7:30 pm - Monday October 23, 2017

REALITI NEGARA : FAKTA DAN MITOS

WhatsApp Image 2017-09-29 at 15.18.08Oleh: AZMAN HUSSIN

 

SEBALIKNYA, bertentangan dengan apa yang selalu digambarkan oleh ramai orang bahawa rakyat menderita, negara ini sebenarnya makmur dan mewah. Negara sebenarnya sedang mengalami fasa-fasa kemakmuran dan kemewahan berbanding sebelumnya. Jika ia adalah tanah, ia tanah yang subur. Taburlah benih apapun, akan tumbuh.

Memang ada kemiskinan, tetapi situasi ini wujud di seluruh dunia. Wujudkah negara yang tiada orang miskin dan susah di dalamnya?

Ya, tidak ada.

Adakah kerana terdapatnya orang-orang miskin,  pemerintah sesebuah negara itu perlu ditukar, sedangkan kemiskinan memang tidak dapat dihapuskan sejak zaman berzaman, bahkan di negara-negara maju sekali pun terdapat golongan miskin yang hidup merempat?

Tidak ada kekayaan jika tidak ada kemiskinan. Ukuran kekayaan adalah wujudnya kemiskinan. Begitu sebaliknya. Untuk menyamakan semua taraf ekonomi manusia, ia adalah idea utopia yang tidak masuk akal. Di syurga dan neraka pun ada tingkat-tingkatnya. Untuk memuaskan semua kehendak manusia juga adalah tidak mungkin.

Apakah masalahnya dengan negara ini sebenarnya, sehingga adanya hasutan dan usaha-usaha mahu menukar kerajaan? Adakah ia suatu yang realistik atau hanya lamunan perasaan?

Bahkan peluang untuk menjadi kaya adalah terbuka kepada sesiapa sahaja di negara ini. Tidak ada sesiapa pun yang dihalang untuk membina kekayaan.

Apa masalah kita sebenarnya?

Keadaan ini sebenarnya ironik. Apa yang digambarkan susah, bertentangan dengan realiti sebenar. Kehidupan majoriti daripada kita hari ini tidaklah sesusah seperti yang digambarkan oleh pihak-pihak yang menentang kerajaan. Ia adalah persepsi yang dicetuskan untuk menjatuhkan kerajaan semata-mata sehingga ramai yang keliru dan terpedaya.

Hakikatnya, kemewahan dan kesenangan sebahagian besar yang kita alami hari ini telah membuat kita berfikir sebaliknya.

Ironinya, perkara yang sebaliknya telah berlaku. Kebanyakan kita hidup bermewahan dan melampaui batas apa yang kita mampu. Kita menjadi tuan kepada orang lain. Warga asing daripada luar seperti Indonesia, Nepal, Filipina, Myanmar, Thailand  adalah hamba kepada kita dalam pekerjaan buruh, tukang masak, pengawal keselamatan, tukang cuci dan sebagainya. Kebanyakan pekerjaan kita diuruskan oleh mereka.

Apa yang diberitahu oleh ahli-ahli politik kepada kita adalah sebaliknya. Mereka memberitahu rakyat bahawa rakyat hidup ditindas dan dizalimi. Ia hanyalah hasutan dan adu-domba.

Jika kita berfikir, pergolakan politik hari ini adalah kerana kita terlalu banyak masa dan hidup senang-lenang. Kita tidak disibukkan oleh perjuangan untuk memenuhi keperluan hidup. Kita telah berada dalam fasa kehidupan yang mewah dan makmur.

Kemakmuran dan kemewahan membuat kita semakin tamak dan tidak mencukupi.

Dalam bahasa yang mudah, kerana kekayaan dan kemewahan gaya hidup sebahagian besar daripada rakyat telah membuat mereka tidak menghargai apa yang ada. Ia adalah buruk manusia. Jiwa manusia memang penuh keluh-kesah. Sebagaimana tamadun-tamadun terkenal dalam sejarah silam, bukan kesusahan atau kemiskinan yang membuat ia runtuh, tetapi yang membuat mereka hancur adalah kerana keangkuhan dan ketamakan dalam kalangan mereka. Ia bukan persoalan kemiskinan atau kesusahan hidup seseorang itu lagi.

