1:45 pm - Saturday November 25, 2017

MENTIMUN DALAM DUNIA POLITIK

WhatsApp Image 2017-11-03 at 14.58.48MO, 3/11/2017 – BERBAHAS mengenai isu-isu tidak akan menyelesaikan masalah. Ia bukan lagi soal kebenaran, tetapi kepercayaan anda terhadap sesuatu. Sekiranya anda mempercayai pembangkang, apa saja cerita keburukan pembangkang anda tidak akan terima. Begitu juga dengan penyokong kerajaan. Mereka akan percaya kepada apa yang mereka mahu percaya. Jika dibentangkan apa yang bertentangan dengan kepercayaan mereka, ia sudah pasti akan ditolak.

Mari kita cuba bertoleransi untuk lebih jujur dalam persoalan politik negara hari ini. Kita cuba berlaku jujur tanpa melihat siapa yang benar. Kita lihat secara rasional dan logik. Buang segala retorik dan putar-belit kerana ia tidak akan menjelaskan masalah.

Apabila saya katakan perjuangan Dr Mahathir atau pembangkang yang lain adalah perjuangan peribadi, sudah tentu anda tidak menyetujuinya. Anda akan katakan Perdana Menteri hari ini juga pasti melakukan salahlaku, rasuah dan sebagainya yang tidak beretika.

Persoalannya, anda sendiri mengakui dalam minda anda bahawa Dr Mahathir juga diragui sebagai ahli politik yang baik. Ia adalah normal. Sudah tentu orang yang berakal akan berfikir Dr Mahathir terlibat dengan salahlaku dan penyelewengan. Sebagai contoh mudah, ambil sahaja anak-anaknya. Akal yang waras tentu dapat menimbang jika beliau tidak menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, adakah mungkin anak-anaknya menjadi billionair, bahkan antara 10 individu yang terkaya di Malaysia.

Bertahun-tahun ahli-ahli politik pembangkang mendedahkan perkara ini sebagaimana Perdana Menteri hari ini hadapi pelbagai pendedahan buruk.

Anda boleh berikan alasan-alasan untuk membenarkan Dr Mahathir, tetapi semua alasan itu hanyalah bersifat menipu diri anda sendiri.

Ia seperti menyatakan sepasang kekasih zaman moden ini tidak pernah melakukan perkara yang tidak senonoh apabila keluar bersama, paling tidak dengan bersentuhan tangan. Siapakah yang akan mempercayai perkara ini?

Lalu, anda mungkin mahu saya berfikir sebaliknya bahawa Perdana Menteri hari ini juga ada melakukan perkara yang sama.

Baiklah, untuk memuaskan hati anda, saya bersetuju dengan anda.

Jadi, kita katakan antara mereka berdua adalah sama sahaja.

Lalu, kita tiba pada kesimpulan bahawa majoriti ahli politik itu sama sahaja, mereka mempergunakan rakyat untuk kepentingan peribadi masing-masing.

Soalan yang timbul, jika itu kesimpulan kita, mengapa anda mahu menukar kerajaan jika politikus itu sama sahaja.

Mungkin anda patut mengaku sahaja bahawa siapa sahaja menjadi Perdana Menteri, ia haruslah dilawan kerana hari ini tiada kedapatan lagi ahli-ahli politik yang jujur. Ini sebenarnya sesuatu yang lucu.

Mari kita fikir sebaliknya. Jika politikus memanipulasi rakyat untuk kepentingan peribadi mereka, kita sepatutnya memilih tindakan yang terbaik sebagai rakyat.

Kita mentimun dengan durian. Digolek atau menggolek, tetap terluka. Apakah pilihan terbaik untuk kita jika semua ahli politik adalah sama sahaja?

Seperti dikatakan tadi, ahli politik hanya mengeksploitasi rakyat untuk perjuangan peribadi mereka. Mereka menamakan perjuangan mereka untuk rakyat dan negara, walhal mereka hanya memanipulasi semua itu untuk meraih sokongan.

Pendek kata, mereka saling bergaduh untuk meraih sokongan rakyat. Mereka saling mahu dilihat sebagai pejuang rakyat.

Kita rakyat tidak boleh mengelak perkara ini sekalipun kerajaan bertukar. Pertukaran kerajaan hanyalah bermakna kita menukar politikus korup kepada politikus korup lain. Kita tidak boleh mengharapkan ahli politik itu jujur seratus-peratus berjuang untuk rakyat dan negara.

Realitinya, ahli-ahli politik ini hanya menyesuaikan kehendak-kehendak rakyat dengan kepentingan peribadi mereka. Mereka akan melakukan apa sahaja untuk menarik sokongan rakyat.

Perebutan kuasa ini juga menyebabkan ahli politik menjadi “gila”. Sebagai contoh, ada ahli politik yang turun membersihkan longkang untuk menunjukkan bahawa dirinya berjiwa rakyat, walhal rakyat tahu semua itu hanyalah lakonan. Mungkin tiada siapa yang akan mempercayainya sebagai ikhlas, melainkan itu hanya gimik politik. Tetapi, ahli-ahli politik ini tetap melakukan aksi-aksi sebegitu.

Kita patut melihat apakah yang digunakan ahli-ahli politik ini untuk mengambil hati anda. Lihat, apakah isu-isu yang digunakan oleh ahli-ahli politik ini untuk mengeksploitasi anda.

Kerajaan sedia ada, kerana menyedari sokongan orang-orang Melayu semakin terhakis, mereka mulai mengambil berat berkenaan orang-orang Melayu. Mereka cuba menonjolkan diri mereka memperjuangkan orang-orang Melayu. Itu mungkin sekadar suatu lakonan, tetapi mereka tetap mengambil berat berkenaan perkara ini. Mereka banyak memainkan isu-isu berkenaan agenda orang-orang Melayu dan rakyat.

