1:48 am - Tuesday August 22, 2017

PENGUASA ZALIM, MASYARAKAT ZALIM DALAM HIKAYAT 1001 MALAM

70125aac-25e1-44c5-8a5d-eb0f1fe4db48MO, 11/8/2017 – PERSOALAN pemerintah dan rakyat adalah persoalan yang rumit sepanjang zaman.

Begitu ramai orang yang mendakwa ditindas oleh pemerintah mengambil pendirian memberontak dan menentang pemerintah, tetapi hasil yang mereka dapatkan adalah kerosakan yang lebih besar.

Dalam minda kebanyakan rakyat, tindakan yang perlu dilakukan apabila menghadapi pemerintah zalim adalah dengan bangun melawan dan menjatuhkan pemerintah tersebut dengan apa cara sekalipun.

Ia kelihatan logik hujahnya: kejahatan harus dijatuhkan.

Mengambil kesimpulan mudah sebegitu adalah pilihan ramai orang, walhal ia bukanlah satu-satunya cara.

Tanpa memahami akar-umbi permasalahan sebenar, sesuatu masalah itu tidak akan dapat diselesaikan. Ia hanya akan menimbulkan masalah demi masalah yang lain dalam masyarakat. Tidak ada ubat kepada penyakit yang tidak diketahui. Bagaimana mahu mengubati jika tidak diketahui apa penyakitnya? Jika diubat tanpa diketahui penyakitnya, ia tidak akan menyembuhkan, malah memburukkan lagi keadaan.

Ada baiknya kita menyemak sebuah kisah daripada hikayat 1001 malam. Ia mungkin boleh menerangkan fikiran kita berkenaan hal ini.

Syarazad bercerita kepada Raja Syahrayar, yang akan saya tuliskan semula seperti di bawah ini:

Seorang haji telah tersesat semasa dalam perjalanan pulang dari Mekah di sebuah padang pasir.

Dalam kebingungan itu, ditambah rasa haus dan lapar, dia menemui sebuah kemah tempat tinggal seorang perempuan pertapa tua yang jauh daripada petempatan awam.

Apabila dia meminta makanan, perempuan tua itu menyuruhnya menangkap ular liar untuk dipanggang. Kerana tiada pilihan lain, dia melakukannya. Mata air sumber minuman di kawasan itu juga masin.

Ketika menanyakan perkara ini, bagaimana perempuan tua itu boleh bertahan dengan hidup begitu, memakan ular liar dan meminum air masin, perempuan tua itu bertanya kepadanya berkenaan negerinya.

Si Haji itu menjawab bahawa di negerinya makmur, terdapat rumah-rumah yang mewah, makanan yang lazat, air yang jernih, daging yang empuk, termasuk gadis-gadis yang cantik. Segalanya amat baik.

Kemudian si perempuan pertapa ini bertanya lagi: “Sekarang katakan padaku apakah ada penguasa di antara kalian yang berbuat zalim sehingga kalian menderita? Dan jika kalian berbuat salah, maka mereka menerima wang kalian untuk membebaskan kalian (rasuah)? Dan jika mereka mahu, adakah mereka mengusir dan membantai kalian?”

Si haji yang sesat itu menjawab perkara seperti itu terjadi juga di negerinya.

Lantas perempuan itu berkata: “jika begitu, demi Allah, kehidupan nyaman dan kenikmatan yang bergaul dengan kezaliman itu akan menjadi racun yang mematikan. Jauh lebih baik tinggal di sini dengan makanan dan minuman seperti ini sebagai tindakan pencegahan yang bermanfaat.”

Si haji tersebut menjawab dengan panjang-lebar, “Tidak pernahkah engkau mendengar nikmat yang paling besar setelah keIslaman, kesihatan dan keamanan  adalah keadilan penguasa sebagai khalifah di muka bumi ini?  Memang para penguasa zaman dulu hanya memiliki hasrat yang sedikit, yakni sekadar mahu ditakuti rakyatnya, sedangkan penguasa zaman sekarang memiliki hasrat yang pelbagai, kerana zaman sekarang tidak sama seperti zaman dahulu. Zaman ini adalah zaman orang-orang berperangai buruk, bermulut jahat, bodoh dan keras kepala, juga sentiasa membenci dan bermusuhan.”

Si haji menambah lagi: “Jika penguasa adalah lemah dan tidak memiliki kemampuan tatanegara yang cukup, sudah pasti ia akan mengakibatkan kehancuran negara. Peribahasa menyatakan seratus tahun kezaliman penguasa lebih baik daripada setahun kezaliman antara sesama rakyat tanpa penguasa (anarki). Lagi pula apabila rakyat berbuat zalim maka Allah SWT akan membuat mereka ditindas oleh penguasa zalim dan raja yang sewenang-wenangnya.”

