7:33 pm - Monday October 23, 2017

MRT PROJEK IKONIK NEGARA: REALITI PEMBANGUNAN SEKITARNYA

WhatsApp Image 2017-10-12 at 12.29.50MO, 12/10/2017 – Salah satu daripada projek ikonik negara utama demi kemudahan rakyat ialah pelancaran sistem kemudahan MRT pada Julai 2017 yang menghubungkan laluan Sungai Buloh dan Kajang. Dengan kos pembinaan sebanyak RM 21 billion ianya telah menjadi salah satu nadi pengangkutan darat bagi menghubungkan kawasan di sekitar lembah Klang.

Salah satu tumpuan utama kepada projek MRT ini ialah pembinaan laluan dari Sungai Buloh bagi menghubungkan kawasan dari sekitar timur Kuala Lumpur menjangkau ke Kajang dan fasa seterusnya ke Putrajaya. Kedua-dua kawasan tersebut pesat berkembang dengan pelbagai projek pembangunan termasuklah perumahan dan perindustrian serta pentadbiran Kerajaan Persekutuan telah menjadikan stesen di Sungai Buloh menjadi titik utama kepada pembangunan di masa akan datang.

Sebaik sahaja menjejak kaki ke dalam stesen di Sungai Buloh, rakyat Malaysia boleh berbangga dengan kualiti dan kekemasan yang terdapat di dalam stesen tersebut serta stesen-stesen MRT yang lain. Dengan penggunaan teknologi automasi menjadikan MRT yang dimiliki oleh Malaysia ini lebih baik daripada lain-lain bentuk perkhidmatan MRT di lain-lain negara termasuklah di negara-negara maju.

Malangnya apa yang terdapat di stesen MRT ini tidak memberikan realiti sebenar yang wujud hanya di luar pintu laluan masuk ke stesen MRT Sungai Buloh ini. Para pengguna MRT tertanya-tanya mengapa persekitaran di stesen Sungai Buloh ini amat berlainan sekali dengan kecanggihan MRT di dalam stesen tersebut.

Sebaik sahaja para pengguna ke stesen MRT Sungai Buloh memasuki Jalan Kuala Selangor (laluan 54) ke Jalan Hospital (laluan B9), keadaannya seolah-olah berada di sebuah negara mundur. Longgokan sampah termasuk buangan binaan bertaburan di laluan masuk ke Jalan Hospital, ketiadaan lampu jalan, keadaan permukaan jalan yang berlubang sana sini dan penuh dengan tampalan seperti kain perca dan juga kekurangan elemen keselamatan kepada para penguna. Keadaan ini amat tidak selesa kepada para pengguna yang saban hari melalui laluan tersebut untuk menggunakan sistem MRT yang serba moden dan bertaraf negara maju.

Perkara ini tidak seharusnya berlaku kepada satu projek ikonik negara kerana ianya mengambarkan berlakunya jurang pembangunan setempat dengan kawasan sekitarnya. Peranan dan kerjasama dari agensi atau kementerian yang terbabit dengan penyediaan prasarana kepada rakyat perlu lebih peka dan aktif bagi menyokong kepada pertumbuhan pesat yang sedang berlaku di laluan MRT khususnya di Stesen Sungai Buloh.

Sebaik sahaja laluan ke Putrajaya siap yang dijangka menjelang tahun 2020, satu tarikh keramat yang menandakan pencapaian Malaysia sebagai negara maju, Stesen MRT di Sungai Buloh akan menjadi pengerak kepada dua laluan utama. Keadaan ini akan menyebabkan lebih banyak pergerakan para pengguna MRT dari Stesen Sungai Buloh kerana laluan ke Putrajaya tersebut akan melalui kawasan kepadatan tinggi di Kuala Lumpur sehingga ke Putrajaya.

Sewajarnya di dalam konteks ini, sokongan kepada pembinaan projek ikonik negara ini diberikan perhatian yang tinggi kepada pihak berkuasa tempatan aagar dapat menyediakan suatu keadaan yang selesa dan selamat kepada para pengguna. Mereka perlu menyedari bahawa sistem MRT adalah bentuk pengangkutan darat negara di masa akan datang.

Dan lebih malang sekali ialah di sekitar kawasan MRT Sungai Buloh tersebut terdapatnya sebuah Hospital Sungai Buloh yang bertindak sebagai salah satu hospital rujukan kepada 2.8 juta penduduk di sekitarnya. Terdapat juga dua buah pusat pendidikan perubatan berhampiran dengan Hospital tersebut. Di dalam konteks ini elemen keselamatan dan keselesaan di laluan tersebut termasuklah ke Stesen MRT wajar diberikan perhatian.

Tiada gunanya jika negara mempunyai kemudahan MRT bertaraf negara maju tetapi kawasan sekitarnya mengambarkan sebuah negara yang masih bergelumang dengan masalah pembangunan tidak seimbang.

 

Filed in: Nasional, Teknologi dan Media Sosial, Topik Pilihan

Tiada Komen Lagi

Tinggal Komen