3:08 pm - Saturday October 20, 1128

Pembangkang dan Kerajaan Bukan Hitam Dan Putih

WhatsApp Image 2017-08-04 at 16.35.22

SEBELUM anda nekad menyokong pembangkang dalam PRU yang akan datang, mari kita semak beberapa persoalan yang akan saya timbulkan di sini.

Anda mendakwa kerajaan menyeleweng, mencuri wang rakyat, melakukan pemborosan dan menyalahgunakan kuasa. Malah banyak lagi tuduhan yang anda percayai. Dalam erti kata yang lain, kerajaan menindas anda sebagai rakyat, dan anda fikir kerajaan wajib ditumbangkan tanpa kompromi lagi.

Untuk ringkaskan perbahasan, saya terima sahaja dakwaan anda itu bahawa kerajaan sedia ada memang bertindak zalim dan perlu ditukar baru. Sama ada ia benar atau tidak kerajaan zalim, perkara itu boleh dibahaskan dalam tulisan yang lain.

Kita selalu keliru, kita menganggap dalam hidup ini hanya ada dua pilihan, iaitu hitam atau putih. Jika kita mendakwa kerajaan adalah kumpulan penjahat, kita cenderung menganggap pihak yang menentang mereka, iaitu pembangkang, adalah kumpulan hero, penyelamat atau pejuang rakyat.

Padahal hidup ini bukanlah sebegitu. Realiti hitam-putih seperti ini hanya diketemukan wujud dalam filem dan novel khayalan manusia. Yang tertindas akhirnya menemui keadilan, baik melawan jahat. Itu semua hanya pemikiran yang berbaur fiksyen, sedangkan tidak ada yang benar-benar putih dan tidak ada yang benar-benar hitam dalam dunia realiti hari ini.
Sebaliknya ia bercampur-gaul, ada baik dan buruknya, manfaat dan mudaratnya. Pada watak yang jahat, ada sisi baiknya. Dan pada watak yang baik, ada sisi gelapnya.

Kerana terpedaya dengan persepsi sebegitu, kita memandang semua yang dilakukan oleh kerajaan adalah buruk kerana anggapan utama kita bahawa kerajaan adalah zalim. Begitu juga sebaliknya.

Jadi, tidak hairanlah apabila seseorang yang tidak lagi bersama kerajaan dan berpaling menentang kerajaan, wataknya akan disuci dan diputihkan, walaupun sebelum ini tokoh tersebut anda gelar firaun.

Itulah logik dan prasangka anda.

Mari kita lihat kemungkinan yang lain pula. Adakah benar golongan yang menentang pihak yang anda dakwa zalim itu adalah puak yang baik?

Kita lihat apa tindakan yang dilakukan mereka untuk menjatuhkan kerajaan. Baikkah mereka jika mereka membawa budaya baru yang merosakkan rakyat dan negara seperti menyokong fahaman liberal, sekular, plural dan LGBT?

Mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk menumbangkan kerajaan sedia ada. Untuk mendapatkan sokongan, mereka cuba menghalalkan apa saja, mempertikaikan apa saja.

Anda telah melihat bagaimana puak-puak yang kononnya menentang kejahatan ini sanggup tunduk dan mengalah kepada tuntutan orang-orang bukan Islam. Sebagai contoh mudah, dalam isu kalimah Allah atau membenarkan orang Islam murtad.

Dan dari kalangan manakah suara-suara yang mempertikai institusi raja-raja, hak-hak keistimewaan Melayu, badan-badan agama Islam, atau perundangan Islam selama ini?

Kaedah penentangan pembangkang ini sangat merosakkan, bukan memperbaiki keadaan sedia ada untuk kebaikan rakyat.

Jika ini taktik perang zaman kuno, tindakan pembangkang boleh diumpamakan seperti tindakan membakar rumah-rumah, pokok-pokok, membunuh haiwan-haiwan ternakan dan meracun sumber air untuk melemah dan menghancurkan pihak lawan.
Adakah logik jika untuk menentang kejahatan kita juga melakukan kejahatan, atau bersekongkol dengan kejahatan?

Sekalipun benar kerajaan korup, anda sepatutnya tidak mensucikan semua tindakan yangd dilakukan oleh golongan yang menentang mereka.

Jika benar kerajaan korup, anda tidak sepatutnya menerima sesiapa saja asalkan ia bukan kerajaan.

Contoh seperti slogan Asalkan Bukan UMNO (ABU).