Sebaliknya, lihat pula ahli politik pembangkang. Apakah isu-isu yang mereka bawakan untuk mendapatkan sokongan rakyat?

Pembangkang, kerana menyedari undi mereka daripada orang-orang bukan Islam, mereka menjadi lebih sekular dan liberal untuk mengekalkan sokongan ini. Anda boleh melihat sendiri pandangan ahli-ahli politik pembangkang ini dalam pelbagai isu yang melibatkan sensitiviti orang-orang Melayu seperti kalimah Allah, pesta arak, LGBT, hukum hudud dan pelbagai lagi. Boleh dikatakan mereka lebih Cina daripada ahli politik Cina.

Ringkasnya, anda boleh melihat hipokrasi ahli-ahli politik ini. Ahli-ahli politik kerajaan lebih mahu memenangi hati orang-orang Melayu kerana menyedari orang-orang bukan Islam bersama pembangkang, sementara pembangkang pula lebih condong tunduk kepada orang-orang bukan Islam untuk meraih dan mengekalkan sokongan mereka.

Hal ini boleh dibuktikan dengan melihat sokongan padu orang-orang bukan Islam, terutamanya bangsa Cina, kepada ahli-ahli politik pembangkang. Adakah orang-orang Cina ini akan menyokong parti yang merugikan bangsa mereka?

Anda tentu tahu jawapannya. Keuntungan orang-orang bukan Islam adalah kerugian kepada orang-orang Melayu.

Jika kita semua cerdik, kita boleh membuli dan mengeksploitasi ahli-ahli politik ini sebagaimana mereka memanipulasi anda. Anda mampu mengeksploitasi keadaan ini. Perebutan kuasa antara ahli-ahli politik ini patut anda manfaatkan untuk kebaikan anda.

Dalam perniagaan, jika anda mengalami kerugian, anda sepatutnya tahu menghadkan kerugian anda. Begitu juga dalam sokongan politik. Dalam dua pilihan ini, anda kerugian kerana dieksploitasi oleh ahli-ahli politik, tetapi anda mesti tahu mengehadkan kerugian anda itu.

Untuk kebaikan anda orang-orang Melayu, apakah pilihan yang lain, jika anda tidak bersama ahli-ahli politik yang berusaha mengambil hati orang-orang Melayu? Walaupun anda anggap mereka bersandiwara, setidak-tidaknya mereka masih menyedari kuasa undi anda sehingga mereka terpaksa memainkan isu-isu berkenaan orang-orang Melayu.

Hujah sebaliknya sangat mudah. Adakah anda mahu mengharapkan kelompok ahli politik yang mengampu, lebih mengambil hati orang-orang bukan Islam dan terang-terangan mahu menghapuskan hak-hak keistimewaan anda sebagai orang Melayu? Sudah pasti jika mereka berkuasa, mereka akan tunduk kepada orang-orang bukan Islam yang memberikan mereka sokongan undi. Ia adalah sifir yang mudah.

Jadi, apabila anda bersatu-padu di bawah pakatan parti yang memperjuangkan orang-orang Melayu, mereka akan terus mengambil berat berkenaan anda untuk mengekalkan sokongan anda. Sama ada mereka berpura-pura atau tidak (anda tahu pakatan parti yang satu lagi juga lebih kurang sama keikhlasan mereka), setidak-tidaknya mereka mahu dilihat membela orang-orang Melayu.

Kesimpulannya, ia adalah soal apa yang anda dapat sebagai rakyat, kerana jika anda mencari ahli-ahli politik yang jujur, anda tidak akan menemuinya. Anda harus mengeksploitasi mereka untuk mendapatkan kebaikan daripada pertikaian politik ini.

Biarkan ahli-ahli politik berlumba-lumba mahu memenangi hati anda, bukannya mahu menghapuskan hak-hak anda sebagai orang-orang Melayu.

 

Nota Kaki: Walaupun dalam minda saya adalah perkara berlainan, iaitu saya menyakini Perdana Menteri hari ini tidak seperti yang digambarkan oleh pembangkang, saya tidak akan menyatakannya dalam tulisan ini kerana saya tahu anda tidak akan menerimanya. Bagi saya beliau telah melakukan yang terbaik mengikut kemampuannya, bagaimana beliau mengambil alih semula hak-hak negara yang selama ini dipegang oleh kapitalis-kroni Dr Mahathir, dan mengembalikannya kepada rakyat.

 

Oleh: AZMAN HUSSIN

 

Filed in: Azman Hussin, Nasional, Politik, Topik Pilihan

One Response to “MENTIMUN DALAM DUNIA POLITIK”

  1. November 3, 2017 at 4:15 pm #

    Bagi yg rasional tentu kita tahu tujuan memilih pemimpin adalah utk mewakili yg teramai. Walau bagaimanapun kumpulan yg sedikit tidak diabaikan begitu shj. PM banyak mengambil pendekatan yg tidak popular utk kepentingan yg teramai tetapi apa shj yg PM lakukan walaupun yg terbaik, yg sedikit tadi tetap membangkang hingga sanggup menafikan kebajikan yg mrk nikmati!!
    Alangkah malang bila matahati dibutakan kebencian melulu semata2 krn termakan fitnah & hasutan politikus * macai2 mrk yg dengki dgn transformasi yg PM berjaya lakukan!
    Pada kumpulan jiwa pemberontak tersebut..sila semak kebekuan hati!

Tinggal Komen