuh.

Ahli-ahli politik sepatutnya membentuk masyarakat, bukannya menurut kehendak masyarakat. Dalam sistem demokrasi, ia terjadi sebaliknya. Masyarakat yang sebenarnya telah membentuk ahli-ahli politik kerana mereka mahukan sokongan.

Maka, anda boleh bayangkan sendiri bagaimana ahli-ahli politik yang tidak bertanggungjawab ini menjadi hamba berbayar kepada masyarakat. Keadaan ini akan bertambah buruk apabila ahli-ahli politik pembangkang menyaingi apa yang dibuat oleh kerajaan. Mereka boleh berjanji menurunkan harga barang, menghapuskan GST atau menaikkan gaji.  Sudah tentulah ramai rakyat yang khayal dengan janji-janji ini, sedangkan masalah sebenar tidak akan selesai.

Kita boleh menghapuskan nyamuk-nyamuk dengan menyembur ridsect, tetapi ia tidak akan menyelesaikan masalah nyamuk jika kita tidak mengenal masalah sebenar. Kenapakah nyamuk-nyamuk itu muncul? Persekitaran yang kotor, air bertakung dan semak-samun akan menyuburkan habitat pembiakan nyamuk-nyamuk. Jika ia tidak dibersihkan, gangguan nyamuk-nyamuk akan berterusan. Hapuskan puncanya, itu adalah penyelesaian sebenar.

Hari ini majoriti ahli-ahli politik tidak mahu menyelesaikan masalah ini. Bahkan mereka pula yang menyuburkan masalah dengan menurut kehendak-kehendak masyarakat. Menurut kehendak masyarakat tidak akan menyelesaikan masalah.

Jika anda melihat ahli-ahli politik mahu menyelesaikan masalah rakyat dengan menurut kehendak-kehendak masyarakat, dengan menjanjikan perkara-perkara yang kelihatan baik seperti menghapuskan GST atau menurunkan harga minyak, ahli politik tersebut tidak memahami masalah sebenar dan tidak akan menyelesaikan masalah rakyat. Ahli politik itu sebenarnya tidak hidup di alam realiti, dan janji-janji itu jika ditunaikan, ia akan mewabakkan penyakit-penyakit yang lain.

Keadaan ini hanya membuktikan ahli politik tersebut tidak bertanggungjawab dan hanya mahu meraih sokongan popular masyarakat.

Seorang pemimpin yang sejati, yang memahami masalah negara dan rakyat, akan melakukan apa yang sepatutnya kepada rakyat, bukan menurut kehendak rakyat. Pemimpin sejati itu boleh menurunkan harga minyak untuk mengekalkan kekuasaanya, tetapi beliau tidak akan melakukannya kerana memikirkan kesan-kesan lain yang akan berturutan menimpa masyarakat.

Masalah sebenar negara ini adalah masyarakat, iaitu diri kita sendiri. Ia tidak dapat dibetulkan dengan menukar kerajaan. Bukanlah menyatakan kerajaan adalah betul dan tidak ada cacat-cela, tetapi hal ini boleh diumpamakan begini: berapa banyak pendapatan kita bertambah, ia tidak akan menyelesaikan masalah ekonomi kita jika kita sendiri tidak mengubah cara berbelanja dengan sepatutnya.

 

Oleh: AZMAN HUSSIN

Filed in: Azman Hussin, Nasional, Topik Pilihan

Tiada Komen Lagi

Tinggal Komen