4:59 pm - Wednesday April 25, 2018

PEMIKIRAN LURUS BENDUL DALAM POLITIK

WhatsApp Image 2017-12-20 at 15.44.41MO, 20/12/2017 – BAGAIMANA seseorang itu memahami, begitulah dia akan bertindak.

Kedangkalan dalam berfikir boleh membawa bencana kepada masyarakat, lebih-lebih lagi jika ia melibatkan orang ramai. Banyak masalah yang berlaku hari ini adalah kerana kejahilan dan kebodohan dalam berfikir.

Ciri-ciri kedangkalan ini adalah keras bertindak, taksub pada kelompok mereka dan bertindak agresif kerana mereka menyakini mereka di pihak yang benar.

Sudah tentulah apa yang dikatakan mereka adalah benar secara zahirnya, dan ia tidak dapat dibantah sewenang-wenangnya walaupun terdapat kekeliruan. Hakikatnya, ia tidak semudah itu untuk memahami kedudukan sesuatu perkara itu.

Misalnya, kerajaan tidak islamik kerana tidak melaksanakan hukum Islam. Ia adalah benar, tetapi kita tidak seharusnya mengambil keputusan menumbangkan kerajaan. Banyak perkara lain yang perlu difikirkan. Ia memerlukan pemikiran yang tajam dan menyeluruh, bukannya pemikiran lurus bendul untuk terus menghukum.

Secara literal, apa yang mereka dakwa adalah benar.

Dari kelompok yang cetek akal ini akan lahirlah ramai teroris. Pada tahap yang kritikal, atas nama agama, mereka melakukan keganasan seperti membunuh dan mengebom. Bagi mereka itu adalah jihad atas nama agama. Mereka bertindak menghantar pendosa ke neraka dengan membunuh mereka, sedangkan agama membawa seruan dakwah untuk membawa manusia ke syurga.

Dunia yang dilihat mereka adalah hitam putih. Jika ia bukan putih, ia adalah hitam, bagi mereka.

Mereka memahami sesuatu secara literal, zahir dan lurus bendul.

Slogan mereka adalah mudah dan benar. Contohnya, “tiada hukum selain hukum Allah” seperti yang dibawa oleh puak Khawarij. Ia memang benar. Tetapi, untuk menegakkan hukum itu bukanlah semudah yang mereka dakwa. Ia perlukan kebijaksanaan secara keseluruhan, dan bukannya pemikiran yang lurus bendul.

Dalam dunia hari ini, ramai orang yang terperangkap dengan pemikiran sebegini. Apabila mereka melihat pemerintah tidak melaksanakan hukum sebagaimana yang ditetapkan agama, mereka menentang, malah mengkafirkan kerajaan.

Mereka tidak memikirkan apa-apa lagi. Apabila mereka yakin kerajaan tidak melaksanakan hukum Islam, mereka menghakimi bahawa kerajaan perlu digulingkan.

Dalam konteks Malaysia pula, apabila mereka menyakini kerajaan melakukan rasuah, salahlaku atau penyelewengan, tiada kesimpulan lain bagi mereka, melainkan ia perlu dijatuhkan. Mereka tidak merenung kaedah dan akibat-akibatnya.

Dengan premis kerajaan adalah zalim, mereka menyakini pihak mereka adalah pihak yang benar.

Tentulah sukar untuk melawan hujah mereka kerana apa yang dikatakan oleh mereka adalah kelihatan benar. Kerajaan rasuah bertentangan dengan agama. Semua orang tahu itu.

Sebaliknya, mereka tidak merenung realiti kehidupan seharian. Dalam kehidupan nyata, tidak ramai yang berani menegakkan kebenaran apabila mereka bertembung dengan kemungkaran. Misalnya, mencegah perbuatan minum arak.

Kenapa? Kerana ia bukanlah tindakan yang bijak jika kita menghalang orang minum arak. Kita mungkin akan menghadapi risikonya.

Tetapi, dalam dunia hari ini, itulah yang dilakukan oleh ramai orang.

Dalam kelompok yang lebih ekstrem dan besar, kesimpulan yang dibuat oleh mereka adalah mudah. Sebarang kemungkaran perlulah dihapuskan. Maka mereka menyerang dan mengebom kilang arak, pusat hiburan atau kompleks membeli-belah misalnya.

Apabila orang lain masih menyokong kerajaan yang mereka dakwa zalim itu, mereka menganggap orang itu menyokong kezaliman.

Pemikiran mereka terlalu dangkal, sedangkan ia bukanlah semestinya begitu. Bagaimana jika orang yang menyokong itu sekadar mentaati untuk mengelak keadaan lebih buruk apabila menentang pemerintah? Tetapi, semua ini tidak ada dalam pemikiran mereka yang sempit ini.

