3:13 pm - Wednesday December 15, 5649

MEMECAHKAN MENTAL BLOK ORANG MELAYU

 

 

8615552_orig

UNTUK melakukan sesuatu perubahan dalam sesebuah negara atau masyarakat, apa yang perlu diubah adalah minda masyarakat itu sendiri. Ini adalah pengetahuan asas dalam bidang kajian berkaitan psikologi manusia.

Pada zaman moden ini, sebuah masyarakat sukar ditaklukkan dengan perperangan fizikal kerana ia akan melahirkan penentangan yang berterusan, yang memakan kos yang besar dan masa yang panjang. Kita lihat bagaimana Vietnam dan Afghanistan tidak dapat dikalahkan oleh kuasa besar dalam perperangan konvensional. Jadi, rakyat sesebuah negara harus dilepaskan daripada norma-norma kehidupan mereka sebelum mereka dapat dijajah kembali melalui pemikiran baru.

Barat telah gagal dalam Perang Salib. Kali ini mereka mengubah modus operandi mereka. Mereka menggunakan perperangan minda, perang saraf dan propaganda untuk membentuk pemikiran dunia untuk menjajah dunia. Ia adalah cara baru menakluk manusia dengan ideologi-ideologi mereka.

Apabila manusia tidak lagi tertakluk kepada kebiasaan yang sedia ada dalam masyarakat, mereka akan berani melakukan apa sahaja. Di sinilah akan bermulanya perubahan dalam masyarakat. Adat dan budaya lama dalam masyarakat yang menghalang jalan menuju tamadun global pimpinan Barat akan cuba dihapuskan mereka.

Selepas kalah dalam Perang Salib, pihak Barat melakukan kajian bagaimana menakluk negara dan orang-orang Islam untuk meletakkannya di bawah penjajahan mereka. Mereka melakukannya melalui penjajahan gaya hidup, pakaian, makanan dan segalanya. Dengan kuasa media yang mereka ada, mereka berjaya mengangkat imej yang hodoh menjadi imej hebat di mata dunia, yang akan dituruti oleh masyarakat dunia. Filem-filem mereka, sebagai contoh, banyak membawa unsur-unsur abnormal dalam masyarakat seperti gay dalam Beauty and The Beast atau Power Rangers dengan lesbian.

Menyedari perkara itulah kita melihat semenjak akhir-akhir ini pelbagai isu timbul dalam masyarakat. Pelbagai perkara pelik yang selama ini tidak pernah timbul telah muncul berturutan. Segala taboo, pantang-larang, adat budaya telah mula dilanggar. Ini adalah antara perperangan pemikiran, suatu perang saraf untuk mengubah pemikiran sesebuah masyarakat sesuai dengan apa yang mereka mahukan.

Dengan slogan pembebasan, keterbukaan, menuduh kolot dan membawa nilai-nilai baru dalam masyarakat, mereka cuba menjadi hero dengan melakukan perubahan dalam pemikiran masyarakat. Ia kelihatan baik pada zahirnya, tetapi apakah sebenarnya perubahan tersebut.

Apakah tujuannya? Adakah ia terjadi begitu sahaja tanpa perancangan?

Misalnya isu menyentuh anjing, berbuka puasa di gereja, makan secara terbuka di khalayak ramai bagi perempuan yang tidak dapat berpuasa, fesyen pakaian Melayu yang diubah menjadi pelik-pelik, menghalalkan gelatin babi, dan segala macam perkara yang sebelum ini tidak biasa dilakukan dalam masyarakat Melayu.

`           Dahulu orang-orang Melayu fobia atau benci kepada lambang salib atau gereja, dan apabila orang-orang Melayu sudah berani memasuki gereja, ia adalah suatu kejayaan besar mereka dalam mengubah minda orang-orang Melayu.

Anjing dipandang najis dalam masyarakat Melayu, dan apabila kita melihat ada program yang cuba membersihkan imei ini, kita sepatutnya faham ada agenda di sebaliknya. Walaupun hujah mereka melakukan program ini murni, misalnya untuk mengelakkan penganiayaan ke atas haiwan, kita tidak sepatutnya menelannya bulat-bulat.

Apabila minda orang-orang Melayu ini dipecahkan dan terbuka, fikiran-fikiran sesat yang lain akan lebih mudah menjangkiti mereka.

Kuasa-kuasa besar dunia sedang mengubah pemikiran masyarakat untuk mengubah keadaan. Juga mereka menjadikan persekitaran berubah supaya pemikiran dapat diubah. Dahulu berpakaian menutup aurat adalah perkara biasa dalam masyarakat dan pakaian mendedah aurat adalah janggal. Perempuan berpakaian seksi akan dianggap perempuan tidak bermoral. Sebaliknya hari ini individu yang menutup aurat akan dikecam sebagai kolot. Kita lihat kini arus perubahan ini semakin kuat. Mereka yang tidak mengikuti perubahan ini akan dipandang mundur, ketinggalan zaman dan dipandang rendah.

