3:24 pm - Saturday April 22, 4417

Pemuda BN ‘kasi’ biru Sandakan

SANDAKAN 15 APRIL 2018. Ketua UMNO Bahagian Sandakan, Tan Sri Ampong Puyon bergambar beramai selepas merasmikan Majlis Pelancaran Briged Gempur Pemuda Barisan Nasional (BN) dan Jentera Pilihanraya, di Sandakan. STR/HAZSHAH ABDUL RAHMAN.

MO, 16/4/2018, SANDAKAN: Pemuda UMNO Sandakan bertekad untuk menggempur habis-habisan kubu pembangkang bagi memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Sandakan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketuanya, Fakarudin Ampong, berkata pergerakan Pemuda UMNO bersama pemuda parti komponen BN yang lain membentuk kerjasama yang kukuh bagi memastikan Parlimen Sandakan yang jatuh ke tangan pembangkang pada pilihan raya lalu dirampas semula BN.

“Kita `kasi’ biru Sandakan. Kita ada pemuda yang boleh menggempur Parlimen Sandakan, tidak kira siapa calon BN di kawasan ini, pemuda akan sokong.

“Kalau sebelum ini kita `score’ 2-1, kali ini kita mahu dapat 3-0,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran Briged Gempur dan Jentera Pilihan Raya Pemuda BN Sandakan, di sini, semalam.

Yang turut hadir ialah Ketua UMNO Sandakan, Tan Sri Ampong Puyon; Ketua Pemuda GERAKAN Sandakan, Chan Tzun Hei dan Ketua Pemuda Parti Liberal Demokratik (LDP) Sabah, Tsang Hieng Yee.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada tahun 2013, kerusi Parlimen Sandakan jatuh ke tangan DAP, manakala dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya iaitu Elopura dan Tanjung Papat, masing-masing dimenangi BN.

Sementara itu, Tzun Hei berkata, kemenangan 3-0 yang disasarkan BN Sandakan adalah untuk masa depan rakyat di kawasan ini, khususnya generasi baharu.

“Perjuangan kita masih jauh lagi. Oleh itu kita minta undi untuk generasi akan datang. Ia adalah untuk ‘pelaburan’ kita lima tahun yang akan datang,” katanya.

Hieng Yee pula berkata, jentera BN akan berjuang habis-habisan untuk merampas semula kerusi Parlimen Sandakan daripada tangan pembangkang.

Sementara itu, Ampong berkata, PRU-14 sangat penting untuk masa depan rakyat Sandakan demi pembangunan yang lebih pesat di kawasan berkenaan.

Filed in: Dari Bumi Kenyalang, Nasional, Negeri Di Bawah Bayu, Politik, Topik Pilihan

Tiada Komen Lagi

Tinggal Komen