8:56 am - Wednesday April 25, 2018

Rakyat tentukan manifesto terbaik

KEPALA BATAS 17 APRIL 2018. Ahli Majlis, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Musa Sheikh Fadzir (kiri) menyampaikan sijil kepada pelajar kursus Spa, Aminah Shariff, 60,  dalam majlis Graduasu Giatmara 2018 di Dewan Seri Endon, Jabatan Audit Negara, Kepala Batas, Pulau Pinang. STR/AMIR IRSYAD OMAR

MO, 17/4/2018, KEPALA BATAS: Rakyat Pulau Pinang yang akan menentukan manifesto parti mana yang lebih baik untuk masa depan mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir, berkata manifesto Barisan Nasional (BN) yang dilancarkan Ahad lalu bukan diciplak seperti dakwaan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Katanya, setiap parti mempunyai manifesto tersendiri untuk memahami denyut nadi rakyat bagi membantu meningkatkan taraf hidup yang diimpikan.

“Manifesto BN yang dihasilkan itu adalah hasil kajian melalui rungutan yang sentiasa diutarakan rakyat negeri ini khususnya isu banjir dan masalah meletak kenderaan.

“Jadi, kita sebagai pembangkang di negeri ini cuba untuk menyelesaikan masalah terbabit sekiranya diberi mandat dan untuk menarik kepercayaan rakyat sudah tentu perlu membuat manifesto sebagai aku janji, bukan ciplak seperti yang diperkatakan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Graduasi GiatMara di sini, hari ini.

Musa berkata, rakyat diberi pilihan untuk menentukan manifesto mana yang lebih baik dan diterjemahkan dengan membuat keputusan penentuan pada 9 Mei ini.

“Kita lihat manifesto mana yang rakyat akan pilih sama ada dari BN atau pakatan lawan tanpa tidak lagi mendengar suara dari mana-mana parti dengan mengatakan ia diciplak atau tidak,” katanya.

Pada Ahad lalu, BN negeri melancarkan manifesto yang mengangkat tema ‘Selamatkan Pulau Pinang: Janji-janji BN Pulau Pinang’ dengan mengandungi 60 tawaran membabitkan enam teras utama bagi membantu menyelesaikan permasalahan rakyat.

Enam teras utama yag diberi penekanan adalah penyelesaian masalah banjir dan penggondolan bukit dalam tempoh tiga tahun, menyelesaikan masalah perumahan rakyat dalam tempoh lima tahun, menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas dalam tempoh tiga tahun, pembangunan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan pelancongan warisan.

Sementara itu, Musa berkata, rakyat juga dinasihatkan tidak terpedaya dengan sikap hipokrit Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad yang hanya mempunyai agenda peribadi apabila menawarkan diri untuk bertanding pada PRU-14.

“Niat beliau dari dahulu hingga sekarang hanya bermotifkan dendam dan mahu menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bukannya untuk membela serta membantu rakyat.

“Kemarahannya terhadap Najib itu sudah lama jelas sebelum beliau mengundur diri dan masuk ke dalam pakatan pembangkang lagi,” katanya.

Filed in: Ekonomi, Nasional, Politik, Topik Pilihan

Tiada Komen Lagi

Tinggal Komen