Apabila kita menerima apa saja, asalkan bukan UMNO, itu jelas adalah tindakan yang tidak waras, sebagaimana hari ini, kerana marahkan pihak pemerintah, anda menerima puak-puak yang anti-Islam, pembawa fahaman-fahaman baru yang sesat.

Di mana logiknya?

Negara ini negara nenek moyang orang-orang Melayu. Seperti dalam sebuah rumah, seburuk-buruk manapun tindakan si ayah, kita takkan menerima orang lain yang tiada kaitan dengan kita menjadi ketua di dalam rumah kita.

Sebaliknya hari ini, kerana marahkan kerajaan, kita menerima pertolongan orang-orang bukan Islam untuk menjatuhkan kerajaan.

Apabila semua perkara ini berlaku, sepatutnya jelas bagi anda bahawa pembangkang bukanlah hero penyelamat yang berjuang untuk kebaikan rakyat dan negara, walaupun anda masih berdegil mahu menyatakan kerajaan sedia ada korup.

Berbaloikah anda, hanya kerana memperjuangkan perkara-perkara duniawi seperti kehidupan yang selesa, anda membiarkan diri anda dan generasi akan datang tercampak ke dalam perangkap puak-puak yang menentang agama anda?

Sebagai seorang yang waras, anda tentu dapat berfikir, tidak ada sebab orang-orang bukan Islam mahu menjayakan usaha anda menukar kerajaan tanpa memberi apa-apa faedah kepada mereka.

Kerajaan yang berkongsi kuasa dengan orang-orang bukan Islam yang dominan, tentulah akan memperjuangkan hak-hak mereka, yang implikasinya adalah menghancurkan hak-hak orang Melayu itu sendiri.

Realitinya, jika anda menganggap politikus kerajaan itu korup, anda juga sepatutnya menerima hakikat bahawa majoriti ahli politik pembangkang adalah lebih-kurang sama sahaja setelah melihat cara-cara penentangan mereka yang secara tidak langsung telah mendedahkan niat sebenar mereka.

Jadi, tiada sebab anda perlu menukar kerajaan kalau pertukaran kerajaan ini hanya menukar politikus jahat kepada politikus jahat yang lain, apatah lagi jika pertukaran ini boleh menyebabkan risiko orang-orang bukan Islam menguasai negara ini.

Dalam minda anda yang kecewa dengan pelbagai penyelewengan yang kononnya dilakukan kerajaan, anda lupa memerhatikan keikhlasan perjuangan pembangkang.

Menentang kerajaan yang zalim tidak bermakna golongan yang menentang mereka adalah puak yang benar.

Sekali lagi, adakah pembangkang benar-benar berjuang untuk kebaikan anda jika mereka membutakan mata apabila agama dan bangsa anda dipertikai dan diserang oleh politikus-politikus bukan Islam? Ada banyak contoh yang telah diperjelaskan di atas, yang boleh anda renungkan.

Apa yang saya mahu anda fikirkan, terpulanglah kepada anda untuk menyatakan kerajaan hari ini menzalimi anda, tetapi ia tidak boleh dimaksudkan puak yang menentang mereka itu berniat baik mahu memperjuangkan kebaikan dan keadilan untuk rakyat dan negara.

Jadi, adakah masih tidak nampak politikus-politikus pembangkang ini hanya mempergunakan anda untuk menjatuhkan kerajaan. Mereka mendedahkan keburukan-keburukan kerajaan agar kerajaan tumbang dan mereka dapat menggantikannya. Itu sahaja. Anda hanya menjadi kuda tunggangan mereka. Mereka menghasut anda dengan pelbagai cerita sehingga anda marah dan tidak dapat berfikir rasional lagi.

Sepatutnya, kalau anda mahu berfikir, kemarahan anda juga sepatutnya tertuju kepada politikus-politikus yang sedang memperbodohkan anda ini.

Tanpa mahu menafikan tuduhan anda bahwa kerajaan hari ini korup, anda tidak sepatutnya membabi-buta menerima penentang mereka itu sebagai puak yang baik.

Hidup ini bukanlah fiksyen. Bukan hitam dan putih semata-mata. Ada pelbagai jenis warna yang lain lagi.

Mungkin realiti yang sedang anda jalani hari ini adalah tentang bagaimana sekelompok politikus yang jahat sedang mengeksploitasi rakyat dengan kejahatan pemerintah sedia ada untuk mereka mengambil alih pemerintahan.

Maka apabila bertemu dua kemudaratan, anda sepatutnya berfikiran waras dan rasional dengan memilih mana yang kurang mudaratnya.

Filed in: Azman Hussin, Politik

Tiada Komen Lagi

Tinggal Komen