8:46 am - Wednesday April 25, 2018

PRU-14: PAS umum calon Khamis

16paskidl.transformedMO, 16/4/2018, KUALA TERENGGANU: PAS akan mengumumkan calonnya yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Khamis ini.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Satiful Bahri Mamat, berkata pengumuman itu akan dibuat Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Rusila, Marang.

“Pada malam itu presiden akan mengumumkan calon yang akan bertanding bagi kerusi DUN dan Parlimen seluruh negara,” katanya pada sidang media khas PAS Terengganu di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak menjawab soalan mengenai kemungkinan PAS mengemukakan ramai muka baharu dalam PRU-14.

“Kita tunggulah nanti pengumuman presiden pada Khamis ini,” katanya.

Sementara itu, Satiful berkata, PAS Terengganu akan mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas naib presiden parti itu, Datuk Mahfuz Omar yang kini menyertai Parti Amanah Negara (PAN) berhubung dakwaan PAS negeri itu menerima sejumlah wang daripada UMNO.

Katanya, tindakan undang-undang itu akan diambil sejurus selesai PRU-14.

Beliau berkata, pihaknya terpaksa menangguhkan sementara perkara itu bagi memberi laluan dan tumpuan sepenuhnya terhadap persediaan parti menghadapi PRU-14.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka berkata, Pas Terengganu menyerahkan urusan itu kepada peguam yang juga Ketua Lajnah Guaman dan Hak Asasi Manusia Negeri Terengganu, Mohd Zabidi Yusof untuk tindakan selanjutnya.

Pada 7 April lalu, Mahfuz dilaporkan mendakwa tiga pemimpin Pas Terengganu, Satiful Bahri serta Bendahari Pas negeri, M Shukrimun Shamsudin dan Setiausaha Pas negeri, Muhyidin Abdul Rashid menerima wang daripada pemimpin UMNO.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu mendakwa wang berjumlah RM1 juta dimasukkan ke akaun khas yang dinamakan Akaun Amanah pada 21 Mac lalu dan RM1.5 juta lagi didepositkan ke akaun Jabatan Pembangunan PAS (JPP) atau Jabatan Pilihan Raya Pas Pusat.

Filed in: Nasional, Politik, Topik Pilihan

Tiada Komen Lagi

Tinggal Komen