9:34 pm - Wednesday February 21, 2018

POLITIK MALAYSIA DALAM PERHITUNGAN LOGIK

POLITIK MALAYSIA LOGIK copyMO, 8/2/2018 – MEMILIH parti politik dalam PRU14 juga sebenarnya rumit. Tersilap memilih boleh membawa penyesalan di kemudian hari.

Apakah keutamaan anda dalam pemilihan ini?

Individu-individu yang menguasai dan mengetuai parti atau dasar-dasar parti itu yang menjadi pilihan anda?

Anda mungkin akan bertemu dengan dilema. Dari satu sudut, dasar-dasar parti tersebut sudah elok, tetapi individu-individu yang memimpinnya bertindak sebaliknya bagi anda.

Misalnya, ambil contoh pandangan anda sendiri. Anda mendakwa Presiden dan pemimpin-pemimpin UMNO dan BN yang lain korup, walaupun parti UMNO itu pada dasarnya elok untuk orang-orang Melayu dan Islam.

Maka, tidak logik jika anda Melayu dan anda menentang UMNO kerana apa yang menjadi dasar-dasar UMNO adalah perjuangan untuk orang-orang Melayu dan Islam.

Anda mendakwa anda menentang UMNO kerana Presiden dan pemimpin-pemimpin UMNO yang lain tidak menjalankan tugas dengan betul, bahkan menyeleweng. Anda pun menunjukkan contoh-contoh sebagaimana dakwaan pembangkang.

Kalau dakwaan anda itu betul, adakah rasional dan logik alasan anda menentang UMNO itu?

Mari kita tengok pula Pakatan Harapan. Apakah halatuju dan dasar-dasar Pakatan Harapan yang disertai DAP, PKR, PPBM dan PAN?

Anda akan nampak imej pemikiran sekular, liberal, plural di dalam Pakatan Harapan ini. Bahkan para penyokong atau tokoh yang terkait menyokong Pakatan Harapan juga ramai daripada kalangan atheist, LGBT, dan penentang agama Islam. Ini jelas dan bukan dakwaan lagi. Puak-puak ini bersekongkol dengan pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan kerana kerajaan hari ini masih mempertahankan agama Islam dan orang-orang Melayu walaupun anda mendakwa mereka korup.

Anda boleh melihat pemimpin-pemimpin DAP menyerang hak-hak orang Melayu dan Islam. Tindakan ini pula tidak dikritik oleh pembangkang melayu yang lain, bahkan mereka yang merasionalkan tindakan DAP itu atas kepentingan politik.

Tetapi, anda akan berkata, Barisan Nasional terlalu korup, mencuri wang rakyat dan menggadai negara.

Saya boleh menjawab kepada anda, jika sekadar mengikut andaian, Pakatan Harapan juga terlibat dengan dakwaan-dakwaan negatif seperti ini, walaupun mereka hanya memerintah di Pulau Pinang dan Selangor. Tetapi, saya tidak akan menjawab sebegitu.

Apabila saya menjawab begitu, anda dan saya akan berdebat perkara itu dengan pandangan masing-masing, sedangkan kita tidak pasti di mana kebenarannya. Ia tidak dapat dibuktikan sekali pun anda mendakwa terdapat bukti-bukti.

Lebih baik kita lihat dari sudut yang lain pula. Walaupun anda tahu Pakatan Harapan dikuasai oleh orang-orang bukan Islam yang bertentangan dengan orang-orang Islam, sebagaimana yang telah saya sebutkan tadi, anda mendakwa mereka bersih dan akan memerintah dengan adil.

Segala janji yang ditawarkan oleh mereka kelihatan baik untuk urusan keduniaan anda. Kononnya GST akan dihapuskan, harga-harga barang akan diturunkan dan pelbagai perkara yang percuma lagi seperti yang anda imaginasikan.

Hakikatnya perkara-perkara itu tidaklah dijanjikan secara hitam-putih. Ia hanya sangkaan baik anda. Apabila pembangkang membangkitkan GST atau harga barang-barang mahal, sudah tentulah anda fikir pembangkang akan bertindak sebaliknya, iaitu memansuhkan GST atau menurunkan harga barang-barang.

Anda tidak terfikir bagaimana jika semua ini hanya khayalan, dan apabila mereka memerintah, keadaannya sama seperti apa yang berlaku di Selangor dan Pulau Pinang hari ini.

Cuba fikirkan, bagaimana pula anda jika diperintah oleh pakatan parti yang tidak lagi mengutamakan hak-hak orang-orang Melayu dan Islam?

