3:13 pm - Wednesday December 16, 1959

Program subsidi mamogram, vaksin HPV tidak akan dihentikan

KUALA LUMPUR 20 NOVEMBER 2017. Deputy Minister of Women, Family and Community Development, Datuk Azizah Mohd Dun speaks during launch of Swedish Dad Photo Exhibition at National Art Gallery,Kuala Lumpur. NSTP/NURUL SHAFINA JEMENON

MO, 27/11/2017, KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan menghentikan program subsidi ujian mamogram dan vaksinasi HPV yang masing-masing dilaksanakan sejak 2007 dan 2012 walaupun tiada peruntukan khusus dinyatakan dalam Bajet 2018.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun, berkata kementeriannya akan meneruskan program yang amat penting untuk pembangunan kesihatan wanita sama ada menerusi peruntukan kementerian itu atau memohon peruntukan baharu daripada Kementerian Kewangan atau menerusi Kementerian Kesihatan.

Beliau berkata, dianggarkan 80 peratus penerima manfaat program subsidi mamogram dan vaksin HPV yang dijalankan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) adalah dalam kalangan golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

Katanya, program subsidi mamogram berjalan sejak 2007 dan sehingga tahun ini, jumlah yang sudah dibelanjakan adalah RM98.8 juta membabitkan 329,349 wanita.

“Walaupun tidak ada peruntukan khusus dalam Bajet 2018, disebabkan program ini penting, kita akan memohon lagi pada kementerian ini dan Kementerian Kewangan.

“Kebiasaannya kerajaan Barisan Nasional (BN) amat prihatin kepada rakyat khususnya kepada wanita, kita akan dapatkan peruntukan dan akan teruskan program ini, kalau tidak pun, di Kementerian Kesihatan ada peruntukan,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Sim Chee Keong (DAP-Bukit Mertajam) yang mempertikaikan tindakan kerajaan tidak menyediakan peruntukan untuk program subsidi mamogram dan vaksinasi HPV bagi mencegah virus papiloma manusia yang menjadi punca barah pangkal rahim (kanser serviks) pada Bajet 2018.

Menjawab soalan asal Chee Keong, Azizah berkata sehingga kini jumlah perbelanjaan bagi program subsidi mamogram adalah lebih RM41 juta yang memberi manfaat kepada 225,828 wanita bagi tempoh 2013 hingga 2017.

Daripada jumlah itu, katanya seramai 24,544 kes dikategorikan siasatan lanjut yang memerlukan pemeriksaan susulan.

Sarawak menjadi negeri paling ramai wanita menerima manfaat iaitu 40,173 orang diikuti Wilayah Persekutuan (39,463), Pulau Pinang (24,820), Selangor (23,608), Perak (18,315), Kedah (17,869), Negeri Sembilan (15,314), Pahang (13,898), Johor (11,682), Sabah (10,061), Melaka (8,759) dan Terengganu (1,866).

Beliau berkata, bagi tempoh Januari 2013 hingga Oktober lalu, seramai 265,830 wanita menerima vaksinasi HPV menerusi program kementerian.

Penerima manfaat paling ramai adalah dari Selangor membabitkan 32,392 orang, Perak (28,123), Johor (27,882), Sarawak (21,948), Melaka (21,416), Negeri Sembilan (19,639), Kedah (18,813), Wilayah Persekutuan (18,347), Sabah (18,040), Pulau Pinang (16,559), Pahang (15,296), Terengganu (14,621), Kelantan (6,432) dan Perlis (6,322).

“Setakat ini perbelanjaan vaksinasi HPV membabitkan kos RM42,638,870.32,” katanya.

 

-Berita Harian

Filed in: Kesihatan, Nasional, Topik Pilihan

Tiada Komen Lagi

Tinggal Komen