Adalah sukar untuk menukar agama orang-orang Melayu ini secara langsung, tetapi ia dapat dilakukan melalui serangan pemikiran. Maksudnya orang-orang melayu tidak akan keluar dari agama secara zahir, tetapi mereka akan keluar agama melalui serangan pemikiran-pemikiran yang boleh menyebabkan mereka kufur secara tidak langsung. Orang-orang Melayu akan marah apabila mereka dikatakan murtad atau kafir, tetapi perkataan dan tindak-tanduk mereka sudah banyak yang menyerupai cara hidup dan pemikiran orang-orang kafir.

Apa yang saya mahu katakan, adalah sukar untuk memurtadkan orang-orang Melayu secara langsung. Mereka hanya boleh dimurtadkan secara tidak langsung dan tanpa disedari apabila minda mereka berjaya dipesongkan dengan pemikiran-pemikiran sesat dan mengelirukan.

Orang-orang Melayu cuba dihilangkan sifat malunya. Ini dapat dilakukan secara halus. Mereka cuba membiasakan apa yang buruk itu dalam masyarakat. Kali pertama tindakan ini akan dikecam. Lama-kelamaan ia akan dianggap biasa. Seperti yang diketahui, apabila hilang sifat malu yang sepatutnya ada dalam diri sesorang individu, orang itu akan sanggup berbuat apa saja. Sifat malu menghalang manusia melakukan sesuatu yang di luar kebiasaan masyarakat.

Usaha-usaha mereka ini mungkin tidak berjaya pada permulaannya, tetapi misi mereka adalah untuk masa hadapan. Kali ini gagal, tetapi lama-kelamaan usaha mereka ini pasti berjaya.

Mereka akan berusaha secara halus supaya apa yang mereka mahukan itu diterima dan diiktiraf lambat-laun.

Gerakan sekular, liberal dan pluralisme di Malaysia juga menggunakan pelbagai kaedah. Mereka mengambil kesempatan di atas perpecahan rakyat dalam politik untuk menyebarkan fahaman mereka. Mereka cuba melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti sosial yang kelihatan baik untuk masyarakat, tetapi maksud di sebaliknya adalah untuk mendapat pengiktirafan masyarakat.

Sukar untuk kita menolak aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang baik. Jika kita melihat hanya pada permukaan, kita akan keliru. Ini adalah perkara biasa, sebagaimana perniagaan-perniagaan yang berimej Yahudi-Zionis cuba melakukan kebaikan seperti mengagihkan makanan-makanan percuma. Walau apapun, perniagaan adalah perniagaan. Maksudnya, di sebalik semua tindakan itu, tujuan mereka adalah keuntungan. Segala kebaikan itu adalah suatu iklan atau promosi, yang kemudian akan membersihkan imej perniagaan mereka apabila syarikat mereka tidak lagi dicurigai. Kosnya adalah sama seperti menggunakan iklan yang bernilai jutaan ringgit, tetapi kesannya berbeza dan lebih berkesan.

Gerakan-gerakan misionari Kristian juga lebih halus, bagaimana dakyah mereka disampaikan ke atas masyarakat begitu mendekati nurani masyarakat. Mereka mendampingi orang-orang miskin, bermasalah dan kesempitan hidup dengan kasih-sayang dan bantuan kebendaan.

Ambil pula contoh program Puteri Umno bersama SIS (Sister In Islam). Ia kelihatan biasa. Secara luaran kita nampak Puteri Umno yang mendapatkan keuntungan dan disokong, tetapi jika difahami secara mendalam, ia adalah sebaliknya.

Dalam masyarakat Malaysia yang tidak dapat menerima budaya LGBT yang dibawa oleh SIS, mereka berjaya mendapat pengiktirafan secara tidak langsung melalui aktiviti-aktiviti masyarakat ini. Antara apa yang dikatakan pengiktirafan adalah apabila kita melibatkan diri mereka dalam aktiviti kita. Pengiktirafan tidak semestinya secara bertulis seperti yang kita fahami.

Sebagai contoh, kita tidak mengiktiraf negara Israel kerana kita mahu memperjuangkan hak-hak rakyat Palestine yang dirampas. Tetapi, apabila kita melakukan kerjasama dengan Israel atas tujuan baik sekalipun, itu bermakna kita telah mengiktiraf kewujudan Israel.

Apabila mereka mulai diiktiraf secara tidak sedar, perjuangan mereka juga mulai diterima dalam dalam masyarakat. Itu sudah menjadi satu kejayaan besar kepada mereka sebagai permulaan.

Dan anda boleh bayangkan sendiri bagaimana akhirnya masyarakat sekiranya usaha mereka menggasak masyarakat dengan pelbagai cara yang halus untuk mengubah pemikiran masyarakat ini tidak disedari oleh pihak-pihak berwajib dan kita sendiri.

– AZMAN HUSSIN

Filed in: Nasional, Topik Pilihan

Tiada Komen Lagi

Tinggal Komen