Apakah keadaan itu baik untuk anda? Keadilan adalah menurut kacamata mereka. bukan lagi menurut kacamata Islam. Sebagai contoh, keadilan bagi mereka adalah orang Melayu bebas keluar Islam kerana ia adalah hak asasi manusia.

Dahulu Barisan Nasional mengutamakan orang-orang Melayu sehingga ia ditentang oleh orang-orang bukan Melayu. Walaupun anda mendakwa ia menyeleweng daripada tujuan asal, prinsip mereka masih lagi mengutamakan orang-orang Melayu.

Anda mungkin mempersoalkan pandangan ini dengan menyatakan dasar-dasar pro-Melayu itu hanyalah di atas kertas dan tidak dilaksanakan oleh kerajaan hari ini.

Baiklah, kalau begitu, bagaimana pula anda mahu mengharapkan pakatan parti yang langsung tidak bercakap tegas berkenaan hak-hak anda sebagai orang-orang Melayu dan Islam? Sudah tentu mereka tidak akan melayan status anda sebagai orang Melayu.

Lalu bagaimana pula anda jika semua itu sudah tiada lagi atas nama sama rata dan sama taraf, Malaysian Malaysia? Ia tidak ada masalah jika anda adalah tetamu atau pendatang di negara ini. Sebaliknya ia adalah situasi tidak masuk akal apabila hak-hak tuan rumah mahu disamaratakan dengan tetamu.

Logiknya, seburuk-buruk manapun pemimpin-pemimpin parti yang dasar-dasarnya baik untuk agama, bangsa dan negara anda, ia lebih layak dikekalkan. Yang perlu dilakukan adalah memperbaikinya. Itulah pilihan yang ada.

Apatah lagi jika dasar-dasar pakatan parti lawan pula tidak memihak kepada agama, bangsa dan negara anda walaupun mereka menjanjikan keadilan dan kebaikan.

DAP memperjuangkan Malaysian Malaysia. PKR dan PAN diterajui oleh Melayu-Melayu sekular dan liberal yang bercampur-aduk dengan LGBT, seks bebas dan atheist. PPBM pula adalah Melayu yang mengalami krisis identiti. Tiada siapa yang dapat menafikan fakta ini.

Dasar-dasar parti pembangkang ini sudah jelas tidak memihak kepada anda sebagai orang Melayu dan Islam. Kalaupun ada dalam kalangan pakatan parti pembangkang ini yang bersemangat Melayu, mereka bukanlah parti yang dominan dalam pakatan tersebut.

Jadi, adakah anda masih mahu menaruh harapan kepada mereka?

Jika anda masih berkeras memilih pembangkang, sedangkan sudah jelas duduk perkaranya, anda sebenarnya dalam keadaan menggadaikan agama, bangsa dan tanahair anda untuk tawaran keduniaan yang tidak pasti, yang sedang dipropagandakan oleh pembangkang. Kerana sedikit kesusahan, yang sebenarnya suatu persepsi ciptaan pembangkang, anda sudah mahu menjual agama, bangsa dan tanahair anda.

Tindakan anda, dalam sudut yang lain, lebih kepada emosi dan kecetekan berfikir semata-mata kerana tidak dapat membezakan baik dan buruknya sesuatu keadaan.

Adakah anda menggunakan kaedah-kaedah berfikir yang betul untuk mendapatkan kesimpulan yang betul dengan cara anda memilih Pakatan Harapan itu?

Mungkin anda akan mempersoalkan saya, mengikut pandangan dan persepsi anda, “jadi adakah kerajaan hari ini harus dibiarkan bermaharajalela sesuka hati?”

Saya boleh menjawab kepada anda, kezaliman yang anda rasakan itu hanyalah suatu persepsi, ilusi dan ketakutan yang dipropagandakan pembangkang semata-mata. Jika kerajaan hari ini zalim, ukuran ini akan membawa kepada kesimpulan bahawa semua kerajaan di dunia hari ini adalah zalim. Hujah saya, semua negara maju mempunyai sistem cukai seperti GST dan semua negara di dunia ini barang-barangnya tiada yang turun harganya. Apa lagi? Semua yang berlaku di Malaysia berlaku juga di negara lain.

Tetapi, saya tidak akan menjawab begitu, saya hanya akan berkata, “keadaan itu (keadaan dizalimi seperti khayalan anda) adalah lebih baik daripada anda menggadaikan agama, bangsa dan negara anda kepada orang-orang bukan Islam hanya kerana merasakan kesempitan hidup anda disebabkan oleh kerajaan sedia ada.”

Cubalah berfikir sebelum membuat pilihan.

 

 

Filed in: Azman Hussin, Nasional, Politik, Topik Pilihan

Tiada Komen Lagi

Tinggal Komen