8:44 am - Wednesday April 25, 2018

Rakyat sokong parti, bukan ikut pemimpin masuk pembangkang

WhatsApp_Image_2018-04-16_at_13.23.58.jpeg.transformedMO, 16/4/2018, KOTA KINABALU: Penyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak mungkin membuat pilihan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) hanya berdasarkan mana-mana pemimpin yang meninggalkan parti dan menyertai pembangkang.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata di sebalik ada pemimpin menyertai pembangkang, ia sebenarnya tidak menjejaskan peluang BN untuk menang pada PRU-14 kerana pada akhirnya rakyat memilih berdasarkan parti yang mampu berkhidmat kepada mereka.

“Memang ada segelintir bekas ahli UMNO dalam WARISAN (Parti Warisan Sabah), namun saya tidak fikir itu bermakna orang yang menyokong mereka sebelum ini akan terus mengundi ahli individu yang keluar (BN) untuk sertai WARISAN,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan program pelancaran buku mengenai sejarah Sabah ditulis oleh George Jessel.

George adalah cicit kepada Sir Charles James Jessel, iaitu Naib Pengerusi British North Borneo Company (BNBC) antara tahun 1903 hingga 1909.

Mengulas lanjut, Masidi yang juga Ketua UMNO Bahagian Ranau, berkata beliau yakin BN masih berpeluang menang pada PRU-14.

Katanya, pengundi berhak mengundi sesiapa sahaja yang mereka pilih, namun yakin rakyat negeri ini cukup matang untuk mengetahui siapa yang perlu diundi.

Sebelum ini, pembangkang khususnya WARISAN mendakwa ramai bekas pemimpin serta ahli UMNO dan parti komponen BN, terutama di peringkat bahagian menyertai mereka menjelang PRU-14.

Filed in: Nasional, Topik Pilihan

Tiada Komen Lagi

Tinggal Komen