Apa yang ingin dicapai adalah sebuah negara yang baik, masyarakat yang baik, bukannya menghukum masyarakat yang jahat. Ia perlukan usaha pemulihan. Kalau kita kaji, baginda Nabi Muhammad Saw juga tidak menghukum masyarakat. Beliau cuba memperbaiki masyarakat dengan mengubah iman dan kepercayaan seseorang. Apabila perkara itu berubah, berubahlah masyarakat.

Jika diikutkan pemikiran sebahagian orang hari ini, sudah tentu ramai yang akan dihumban ke neraka.

Apa yang ada dalam fikiran mereka adalah mudah. Bagi mereka pemerintah yang jahat harus digantikan dengan pemerintah yang baik, sedangkan ia bukanlah satu-satunya cara. Begitulah sempit pemikiran sebahagian mereka ini.

Boleh saja ia bertukar kepada usaha untuk membaikkan pemerintah yang jahat, tetapi tidak perlu ditukar.

Kerana keyakinan mereka ini, ketaksuban kepada idea mereka ini, mereka bertindak bodoh. Mereka melakukan apa sahaja cara untuk menumbangkan kerajaan. Bagi mereka, ia tidak salah kerana tugas mereka suci, iaitu menjatuhkan pemerintah yang zalim. Walhal, mereka tidak sedar bahawa tindakan mereka boleh mengundang musibah yang lain.

Contoh mudah keadaan ini boleh dilihat di Malaysia hari ini, bagaimana kerana kebodohan sebahagian rakyat ini menjadikan negara mereka terdedah kepada penguasaan orang-orang bukan Islam. Kebodohan mereka menjadikan mereka buta pada realiti.

Dalam menjatuhkan hukum pun, ia perlu mengambil kira pelbagai sudut. Contohnya, keadaan masyarakat ketika itu. Adakah ketika itu negara dilanda bencana sehingga makanan susah diperolehi, atau bagaimana pula barang itu disimpan,. Kita tidak semudahya memotong tangan si pencuri.

Tetapi, bagi golongan yang lurus bendul ini, mereka tidak akan memikirkannya.

Pecahan golongan ini banyak. Mereka mengambil kesimpulan mudah. Misalnya sistem demokrasi hari ini. Pada pandangan mereka ia bukanlah sistem Islam kerana dalam Islam pemilihan pemimpin melalui sistem syura. Hanya yang layak yang berhak memilih.

Berdasarkan hujah ini, mereka memilih memberontak kerana demokrasi bukan sistem Islam.

Jika berdasarkan hujah ini, wang kertas hari ini juga haram kerana ia bukan sistem Islam. tetapi, mengapa orang Islam tetap menggunakannya? Kerana untuk mengejar kebaikan, ia tidak boleh dilakukan jika ia akan mengundang keburukan.

Seharusnya kita faham, jika sistem wang kertas ini terus diboikot, ia akan menimbulkan huru-hara yang lebih dahsyat daripada keadaan sedia ada.

Perhatikan bagaimana dakwah Nabi Muhammad saw. Beliau tidak terus mengharamkan arak, tetapi menyatakan tidak boleh minum arak sebelum solat kerana ketika itu minum arak sudah menjadi budaya sebahagian masyarakat Arab.

Kalaulah mereka mahu berfikir lebih sedikit, misalnya melihat dari skop yang luas, bagaimana untuk memahami dan menyelesaikan masalah ini.

Kejahatan bukanlah dihapuskan dengan membunuh pelakunya. Ia tidak akan terhapus.  Orang-orang jahat akan selalu muncul. Apa yang harus dilakukan adalah memerangi akar-akar kejahatan itu.

Bagaimanakah mahu menerangkan kepada seseorang yang berkesimpulan kerajaan hari ini perlu ditumbangkan, yang menggunakan hujah bahawa negara ini tidak mengamalkan hukum Islam, dan apa yang dikatakannya itu kelihatan benar, sedangkan begitu sukar untuk menjelaskan bahawa untuk memperbaiki keadaan ini bukan sekadar dengan menentang secara literal, kerana ia akan mendatangkan keburukan-keburukan lain?

Lawan kelompok lurus bendul ini adalah hikmah, iaitu kebijaksanaan. Mereka faham permasalahan mereka. Mereka tahu meletakkan perkara yang hak pada tempatnya.

 

Oleh: AZMAN HUSSIN

Filed in: Azman Hussin, Nasional, Politik, Topik Pilihan

Tiada Komen Lagi

Tinggal Komen