1:47 pm - Saturday November 25, 2017

Perintah berkurung dilanjutkan di ESSZONE

ESSZONE14.transformedMO, 14/11/2017, KOTA KINABALU – Perintah berkurung fasa ke-76 di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) yang berakhir hari ini, dilanjutkan dua minggu lagi bagi fasa ke-77.

Tempoh perintah berkurung fasa baharu itu dikuatkuasakan dari jam 6 petang hingga 6 pagi, hingga 30 November ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din, berkata peraturan itu dikuatkuasakan di perairan bermula tiga batu nautika dari pantai di tujuh daerah iaitu Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Berikutan itu, beliau mengingatkan orang ramai di daerah terbabit supaya tidak berada di lokasi yang diisytiharkan sebagai kawasan perintah berkurung.

“Keperluan meneruskan perintah berkurung di perairan terbabit bagi memastikan ia tidak diceroboh oleh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa, selain pelancong di pulau peranginan daripada menjadi mangsa penculikan kumpulan pengganas dari selatan Filipina.

“Ini kerana maklumat mendedahkan kumpulan yang menjalankan kegiatan penculikan bagi mendapatkan wang tebusan (KFR) dan kumpulan Abu Sayyaf masih cuba menceroboh untuk melakukan penculikan dan lain-lain jenayah rentas sempadan.

“Kita juga mahu menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah, yang menjadi pengguna perairan dan berada di daratan di kawasan ESSZONE,” katanya menerusi kenyataan, di sini, sebentar tadi.

Ramli berkata, pelaksanaan perintah berkurung juga memudahkan penguatkuasaan, pemantauan terhadap pergerakan bot dan menimbulkan rasa selamat, yakin kepada pengusaha chalet serta aktiviti perikanan dengan kehadiran kapal pasukan keselamatan.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua ketua polis daerah berkenaan untuk mengeluarkan permit kepada mana-mana pemohon yang memenuhi syarat untuk aktiviti perikanan atau laluan melalui kawasan perintah berkurung yang mendesak,” katanya.

 

-Berita Harian

Filed in: Nasional, Negeri Di Bawah Bayu, Topik Pilihan

Tiada Komen Lagi

Tinggal Komen