8:49 am - Wednesday April 25, 2018

Pendirian Malaysia di Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia

SIDANG KEMUNCAK KHAS ASEAN AUSTRALIA copyMO, 20/3/2018  – Peranan Australia di Malaysia pada awal tahun 1960an sehingga membawa penubuhan ASEAN bukannya sesuatu yang asing kepada hubungan yang strategik antara kedua buah negara ini. Boleh dikatakan Australia memainkan peranan yang istimewa dan strategik sehingga boleh memastikan kejayaan ASEAN di dalam mengharungi kemelut di awal-awal penubuhan ASEAN dan juga masalah di Indochina yang kemudiannya menyaksikan kemasukan satu persatu negara-negara di kawasan tersebut ke dalam ASEAN.

Penglibatan Australia di dalam konteks kestabilan, hubungan politik, sosial dan ekonomi dengan ASEAN adalah telalu rapat walaupun negara itu tidak berada di dalam kelompok negara-negara pertubuhan ini. Namun oleh kerana kedudukannya yang berkongsi garis sempadan dengan negara ASEAN, membolehkannya memainkan peranan yang aktif di dalam ASEAN ini.

Dan di dalam konteks hari ini, dengan menyedari betapa strategiknya hubungan antara ASEAN dengan Australia, buat julung kali menjadi Canberra menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah kepada para pemimpin ASEAN. Ini menandakan era baru di mana ASEAN dan Australia bersedia untuk memainkan peranan yang semakin penting dan mencabar di dalam hubungan pelbagai hala dan antarabangsa.

Dan yang menarik semasa di dalam Sidang Kemuncak Khas ini Australia mengakui dan mengiktiraf “ASEAN centrality” yang menjadi asas kepada kejayaan ASEAN selama ini. Malahan sebelum Sidang ini berlangsung, Australia telah menyampaikan hajat mereka untuk menjadi ahli baru di dalam ASEAN, suatu langkah yang telah lama mereka pendamkan tetapi kini dinyatakan secara zahir kepada Presiden Indonesia baru-baru ini. Sama ada Australia layak menjadi negara ASEAN atau tidak, itu bukan perkara yang penting masa kini tetapi peranan Australia di dalam ASEAN adalah cukup besar.

Semasa Sidang ini juga Australia telah mengutarakan Kerjasama Infrastruktur ASEAN-Australia yang bertujuan menyalurkan bantuan pembiayaian pihak swasta dan kerajaan di dalam program pembangunan di ASEAN. Mungkin perincian yang lanjut diperlukan kerana ianya melibatkan kos yang besar kerana Australia secara bersendirian sahaja tidak mampu untuk memastikan pelaksanaannya.

Namun yang lebih penting kepada Malaysia semasa Sidang ini ialah penghormatan yang telah diberikan oleh Canberra kepada YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku wakil tunggal ASEAN untuk memberikan ucapan penutup pada Sidang Pencegahan Keganasan ASEAN-Australia. Dan sebelum itu Perdana Menteri telah mengadakan perbincangan dua hala dengan Perdana Menteri Australia selama 30 minit dengan menyentuh isu semasa termasuk hubungan antarabangsa.

Di dalam Sidang ini juga isu Laut China Selatan masih menjadi agenda tetap perbincangan terutama berkaitan dengan Code of Conduct. Perkara ini begitu rumit kerana melibatkan pelbagai pandangan dan kepentingan oleh setiap negara yang terlibat secara langsung di dalam isu tuntutan bertindih di Laut China Selatan. Namun apa yang paling ketara ialah keterbukaan YAB Perdana Menteri membangkitkan isu pelarian Rohingya di depan Aung San Suu Kyi kerana tindakan Myanmar di dalam perkara ini akan membuka peluang kepada kegiatan ekstremisme di rantau ini. Sependapat dengan pendirian Malaysia ini, semasa di akhir Sidang ini, Perdana Menteri Australia dan Singapura selaku Pengerusi ASEAN kali ini memohon agar Kerajaan Myanmar memberikan kelonggaran kepada kemasukan bantuan kemanusiaan dari ASEAN dan juga Australia kepada para pelarian tersebut.

Mengakhiri lawatan ke Australia ini, YAB Perdana Menteri menyatakan hubungan dua hala Malaysia dengan Australia telah bergerak dengan begitu rapat dan strategik sekali berbanding dengan di zaman-zaman sebelum ini. Malahan hubungan perdagangan dua hala telah melonjak sebanyak 23.7% berbanding pada tahun 2016 dengan nilainya sebanyak RM54 bilion pada tahun 2017. Malaysia merupakan rakan dagangan ke-9 terbesar untuk Australia manakala Australia pula merupakan rakan dagangan ke-12 terbesar untuk Malaysia.

Melihat kepada lawatan ini beserta dengan kejayaan Malaysia mengutarakan isu bersama semasa Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia ini sekali lagi menyerlahkan kejayaan pimpinan negara di dalam menjuarai isu-isu serantau dan antarabangsa. Kedudukan Malaysia semasa Sidang ini telah meneruskan legasi kejayaan Malaysia di dalam mewarnai isu di dalam ASEAN.

 

 

 

 

 

 

 

 

Filed in: Luar Negara, Nasional, Topik Pilihan

Tiada Komen Lagi

Tinggal Komen