Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Datuk Zulkifli Abu Bakar berkata, setakat Oktober 2017, pihaknya telah menahan 102 bot nelayan Vietnam, berbanding 62 dan 65 buah bot bagi tahun 2015 serta 2016.

“Pencerobohan di Pantai Timur bukan hanya melibatkan kawasan di Kelantan, Terengganu dan Pahang tetapi juga di Tanjung Sedili, Johor, manakala bagi perairan Sarawak, kawasan yang terlibat ialah Kuching, Miri dan Bintulu,” katanya.

Zulkifli menambah nelayan asing juga semakin licik dalam aktiviti itu seperti menggunakan pukat tunda gading, bot klon selain ada di antara mereka yang berani menawarkan rasuah kepada pegawai APMM supaya tidak dikenakan tindakan.

“Nelayan asing menggunakan pukat gading yang merupakan ancaman kepada ekosistem laut kerana pukat jenis ini turut menangkap anak ikan selain boleh mencecah dasar laut yang boleh memusnahkan rumah ikan dan terumbu karang. Malah, ada yang menggunakan bot kargo dalam menarik pukat gading dan kegiatan ini memudahkan mereka untuk menyimpan ikan dalam kuantiti yang sangat banyak. Pukat gading juga menyukarkan APMM mengumpul bukti mereka menangkap ikan dalam zon eksklusif ekonomi kita.

“Apabila kita mendapat maklumat pencerobohan penggunaan pukat gading, aset APMM akan ke bot yang disyaki dan apabila menyedari kehadiran penguat kuasa, bot kedua akan memotong pukat gading bagi menghapuskan bukti,” katanya.

Sehubungan itu, Zulkifli berkata, APMM perlu menambah kapal induk yang boleh menempatkan enam bot dan pesawat tanpa pemandu (UAV) ke dalam asetnya, bagi mengekang kegiatan pencerobohan nelayan asing ini, khususnya dari Vietnam yang menggunakan pukat gading. UAV itu boleh merakamkan kegiatan menangkap ikan dari udara manakala dua atau tiga bot boleh dilancarkan serentak daripada kapal induk untuk berpecah ke arah dua bot yang terlibat memasang pukat gading itu, katanya.

Beliau menambah tindakan lebih tegas iaitu membakar kapal nelayan yang dirampas perlu kerap dilakukan sebagai mesej keseriusan kerajaan menangani nelayan asing dan sebagai pengajaran untuk mereka lebih menghormati undang-undang Malaysia.

“Kebanyakan bot yang dirampas hanya ditenggelamkan untuk dijadikan tukun. Dari segi undang-undang, memang ada peruntukan untuk kita melupuskan (bot nelayan) sama ada menenggelamkannya atau membakar selepas proses pendakwaan di mahkamah selesai,” katanya.

Zulkifli juga berharap mahkamah dapat menyegerakan kes yang berkaitan nelayan asing bagi mengelakkan kesesakan di pusat tahanan vesel yang terletak di Tok Bali Kelantan, Kemaman Terengganu, Tanjung Gemok Pahang dan Tanjung Sedili.

“Penangguhan kes yang lama membuatkan bot ini menjadi liabiliti kepada APMM, khususnya apabila musim tengkujuh kerana bot perlu diikat dengan kemas dan dipantau supaya tidak dihanyutkan atau rosak akibat ombak besar,” katanya.