Si haji mengakhiri kata-katanya: “Sejarah mencatat bahawa al-Hajjaj Ibnu Yusuf yang zalim mendapat sebuah surat yang mengecam dirinya. Surat itu berbunyi: Bertakwalah kepada Allah dan jangan berbuat zalim terhadap hamba Allah. Selesai membaca surat itu, beliau menaiki mimbar dan berpidato: “Wahai rakyat, Allah telah membuatku berkuasa atas kalian kerana perbuatan kalian. Jika aku mati sekalipun, kalian tetap akan akan dizalimi selama kalian masih berbuat perkara buruk. Sebab, Allah Swt menciptakan orang seperti aku tidak hanya seorang, melainkan ramai. Jika bukan aku, maka orang lain yang jauh lebih zalim akan memimpin kalian.”

Apakah yang anda dapat pelajari daripada petikan salah satu babak cerita 1001 malam ini?

Untuk menyelesaikan sesuatu masalah adalah dengan mengenali masalah tersebut terlebih dahulu.

Dalam hal kezaliman pemerintah, kita sepatutnya memahami kenapa wujudnya penguasa yang zalim. Selain ia adalah cerminan masyarakat yang juga buruk, ia juga adalah suatu bentuk hukuman ke atas masyarakat yang berbuat kemungkaran sehingga Allah SWT mendatangkan pemimpin yang zalim ke atas mereka.

Jika penguasa zalim itu ditumbangkan, tanpa menghapuskan punca-punca mengapa kezaliman itu muncul, ia tidak dapat menyelesaikan masalah kerana akan muncul penguasa zalim yang lain pula menggantikannya. Ia akan berterusan selagi puncanya tidak diatasi.

Ringkasnya, penguasa yang zalim muncul dari masyarakat yang zalim. Untuk memperbaiki masalah ini, kita harus kembali dalam masyarakat untuk memperbetulkan masyarakat, kembali kepada diri kita, memperbetulkan diri kita.

Dan seburuk-buruk pemerintah zalim, itu adalah lebih baik daripada suasana anarki yang timbul hasil dari pemberontakan rakyat.

Ironinya, penguasa yang zalim dan diktator di tengah-tengah masyarakat yang bobrok sebenarnya dapat menahan huru-hara daripada berlaku. Kesan anarki lebih buruk daripada diperintah oleh seorang penguasa zalim, kerana dalam keadaan anarki setiap rakyat tidak lagi dikekang oleh sebarang peraturan. Dalam suasana anarki, setiap rakyat cenderung berbuat kejahatan kerana tiada lagi undang-undang. Ia akan berbalik kepada hukum rimba yang kejam.

Bayangkan jika di tengah-tengah masyarakat yang rosak, penguasanya pula adalah lemah dan baik (bukan diktator seperti al-Hajjaj), ia pasti akan ditumbangkan oleh masyarakat yang buruk tadi sehingga ia mencampakkan seluruh rakyat ke dalam huru-hara perbalahan.

Dan keadaan ini adalah lebih buruk daripada diperintah oleh penguasa yang zalim.

Bukanlah saya bermaksud mahu membela kezaliman. Tetapi untuk menghapuskan kezaliman dan mencapai keadilan, kita hendaklah mengenal masalah sebenar. Kenapa kita didatangkan penguasa yang zalim haruslah dikenali terlebih dahulu.

Seperti yang disebutkan tadi, ia bermula daripada masyarakat, daripada individu. Maka kezaliman harus dihapuskan bermula daripada individu, kemudian masyarakat dan berakhir dengan negara. Masyarakat yang baik akan melahirkan penguasa yang baik kerana setiap penguasa itu lahir daripada kalangan masyarakat itu sendiri.

Dalam keadaan masyarakat berbuat kemungkaran, jika didatangkan penguasa yang adil sekalipun, ia pasti akan ditumbangkan oleh masyarakat yang tak beradab tadi.

Dan jika hanya menjatuhkan individu yang zalim, sebaliknya tidak menghapuskan sistem yang melahirkan individu zalim itu, ia tidak akan mencapai maksud keadilan. Sistem (dalam konteks ini dimaksudkan dengan masyarakat) perlulah diperbetulkan terlebih dahulu.

Dalam penerangan yang mudah, penguasa zalim itu adalah suatu hukuman kepada masyarakat yang berbuat kemungkaran, dan masyarakat yang dipenuhi kemungkaran akan melahirkan penguasa yang zalim. Ia sebenarnya saling berkait.

Maka, menjatuhkan penguasa yang zalim itu tidak dapat menyelesaikan masalah selagi masyarakat itu sendiri berbuat kemungkaran. Tanda masyarakat yang melakukan kemungkaran itu pula adalah wujudnya penguasa zalim yang memimpin mereka.

 

Oleh: AZMAN HUSSIN

Filed in: Azman Hussin, Topik Pilihan

Tiada Komen Lagi

Tinggal Komen