9:32 pm - Wednesday February 21, 2018

Minum air mendidih: Polis tunggu laporan HKL

lecurbibir13f.transformedMO, 13/2/2018, KUALA LUMPUR: Sebarang tindakan susulan oleh polis berhubung kes seorang kanak-kanak dipercayai dipaksa minum air mendidih, akan dibuat sebaik memperoleh laporan perubatan.

Setakat ini Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, Negeri Sembilan, masih menunggu keputusan ujian perubatan dari Institut Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang dijangka dikeluarkan dalam masa terdekat.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Zaldino Zaludin, berkata siasatan kes berkenaan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan.

“Polis sudah merakam percakapan kanak-kanak berkenaan (mangsa), namun kami tidak dapat memberikan butiran lanjut sehingga keputusan laporan perubatan dikeluarkan.

“Ingin saya tegaskan, apabila laporan polis dibuat ibu kandung mangsa, kertas siasatan dibuka dan dijalankan pegawai penyiasat,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa memandang serius kes seperti itu, namun dijalankan mengikut prosedur ditetapkan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, sebelum sesuatu tindakan susulan dibuat.

“Antara perkara yang perlu diteliti adalah pengesahan pegawai perubatan sama ada mangsa benar-benar dipaksa minum air yang mendidih sehingga dia melecur atau disebabkan penyakit seperti ulser dan mungkin juga disebabkan kekurangan air.

“Perkara ini adalah penting bagi memastikan siasatan dan tindakan susulan dibuat secara tepat tanpa sebarang keraguan,” katanya.

Zaldino berkata, selagi laporan perubatan belum dikeluarkan beliau enggan mengulas butiran terperinci mengenai sebarang tindakan awal pihaknya kerana dikhuatiri boleh menjejaskan siasatan.

Ketika ini, siasatan kes terbabit dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Dalam kejadian Isnin minggu lalu, mangsa pelajar sebuah sekolah kebangsaan di Lenggeng, Negeri Sembilan, melecur pada keseluruhan bahagian bibir selepas dipercayai dipaksa minum air panas yang masih menggelegak oleh ibu tirinya.

Kejadian dipercayai berlaku sehari selepas ibu kandungnya menghantar mangsa yang juga anak bongsu daripada empat beradik pulang ke rumah bekas suaminya di Lenggeng.

Ibu kandung mangsa, Nurul Dahlia Jaafar, berkata kejadian berkenaan disedarinya ketika dia mengambil anaknya dari rumah adik bekas suaminya jam 12.30 tengah hari, Jumaat lalu.

Nurul kemudian membawa anaknya ke HKL sebelum membuat laporan polis.

 

Filed in: Kesihatan, Nasional, Topik Pilihan

Tiada Komen Lagi

Tinggal Komen