7:47 pm - Tuesday September 30, 2014

Memohon Perlindungan Daripada Gangguan Makhluk

Siri Koleksi Tafsir

Posted by: abuamjad

 

Firman Allah SWT yang bermaksud:

 

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk. Dari bencana makhluk-makhluk yang Ia ciptakan. Dan dari bahaya gelap apabila ia masuk. Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan (dan ikatan-ikatan). Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengki.”

 

(Surah an-Falaq: 1 – 5)

Huraian

Surah yang mulia ini mengajar kita supaya memohon perlindungan kepada Allah SWT daripada bahaya dan gangguan yang datang daripada segala jenis makhluk ciptaan Tuhan. Bahaya dan gangguan tersebut termasuklah sama ada terdapat pada malam hari yang gelap, makhluk yang berjiwa kotor seperti ahli sihir dan seumpamanya yang melakukan perbuatan yang boleh membawa kepada kerosakan serta manusia yang khianat dan mempunyai sifat hasad dengki.

 

Bahaya pertama yang dijelaskan dalam ayat ini ialah datangnya daripada  kegelapan. Kegelapan yang dinyatakan termasuklah kegelapan malam yang menjadi peluang kepada sebahagian besar daripada makhluk-makhluk jahat untuk keluar dari tempat masing-masing melakukan pelbagai perkara yang tidak baik. Antara lain kegelapan yang dimaksudkan juga adalah kegelapan mata hati, kegelapan jalan penghidupan dan sebagainya.

Bahaya kedua yang dapat dinukilkan melalui ayat ini ialah bahaya yang datangnya daripada makhluk-makhluk yang berjiwa kotor iaitu makhluk yang berusaha melakukan fitnah, yang berusaha merungkaikan simpulan iktiqad keimanan seseorang, yang merosakkan ikatan muhibbah sesama Islam, meruntuhkan institusi rumah tangga, memecah belahkan perpaduan kaum dan masyarakat. Termasuk juga dalam golongan yang berjiwa kotor ini ialah ahli-ahli sihir yang berkawan dengan syaitan bagi merosak serta membahayakan orang lain.

Muslim Praying

Seterusnya, gangguan atau bahaya ketiga yang terkandung dalam ayat ini ialah datangnya daripada manusia yang mempunyai tipu daya dan angkaranya untuk menghapuskan sesuatu nikmat Tuhan daripada seseorang yang mempunyai nikmat yang dikurniakan. Orang yang sedemikian sikapnya ialah orang yang ada di dalam jiwanya penyakit hasad dengki iaitu penyakit tidak senang hati melihat atau mendengar orang lain mendapat nikmat atau keistimewaan daripada Allah SWT.

 

Sikap hasad dengki adalah penyakit yang menyebabkan berlakunya pelbagai perbuatan derhaka kepada Allah SWT. Contoh yang paling mudah ialah kufurnya Iblis kerana dengki melihat Adam AS diberikan kelebihan oleh Allah SWT. Begitu juga dengan kisah Habil dan Qabil berbunuhan disebabkan dengki dan iri hati kerana salah seorang daripada mereka dikurniakan isteri yang cantik.

 

Kesimpulan

 

Ayat daripada surah al-Falaq ini jelas dan wajar dijadikan panduan dan bekalan. Dalam kehidupan kita seharian, pelbagai dugaan dan cabaran akan ditempuhi. Begitu juga dengan bahaya yang mendatang tidak ada siapa yang mengetahui akan kemunculannya. Oleh yang demikian, kita patut sedar akan kepentingan untuk berlindung kepada Allah SWT daripada bahaya makhluk ciptaannya. Allah SWT yang menjadikan manusia dan Allah SWT jugalah yang mengetahui apakah yang diperlukan oleh manusia.

 

Filed in: Agama, Kolum Khas

Tiada Komen Lagi

Tinggal Komen