3:24 pm - Monday April 22, 3675

Pelan Tindakan Pendidikan anak tentera dilancar

TAHANAN23_cropped.transformedMO, 11/1/2018, KLUANG – Kementerian Pertahanan melancarkan Pelan Tindakan Agenda Pendidikan Hala Tuju 2018-2022 yang bakal melonjakkan paradigma baharu agenda pendidikan kementerian terbabit.

Pelan tindakan itu bakal memberi manfaat kepada 33,611 pelajar, selain 1,987 guru sekolah dalam kem tentera dan 67,222 ibu bapa membabitkan warga tentera, veteran serta kakitangan awam kementerian.

Pelancaran pelan tindakan itu disempurnakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bersama Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid serta Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak, di Batalion Ke-5 Rejiman Askar Melayu Diraja, di sini hari ini.

Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zulkiple Kassim, berkata pelan tindakan itu memfokuskan kepada peningkatan kemudahan pendidikan, memperkasakan pendidikan dan merangka inisiatif untuk memartabatkan pendidikan Kementerian Pertahanan.

Katanya, usaha itu juga bagi memberi pengiktirafan dan penghargaan menerusi modul insan kepada warga kementerian.

“Terima kasih tidak terhingga kepada Menteri Pertahanan atas sokongan jitu dan meluluskan satu konsep peningkatan pendidikan komprehensif, aktif dan kondusif dalam mewujudkan suasana pembelajaran kepada anak tentera serta veteran tentera, seiring pembelajaran abad ke-21.

“Pelan tindakan ini juga membuktikan proses pembelajaran anak tentera sentiasa terpelihara dan dijaga persekitarannya supaya anggota tentera dapat menumpukan tanggungjawab tanpa perlu bimbang persekolahan anak masing-masing,” katanya berucap pada majlis pelancaran itu.

Zulkiple berkata, pelan tindakan itu menggariskan empat pendekatan utama yang diguna pakai bagi melaksanakan pelan tindakan terbabit termasuk berkaitan pembangunan infra pendidikan sekolah dalam kem tentera.

Katanya, pendekatan kedua membabitkan usaha memperkasa institusi pendidikan sedia ada ke tahap lebih unggul bagi Maktab Tentera Diraja (MTD) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Terendak.

Beliau berkata, pendekatan ketiga ialah inisiatif kebajikan pendidikan membabitkan kerjasama Kementerian Pendidikan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Katanya, pendekatan keempat iaitu pengiktirafan dan penghargaan modal insan.

Filed in: Nasional, Topik Pilihan

Tiada Komen Lagi

Tinggal Komen