Apabila mereka menikmati kemewahan hidup, mereka berlaku angkuh dan tamak. Mereka bertelagah sesama sendiri berebut kuasa dan kekayaan kerana berasa mereka berhak mendapat yang lebih banyak lagi.

Inilah apa yang sedang terjadi di negara ini sekarang. Ahli-ahli politik menjadi pengadu-domba dalam masyarakat. Mereka menyuburkan lagi budaya materialisme dan hedonisme dalam pemikiran masyarakat, sehingga rakyat sentiasa tidak berpuas hati. Mereka membakar perasaan rakyat agar bangun memprotes pemerintah. Kononnya rakyat tidak mendapat keadilan dan ditindas.

Contohnya sebagaimana yang dialami oleh Athen. Kemakmuran yang dikecapi mereka telah menjadikan mereka masyarakat yang leka. Mereka menjadi masyarakat yang materialistik dan cenderung kepada hedonisme. Ketika itu kalangan mereka yang bekerja akan dianggap hina, iaitu hamba abdi. Mereka hidup mewah dan memiliki kapal-kapal yang diuruskan budak-budak belian. Sawah ladang mereka dikerjakan oleh hamba sahaya.

Pekerjaan seharian mereka adalah berhibur, kesenian dan berdebat. Lereng-lereng bukit Akropolis ditoreh untuk dijadikan tingkat-tingkat menonton persembahan seni. Pelbagai gedung didirikan. Ia terjadi pada kemuncak keemasan pemerintahan Pericles.

Antara yang turut menjadi punca kekalahan Athen kepada Sparta dalam perang Peloponesos adalah kerana faktor ini. Warganegaranya dijangkiti budaya hedonisme di bawah pemerintahan demokrasi Pericles.  Mereka sibuk berdebat dan lalai dengan pelbagai hiburan.

Permasalahan seperti ini tidak dapat diselesaikan dengan menukar pemerintah.

Apa yang perlu diubah adalah pemikiran anda, bukannya cuba mengubah apa yang berada di luar kemampuan anda.

Tunjukkan kepada saya negara mana yang paling ideal mengikut fikiran anda, dan saya akan tunjukkan kepada anda yang pemerintah negara tersebut juga dibenci oleh kalangan rakyat mereka. Ini adalah perkara biasa di mana-mana negara dan pada zaman bila pun. Anda akan mendengar rakyat akan mengkritik dan memandang negatif pemerintah mereka.

Realiti yang sebenarnya, tidak ada keadaan yang sempurna dalam dunia ini. Kita mengharapkan suatu keadaan, tetapi orang-orang yang berada dalam keadaan itu sendiri tidak berpuas hati dengan dengan apa yang mereka alami. Rakyat yang berada di negara yang kita anggap maju dan moden sekali pun akan mengeluh mengenai kehidupan mereka yang mereka anggap tidak adil. Keadaan yang mereka impikan adalah suatu ilusi yang tidak mungkin wujud selagi mereka tidak membatasi angan-angan utopia mereka.

Soalnya, ia berkenaan diri manusia itu sendiri.

Sepanjang zaman, tidak ada kerajaan yang disukai oleh semua rakyatnya. Ini bukanlah bermaksud sesebuah kerajaan itu tidak baik. Tidak juga bermaksud kerajaan telah melakukan yang terbaik. Semunya bergantung kepada pemikiran dan apa tindakan anda dalam menghadapi sesuatu keadaan.

Ringkasnya, apa sahaja keadaan tidak akan dapat memenuhi kehendak seseorang itu. Kehendak-kehendak manusia tidak terbatas, melainkan ia dibatasi rasa bersyukur.

Apa yang ideal sebenarnya, seseorang itulah yang seharusnya menyesuaikan diri dengan keadaan tersebut. Selagi dia mengharapkan sesuatu keadaan berubah mengikut kemahuannya, dia tidak akan menemui titik akhirnya.

Jika kita hidup di negara yang aman dan makmur sekalipun, tetapi fikiran kita negatif dan lemah, kita tetap akan berkeluh-kesah kerana menganggap semuanya tidak mencukupi lagi.

Malangnya, negara yang aman dan makmur itu adalah negara ini sendiri, yang saban hari tidak kita syukuri dan anggap sebagai sebuah negara yang teruk.

 

 

Filed in: Azman Hussin, Nasional, Topik Pilihan

Tiada Komen Lagi

Tinggal Komen